Menangkan calon PH untuk kuat semak dan imbang – AMANAH
Parti Amanah Negara (Amanah) seedari hakikat bahawa parti yang baharu berusia lapan bulan itu perlu bekerja keras untuk bertanding dan menang dalam PRN Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.
Demikian ditegaskan Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub dlm satu kenyataannya.
Bagi Amanah, katanya, ini adalah masa terbaik untuk memperkenalkan parti itu, bukan hanya kepada pengundi di Sarawak, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Sebagai pilihan raya sulung, maka tentu sekali ianya satu ‘milestone’ dan medan yang penting kepada Amanah malah merupakan pilihan raya yang bersejarah bagi Amanah,” kata beliau.
Salahudin berkata, Amanah sebagai parti yang progresif, inklusif dan peduli berusaha menterjemahkan Islam dari sudut tujuan Syariah (Maqasid Syariah) yang menekankan keadilan, kesaksamaan, kebertanggungjawaban, keamanahan, memperjuangkan tatakelola yang baik khususnya dari segi membanteras rasuah, salah guna kuasa, menghapus diskriminasi kaum dan pertentangan agama.
Selain itu, tegas bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tumpuan utama Amanah kali ini ialah untuk memberi penerangan kepada pengundi tentang kegagalan BN Sarawak untuk mengekang polisi-polisi Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan Kerajaan Persekutuan yang banyak membebankan dan menekan rakyat.
“Polisi Dato Seri Najib dan BN ini memberi tekanan yang sangat berat kepada kehidupan rakyat Sarawak ini khususnya kenaikan kos sara hidup akibat daripada perlaksanaan Cukai GST serentak dengan penarikan subsidi dalam keperluan asas.
“Sebagaimana dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mangsa pertama yang paling terkesan ialah golongan berpendapatan rendah,” tegas beliau.
Salahudin merayu agar pengundi Sarawak memperkuatkan suara semak-imbang dengan memberi kepercayaan kepada calon-calon Pakatan Harapan seperti Amanah, PKR dan DAP supaya pemusatan dan monopoli kuasa serta majoriti 2/3 dapat dinafikan.