Umno makin kuat, Pas nak tawan Terengganu?
Peristiwa kunjungan MB Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman ke majlis kenduri bekas MB Ahmad Said di Telok Kalong, Kijal beberapa hari lalu menambahkan keyakinan Umno negeri untuk menang besar dan terus menguasai Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Kedua-dua ahli politik utama Umno Terengganu yang pernah ‘berkelahi’ pada 2014 itu kelihatan mesra dan berpelukan disaksikan hadirin dan pemimpin Umno setempat.
Bertentangan dengan senario itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah memberi amaran partinya akan merampas Terengganu pada PRU depan berdasarkan sambutan hangat penduduk Besut pada program dua hari Himpunan Harapan Semua PAS Ganti Umno (HARAP-PGU 3.5) yang berkahir semalam.
Beliau berharap pengundi di Besut akan membuat perubahan agar parlimen dan seluruh DUN jatuh ke tangan Pas sekali gus mengakhiri majoriti satu kerusi yang membenarkan Umno memerintah sejak PRU 2013.
Bagaimanapun, beberapa veteran Pas Terengganu sangsi dengan kenyataan Mohd Nor itu berdasarkan kelesuan semangat penyokong Pas sejak kebelakangan ini, terutama selepas perpecahan pada 2015 lalu.
Katanya, kekuatan Pas di tiga DUN parlimen Besut tidaklah seberapa kerana kerusi-kerusi di situ hanya berjaya dirampas pada PRU 1999 sahaja.
“Pas Besut banyak retorik. Hanya pada 1999 mereka dapat tewaskan Umno di kesemua 4 DUN. Tapi itu kerana gelombang Anwar.
“Hakikatnya PAS Besut sentiasa bergolak dan berpecah sejak 1970an lagi. Pada zaman bekas Adun Jerteh Ustaz Abdul Latif Mohamad, hinggalah Husin Awang dan kini Ustaz Azhar Ahmad mengetuai Pas Besut. Itupun masih ada masalah dalaman terutama bila tiba masa menentukan calon pilihan raya,” katanya yang enggan nama disiarkan.
“Hakikatnya PAS Besut sentiasa bergolak dan berpecah sejak 1970an lagi. Pada zaman bekas Adun Jerteh Ustaz Abdul Latif Mohamad, hinggalah Husin Awang dan kini Ustaz Azhar Ahmad mengetuai Pas Besut. Itupun masih ada masalah dalaman terutama bila tiba masa menentukan calon pilihan raya,” katanya yang enggan nama disiarkan.
Menurut beliau, meskipun Besut bersempadan dengan Kelantan, di pinggir daerah Pasir Puteh, tetapi kemenangan Pas tidak mengalir ke kawasan itu. Pas hanya menang pada PRU 1999 dan 1974 ketika bergabung dengan BN
“Masyarakat nelayan di Besut mengharapkan sentuhan Umno untuk membela nasib mereka berbanding dengan retorik Pas untuk buat perubahan itu dan ini.
“Buktinya PRK Kuala Besut pada Julai 2013 dulu yang menyaksikan calon terbaik Pas kecundang untuk merampas DUN itu ketika nyawa Umno di hujung tanduk.
“Dengan situasi Pas terkini dirasakan mustahil dapat menguasai Terengganu. Malah diramal akan hilang banyak kerusi Dun yang sedang dimilikinya kecuali Pas kembali bersatu dengan parti-parti pembangkang dan berlawan satu lawan satu dengan BN,” katanya lagi.
Mengulas keyakinan Mohd Nor bahawa program HARAP-PGU 3.5 mendapat sambutan ramai, veteran Pas itu mengingatkan agar partinya tidak terlalu mengambil kira jumlah kehadiran tetapi relevensi perjuangan yang akan dinilai menjelang PRU akan datang.
“Pas tidak pernah serik bila menafsirkan kehadiran orang ramai ke pesta-pesta yang dianjurkan. Orang ramai tertarik kerana ada akviti jualan dan makanan dan itupun ahli-ahli daripada daerah lain yang turut hadir dan bukan majoriti orang daerah Besut.
“Oleh itu, lebih baik Pas mengulang semula tahaluf siyasi bersama pembangkang lain daripada mengkhayal mereka mampu memerintah bersendirian,” katanya.