Kempen isu Konspirasi Anwar di Australia bermula

Kempen isu Konspirasi Anwar di Australia bermula

Kenyataan Media: Satu delegasi pimpinan KEADILAN kini berada di Australia bagi lawatan kerja selama seminggu. Misi utama lawatan kerja ini adalah untuk memberi maklumbalas kepada ahli-ahli Parlimen Australia mengenai perkembangan politik terkini di Malaysia terutamanya berhubung dengan perbicaraan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pendakwaan terhadap pelbagai aktivis di bawah Akta Hasutan.
Siri lawatan kerja ini disertai oleh:

1.      Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan

2.      Nik Nazmi Nik Ahmad, EXCO Selangor

3.      Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bayan Baru

4.      Wong Chen, Ahli Parlimen Kelana Jaya

5.      Lee Chean Chung, ADUN Semambu

6.      Melissa Sasidaran, EXCO Angkatan Muda

Selain dari lawatan kerja ke Parlimen Australia, delegasi juga akan menyertai siri forum terbuka di bandar-bandar utama seluruh Australia yang dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa Malaysia di Australia bernama “Malaysian Progressives”. Siri forum tersebut akan diadakan di bandar-bandar berikut:

1.      Melbourne (18 Oktober 2014)

2.      Adelaide (19 Oktober 2014)

3.      Perth (20 Oktober 2014)

4.      Canberra (21 Oktober 2014)

5.      Sydney (22 Oktober 2014)

Selain dari perjumpaan dengan mahasiswa dan masyarakat Malaysia di bandar-bandar tersebut, jadual penuh lawatan kerja delegasi KEADILAN juga melibatkan perjumpaan dengan ahli politik dan badan hak asasi manusia seperti berikut:

1.      Ahad, 19 Oktober 2014 di Adelaide – perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen Australia dan ahli Parlimen Australia Selatan

2.      Isnin, 20 Oktober 2014 di Canberra – perbincangan tertutup mengenai perkembangan politik di Malaysia dengan ahli-ahli akademik Australian National University (ANU)

3.      Selasa, 21 Oktober 2014 di Canberra – dimulakan dengan lawatan kerja ke Kementerian Luar Australia, diikuti dengan kenyataan media bersama dengan Senator Nick Xenophon di Parlimen Australia. Pada waktu tengahari, delegasi KEADILAN akan berdialog dengan ahli-ahli Parlimen dan senator-senator Australia. Pada sebelah petang, delegasi KEADILAN akan memberi keterangan mengenai perkembangan terkini di Malaysia ke Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) Hal Ehwal Luar dan Hak Asasi Manusia

4.      Rabu, 22 Oktober 2014 di Sydney – perjumpaan dengan badan-badan hak asasi manusia iaitu Human Rights Watch, Amnesty International dan Australian Lawyers for Human Rights

Saya yakin rangka lawatan kerja ini akan memberi gambaran sebenar mengenai tindakan Barisan Nasional yang menggunakan undang-undang untuk menekan lawan politik. Ia juga kena pada masanya bila lebih ramai mahasiswa Malaysia di luar negara semakin berani tampil ke hadapan untuk membawa diskusi-diskusi berhubung perkembangan politik tanahair dari kaca mata yang lebih progresif.

Rangka lawatan kerja seperti ini akan diteruskan ke negara-negara lain agar pimpinan Barisan Nasional faham bahawa tindakan mereka menggunakan undang-undang untuk menyekat ruang demokratik dan mengekang pengaruh Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan ditempelak di peringkat antarabangsa.


RAFIZI RAMLI

Ahli Parlimen Pandan