DAP menyelar kenyataan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Hafiz Alias yang cuba menyemarakkan emosi perkauman dengan menuduh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak berlaku adil terhadap penduduk Melayu berhubung isu tanah di negeri tersebut.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Syerleena Rashid, berkata dakwaan oleh ahli Pas itu seolah-olah cuba ‘meniru’ budaya Umno yang sentiasa mengaitkan sebarang isu melibatkan DAP dengan sentimen perkauman.
Kenyataan Hafiz bahawa semua pihak perlu menuntut agar kerajaan negeri mengekalkan ‘tanah milik Melayu’ dengan meminta semua konstituensi di Pulau Pinang menentang dasar-dasar kerajaan negeri bercanggah dengan fakta dan bukti sedia ada.
Malah, Syerleena menegaskan, Pas ‘buat-buat lupa’ dengan segala perlakuan Umno selama ini yang telah banyak merampas tanah-tanah milik Melayu dengan harga murah melalui syarikat proksi dan kemudian menjualkannya dengan harga yang lebih tinggi.
"Contohnya seperti apa yang berlaku di Kampung Terang Balik Pulau. 31 pemilik tanah Melayu menjual tanah mereka kepada Maison Heights Sdn Bhd dengan jumlah kira-kira RM8.56 juta pada Januari 2012. Syarikat itu kemudiannya menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn Bhd dengan harga sekitar RM13.45 juta pada Mei tahun yang sama.
"Keuntungan sebanyak RM5 juta, hanya dalam masa 5 bulan. Ini secara terang-terangan merupakan satu eksploitasi terhadap sistem sedia ada dan eksploitasi terhadap penduduk Melayu dengan cara yang sangat jijik.
"Jangan kita lupa bahawa dua anggota Lembaga Pengarah Maison Heights pada masa itu adalah Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Pilihanraya Barisan Nasional, Datuk Omar Faudzar," lapor Roketkini.com.
Menurut Syerleena yang juga ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP), kerajaan negeri di bawah pemerintahan DAP telah berusaha sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah penduduk dengan pemaju di negeri itu.
Katanya, perkara itu jelas dibuktikan dengan kerja keras kerajaan negeri menuntut agar hak rakyat dipelihara dan diberi pampasan oleh pemaju seperti dalam kes Kampung Permatang Tok Subuh di Bukit Mertajam dan Kampung Chetty di Bukit Feringghi sebelum ini.
Oleh itu tegasnya, Pakatan Harapan sentiasa mengambil langkah yang terbaik demi keadilan sosial bagi mempertahankan hak kemanusiaan setiap individu di negara ini tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
"Percaturan yang dimainkan oleh Pas dengan menuduh DAP dan Pakatan Harapan melalui dakwaan tidak berasas dan tanpa bukti kukuh hanya menunjukkan betapa gelabahnya Pas ketika ini untuk menawan hati sekutu politiknya yang baru," katanya.