Husam jawab tuduhan Anuar Tan


Datuk Husam Musa Datuk Husam MusaTindakan exco kerajaan negeri Datuk Anuar Tan menuduh Adun Salor Datuk Husam Musa menyerang dasar bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila mengkritik program Ladang Rakyat disifatkan sebagai satu percubaan mengelirukan fakta sebenar.
"Janganlah sebarang kelemahan Ladang Rakyat disembunyikan di belakang perisai menilai Ladang Rakyat adalah menolak Tok Guru," kata Husam dalam satu jawapan balas kepada kenyataan Anuar.
Menurut Husam, laporan audit juga menegur kaedah pajakan tanah kepada pemaju kerana pulangannya kepada Ladang Rakyat adalah rendah.
"Adakah YB sedar hal ini?
"Apa YB telah lakukan jika YB sedar mengenainya?
"YB hanya berdiam diri dan membiarkannya ia berterusan sampai bila-bila?
"Bukankah keputusan kolektif yang silap atau lemah boleh dan patut dibaiki oleh
keputusan kolektif yang baru?
"Adakah YB sedar bahawa pada setiap masa YAB Tok Guru tidak pernah mempengerusikan
Ladang Rakyat?," soalnya.
Husam yang juga bekas exco ekonomi berkata, sewaktu pentadbiran Nik Aziz, apabila permohonan tanah oleh Ladang Rakyat dikemuka dalam mesyuarat exco, tidak ada dikemukakan terma-terma penggunaan tanah yang dicadangkan oleh Ladang Rakyat.
"Bolehlah kita dengan selamat mengatakan Tok Guru tidak pernah diberitahu kedudukan kecilnya hasil Ladang Rakyat.
"Tok Guru hanya diberitahu tentang kehebatan Ladang Rakyat berjaya memberikan dividen kepada peserta," katanya.
Beliau juga menolak tohmahan Anuar yang menggunakan hujah mengkritik Ladang Rakyat adalah menghina dan mengkritik Tok Guru yang sudah meninggal.
"Ini adalah salah kerana Tok Guru tidak pernah terlibat dalam menentukan apa-apa terma dan syarat usaha sama Ladang Rakyat.
"Tok Guru tidak pernah terlibat dengan pengurusan serta pentadbiran Ladang Rakyat.
"Bagaimana pula boleh dikatakan mengkritik Ladang Rakyat adalah mengkritik Tok Guru?
"Ke mana Pengerusi dan pengurusan Ladang Rakyat sehingga nama Tok Guru perlu
digunakan?," soal Husam yang kini bersama Amanah.
Menurut Husam, walaupun Nik Aziz gembira atas kejayaan pembahagian dividen tetapi beliau tidak berkesempatan untuk menilai kedudukan pentadbiran Ladang Rakyat.
"Apa yang saya lakukan sekarang adalah menilai pentadbiran Ladang Rakyat dan bukan menolak gagasan Tok Guru untuk membantu rakyat yang miskin menerusi program Ladang Rakyat.
"Jangan kelirukan rakyat Kelantan dengan dua isu yang berbeza ini. Gagasan Ladang Rakyat untuk membantu rakyat miskin dengan pengurusan Ladang Rakyat yang lemah yang tidak sama sekali terlibat dengan Tok Guru.
"Janganlah sebarang kelemahan Ladang Rakyat disembunyikan di belakang perisai menilai Ladang Rakyat adalah menolak Tok Guru," tegasnya.