‘Najib tak patut pulangkan RM2 bilion, guna untuk latih semula pekerja’ – PKR
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata sekiranya Najib berfikir sebagaimana Perdana Menteri di negara lain maka beliau tidak seharusnya memulangkan ‘wang derma’ RM2.6 bilion yang diterima dua tahun lalu.
Sebaliknya, kata Fahmi, wang itu boleh digunakan untuk melatih anak muda tempatan bagi melakukan pekerjaan 3D (kotor, merbahaya dan sukar) yang kini didominasi oleh pekerja asing.
“Isu pekerjaan harus dilihat dari aspek pelaburan bukan sahaja membina kilang, jalan dan prasarana tetapi juga pelaburan modal insan dari segi pemahaman hak dan tanggungjawab pekerja, terutamanya mengukuhkan kesatuan-kesatuan sekerja.
“Dan jika Perdana Menteri Najib Razak memahami isu pasaran kerja ini sepenuhnya, dan oleh sebab “derma” itu tidak salah di sisi undang-undang seperti yang dikata Peguam Negara, beliau tidak sepatutnya memulangkan RM2 bilion lebihan dari “derma Sheikh Saudi” itu.
“Beliau sepatutnya “menderma” jumlah yang besar untuk program membangunkan pasaran kerja demi masa depan modal insan di Malaysia.
“Jika Perdana Menteri memerlukan idea atau cadangan bagaimana pasaran kerja boleh dibangunkan bagi mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing, mereka boleh lihat cadangan KEADILAN melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.
“Dalam belanjawan tersebut, satu dana khas RM2 bilion dicadangkan untuk membantu usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat-syarikat kecil memperbaharui, menggerakkan dan menyesuaikan operasi untuk memenuhi keperluan gaji minimum,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Fahmi lagi, rancangan Putrajaya untuk membawa masuk sekitar 1.5 juta pekerja dari Bangladesh juga tidak akan berlaku seandainya isu gaji minimum dan kemahiran pekerja diatasi sepanjang dua tahun lalu.
“Gaji minimum salah satu daripada beberapa teras utama untuk menyelesaikan masalah pasaran kerja, ia merupakan satu langkah asas yang cukup penting.
“Jika Perdana Menteri tidak pulangkan “lebihan derma” itu dan melabur dengan mewujudkan dana khas seperti yang dicadang di atas, saya yakin isu 1.5 juta pekerja warga asing, isu 2 kerja, dan isu belia Malaysia tidak bersedia mengambil alih kerja-kerja 3D tidak akan berada pada keadaan genting seperti yang kita lihat hari ini.
“Oleh itu, saya gesa Putrajaya hentikan rancangan pengambilan pekerja asing dan fokus kepada pelaburan pendidikan dan modal insan tempatan yang merupakan strategi lebih mampan untuk masa depan pasaran kerja Malaysia,” katanya.