PENGUNDI JOHOR BAKAL BERUBAH????

Pengundi Johor bakal cetus ‘tsunami’ politik kedua
5 June 2012
PONTIAN, 5 JUN: Lanskap politik Johor kian berubah dan bakal mengepalai ‘tsunami’ politik kali kedua pada pilihan raya umum ke-13 apabila melihat kepada usaha berterusan Pakatan Rakyat membela masalah rakyat Johor.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, demografi politik Johor yang hampir sama dengan Selangor memungkinkan tsunami 2008 berulang.

“Kita lihat pada 2008, kawasan-kawasan yang UMNO boleh menang berbelas ribu undi boleh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sedangkan ia merupakan ‘kawasan Melayu’, iaitu kubu kuat UMNO-BN sebelumnya seperti Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Langat dan sebagainya,” katanya kepada Roketkini.
Menurutnya, sambutan hangat orang Johor kini terhadap program Pakatan Rakyat adalah satu petanda besar bahawa rakyat negeri kubu kuat UMNO ini sudah kian terbuka untuk mendengar dan menilai  isu serta dasar yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

“Kita mendapat sokongan drastik dari masyarakat Tionghua terutama selepas 2008 dan nampaknya sekarang sokongan dari masyarakat Melayu semakin bertambah. Sambutan orang muda juga amat dirasakan dalam setiap program dan ceramah anjuran Pakatan Rakyat,” tambah beliau.

Menurut beliau lagi, selain isu nasional seperti skandal wang ternak lembu digunakan untuk beli kondo mewah NFC dan skandal PKFZ yang menjadi ketakutan UMNO-BN, isu-isu tempatan seperti bayaran pampasan pengambilan tanah yang tidak adil oleh kerajaan negeri di Tanjung Pelepas turut membuatkan kerajaan negeri bimbang dengan kedudukan mereka.

Katanya, bantahan kuat rakyat Johor dalam isu pengambilan tanah itu boleh dilihat dalam himpunan tanah yang berlangsung di Angsana seminggu selepas perhimpunan Bersih 3.0 April lalu yang berjaya menghimpunkan sekitar lima ribu orang peserta.

Salahuddin yang pada masa ini merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian (Kelantan) telah mengumumkan untuk kembali ke negeri asalnya Johor bagi membantu Pakatan Rakyat dalam kempen PRU13.
Difahamkan, kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri milik parti-parti komponen BN juga seperti MCA, MIC dan Gerakan juga bakal tumbang kepada Pakatan Rakyat.


Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN. Pada masa ini, BN memiliki 25 kerusi Parlimen dan menguasai kerajaan negeri dengan 50 kerusi DUN. – Roketkini.com
Print Friendly