Projek MRT Selamatkan Rumah VIP Tetapi Harta Rakyat Marhaen Diambil.
KUALA LUMPUR 05 OKT: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersikap berat sebelah apabila sanggup menukar laluan terowong Mass Rapid Transit (MRT) untuk menyelamatkan rumah seorang kenamaan.
Walhal pemilik rumah dan perniagaan lain di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, seperti di Taman Tun Dr Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan diberi notis yang tanah mereka akan di ambil bagi laluan projek tersebut.
Perkara ini dibongkar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang berkata pelan asal terowong MRT akan merentasi rumah kenamaan itu tetapi laluannya telah dirombak bagi menyelamatkan kediaman tersebut.
Arahan supaya laluan itu dilencongkan dikeluarkan meskipun kerja-kerja sudah dijalankan. Kontraktor yang terlibat diarah supaya mengubah laluan terowong daripada menghampiri hartanah tersebut,Tony Pua berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Tony Pua yang mewakili gagasan pembangkang mendesak kerajaan agar menjelaskan perkara tersebut yang sedia maklum projek tersebut menggunakan wang rakyat.Kerajaan mesti menjelaskan hiprokrasi dan sikap dwi-standard,katanya.
Projek prasarana terbesar itu telah menerima tentangan dari beberapa pihak, terutama pemilik kediaman dan perniagaan yang terpaksa memindahkan hak-milik hartanah mereka kepada kerajaan bagi memberi laluan.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan insiden itu secara tidak langsung mencerminkan sikap sebenar SPAD yang bertindak seolah-olah di bawah pengaruh politik.
Lebih malang lagi, Nurul berkata, perlakuan SPAD ini menunjukkan bahawa individu yang mempunyai hubungan diberi pertimbangan istimewa oleh kerajaan dengan mengabaikan nasib beratus-ratus pemilik hartanah yang turut tersenarai dalam pengambilan tanah sewenang-wenangnya oleh SPAD.