Perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang mencaci, memfitnah atau mendoakan keburukan terhadap pihak yang tidak sehaluan, sebaliknya umat Islam perlu terus menjaga adab walaupun berbeza pandangan.
Peringatan itu disampaikan Tuan Guru Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki yang mengingatkan bahawa perbezaan pendapat tidak pernah menghalalkan seseorang melampaui batas terhadap orang lain.
Menurut beliau, seorang mukmin sepatutnya memelihara hubungan dan kasih sayang sesama umat Islam, bukannya menjadikan perbezaan pandangan sebagai alasan untuk saling bermusuhan.
“Berbeza pandangan tidak pernah menghalalkan kita untuk mencaci, memfitnah atau menyumpah orang lain,” katanya.
Teguran berkenaan dilihat amat relevan dengan suasana politik semasa apabila perbezaan sokongan dan pendirian semakin mudah mencetuskan serangan peribadi, khususnya di media sosial.
Sheikh Wazir mengingatkan bahawa dalam politik, seseorang yang tidak bersetuju dengan pandangan kita tidak semestinya menjadi musuh yang boleh dihina atau diperlakukan sesuka hati.
“Tak sependapat, dicaci. Tak sebulu, difitnah. Tak satu kumpulan, didoakan pula kecelakaan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu lebih membimbangkan apabila pihak yang menjadi sasaran cercaan atau sumpahan tersebut sebenarnya masih mempunyai hubungan sebagai saudara seIslam.
Dalam erti kata lain, perbezaan politik tidak sepatutnya menghapuskan pertimbangan terhadap adab, persaudaraan dan tanggungjawab seseorang terhadap setiap perkataan yang dilontarkan.
Lebih-lebih lagi dalam era media sosial, kata-kata yang dahulu mungkin hanya didengar oleh kelompok kecil kini boleh tersebar kepada ribuan malah jutaan orang dalam tempoh singkat.
Sheikh Wazir turut mengingatkan bahawa politik bukan sesuatu yang kekal kerana pemimpin dan kerajaan boleh berubah, tetapi setiap perkataan yang dikeluarkan seseorang tetap menjadi tanggungjawabnya sendiri.
“Politik akan berubah. Pemimpin datang dan pergi. Tetapi setiap perkataan yang kita keluarkan tetap menjadi tanggungjawab kita sendiri,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa teguran itu tidak ditujukan kepada mana-mana parti atau kelompok tertentu.
Sebaliknya, ia perlu menjadi peringatan kepada semua pihak supaya perbezaan politik tidak menyebabkan seseorang kehilangan adab ketika mengkritik pihak lawan.
Menurutnya, seseorang masih boleh berbeza pendirian, mempertahankan prinsip dan mengkritik sesuatu dasar tanpa perlu mencaci, memfitnah atau mendoakan kecelakaan terhadap individu yang berbeza pandangan.
Persoalan mengenai adab dalam berpolitik itu menjadi semakin menarik apabila dibandingkan dengan beberapa kenyataan keras pemimpin politik sejak kebelakangan ini.
Antaranya ialah kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk ServMuhammad Sanusi Md Nor, ketika mengulas pihak yang didakwanya berada di belakang tindakan undang-undang berkaitan dasar perjudian di negeri itu.
Dalam satu ucapan, Sanusi dilaporkan mengajak orang ramai mendoakan individu terbabit supaya menerima balasan buruk.
“Doa tiap-tiap hari, sebut nama dia bagi Tuhan bagi dia pecah perut,” kata Sanusi ketika berucap dalam program berkaitan isu pengharaman judi di Kedah.
Kenyataan itu menjadi perhatian kerana ia melibatkan doa terhadap keburukan seorang individu dalam konteks pertikaian politik dan perundangan.
Ia juga memberikan ruang untuk persoalan yang lebih besar: sejauh mana perbezaan politik atau pertikaian dasar membolehkan seseorang menggunakan bahasa sedemikian terhadap pihak yang dianggap sebagai lawan?
Peringatan Sheikh Wazir bahawa “beda politik bukan lesen untuk mencaci” akhirnya kembali kepada persoalan asas dalam kehidupan berpolitik seseorang boleh kalah atau menang dalam pilihan raya, kerajaan boleh bertukar dan pemimpin boleh silih berganti.
Tetapi apabila perbezaan politik menyebabkan bahasa penghinaan, fitnah dan doa kecelakaan menjadi perkara biasa, yang perlu dipersoalkan bukan lagi siapa menang atau siapa kalah.
Sebaliknya, apa yang berlaku kepada akhlak kita ketika berpolitik?
Kerana seperti diingatkan Sheikh Wazir, kita boleh berbeza pendirian tanpa kehilangan adab.
No comments:
Post a Comment