KUALA LUMPUR 15 JUN : Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Bebas Zahrin Hashim bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.
"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan BERSIH itu dan akan sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.
Terdahulu, Zahrain mengemukakan usul itu kerana kononnya tunjuk perasaan aman itu bertujuan menghasut rakyat mengadakan rusuhan rusuh di jalanan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk Tunisia dan Mesir.
Tuduhan itu jauh tersasar kerana perhimpunan Bersih yang pertama empat tahun lalu berjalan secara aman sehingga polis melakukan provokasi ketika cuba menyuraikan kira-kira 40,000 yang menyertainya.
Kali ini penganjur memberikan jaminan yang sama – orang ramai akan berkumpul secara aman untuk menuntut sebuah pilihanraya yang be bas dan adil.
Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.