ALOR SETAR 4 Okt. - Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan sekolah-sekolah di seluruh negara kecuali Kelantan, Labuan, Sabah dan Sarawak ditutup dua hari bermula esok berikutan keadaan semasa jerebu.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sesi petang persekolahan di Kedah, Terengganu dan Johor hari ini juga diarah dibatalkan.
“Kementerian akan memantau situasi jerebu di Kelantan, Labuan, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau turut mengumumkan bahawa sesi persekolahan yang ditutup itu tidak perlu diganti.
“Arahan ini membabitkan semua warga sekolah termasuk guru dan kakitangannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE