Mengapa tidak ubahsuai bajet RM8.5 bilion JPM – Amanah
Pengarah Strategi, Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad menempelak pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak kerana tidak bersedia mengurangkan peruntukan RM8.5 bilion bagi Jabatan Perdana Menteri.
Dzulkefly juga mempersoalkan mengapakah pengubahsuaian bajet itu diumumkan di PICC dan bukannya parlimen.
“Najib sendiri tidak bersedia untuk mengurangkan RM8.5 bilion dana yang diperuntukkannya untuk Jabatan Perdana Menteri.
“Isu asas adalah hakikat bahawa bajet 2016 perlu semakan kerana harga minyak pada AS$48 setong kini berlegar sekitar AS$30 setong.
“Ini akan menyebabkan anggaran negara kehilangan hasil berbilion ringgit, setiap kejatuhan AS$1 kita akan kehilangan RM5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas semakan Bajet 2016 yang diumumkan oleh Najib, berikutan penurunan harga minyak yang menyumbang kepada sebahagian besar pendapatan negara.
Dzulkefly berkata bukan sahaja Najib gagal mengurangkan peruntukan kepada jabatannya tetapi menyifatkan Najib tidak tahu apa yang berlaku dan tidak menangani kejatuhan hasil itu.
Ini, katanya adalah kerana kegagalan kerajaan mengisi jurang dan menangani kemungkin RM5 bilion yang merosot itu.
Menurutnya, Najib juga tidak mengulas lanjut langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan negara dan adalah adil bagi orang ramai mengandaikan perdana menteri akan mengulangi tabiat buruknya dengan membuat lebih banyak pinjaman.