Pemilihan calon bukti Amanah bukan alat DAP, kata Khalid Samad


Khalid anggap Pas lebih ikut DAPKhalid anggap Pas lebih ikut DAP
Amanah membuktikan kemampuannya berdiri atas pendirian sendiri seperti dapat dilihat pada penentuan calon bertanding.
Menangkis tohmahan Amanah yang kononnya mengikut telunjuk DAP,
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, partinya menghargai pandangan rakan Pakatan Harapan itu sebelum membuat keputusan.
"Mulanya DAP cadangkan Mohamad Sabu (Presiden Amanah) sebagai calon di Sungai Besar. Di Kuala Kangsar pada peringkat awal, DAP cadangkan Datuk Seri Nizar sebagai calon bertanding.
"Namun, selepas perbincangan mendalam, Amanah memilih Ustaz Azhar Ab Shukur di Sungai Besar dan Dr Ahmad Termizi Ramli di Kuala Kangsar walaupun kita menghargai pandangan DAP," jelasnya pada sidang media di Pejabat Amanah Sungai Besar selepas penamaan calon hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berpendapat Pas pula sebaliknya memilih calon yang dianggap mengikut kehendak DAP.
"Orang yang kata (Amanah) tunduk pada DAP, dia pula yang pilih calon paling mudah diterima DAP meskipun dipertikai ahli-ahlinya sendiri.
"Tanyalah pada pengundi Cina. Dr Rani paling disukai (mereka). Siapa sebenarnya yang tunduk pada DAP? Jangan cakap lain tapi tindakan lain," bidasnya lagi.
PRK Sungai Besar berlaku ekoran kematian penyandangnya iaitu Tan Sri Noriah Kasnon selain Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bagi kerusi Kuala Kangsar, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.