RUU 355: Mungkin perlu berhimpun depan Tugu Negara?


RUU 355RUU 355
Biarpun ceramah menyokong Rang Undang-Undang (RUU) 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu turut menyaksikan penglibatan pemimpin Umno-BN, tetapi usul pindaan akta itu masih belum diketahui bila akan dibentangkan di Parlimen.
Zulhazmi ShariffZulhazmi ShariffPeguam Zulhazmi Shariff memberitahu semakannya mendapati kerajaan telah memasukkan dua lagi RUU seperti yang jelas kelihatan pada Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat kelmarin.
Menurutnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri akan memasukkan untuk Bacaan Kali Pertama suatu RUU Perdagangan Strategik (Pindaan) 2017 manakala Menteri Pendidikan Tinggi bakal memasukkan RUU Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017 bagi Bacaan Kali Pertama.
Ini bermakna, jelasnya, bilangan RUU bertambah kepada tujuh selain RUU Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016, RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016, RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 dan RUU Setem (Pindaan) 2016 serta RUU Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017.
"Selepas ini kemungkinan besar Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 pula akan dimasukkan. Mungkin minggu depan akan dimasukkan RUU Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
"Usul kawan tu apa nak jadi la gamaknya. Mungkin kena berhimpun depan Tugu Negara pulak lepas ni. Nasib badan la...," dipetik dari status Facebook Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah itu.
Usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 7 Mac lalu hanya tersenarai pada perkara ketujuh dalam AUM.
Usul Hadi itu bertujuan meminda Seksyen 2 Akta 355 bagi menggantikan perkataan, "penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali".
Ungkapan tersebut disyor pinda kepada "penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah".
Tempoh sidang Dewan Rakyat penggal kelima kali ini yang bermula 6 Mac lalu akan berlangsung sehingga 6 April depan.