1.Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatannya sejak 1 Mac 2020 ternyata telah gagal menjalankan tugasnya mentadbir Malaysia. Bukti-bukti berikut menjelaskan kegagalannya itu:-
2. Bukti Kegagalan Pertama: PM Muhyiddin Yassin telah gagal menangani wabak Covid-19. Angka-angka berikut menceritakannya.Pada hari Jumaat 29 Januari 2021, sebanyak 5,725 kes baru, menjadikan kes terkumpul mencecah lebih 200,000. Jumlah kumulatif kematian pula seramai 733. Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia. Kesimpulannya, PM Muhyiddin dan Kabinet pimpinannya telah gagal menangani Wabak Covid-19.
3. Bukti Kegagalan Kedua: Dalam masa 11 bulan PM Muhyiddin Yassin mentadbir Malaysia, kedudukan negara kita dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi tahun 2020 semakin teruk iaitu jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga ke-51 pada tahun 2019. Kedudukan yang merosot ini antaranya disumbangkan oleh pembebasan atau pelepasan kes-kes mahkamah yang meragukan dalam beberapa kes berprofil tinggi bagi kes rasuah seperti kes Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
4. Bukti Kegagalan Ketiga: PM Muhyiddin Yassin bersama seluruh Kabinetnya telah gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Rating penarafan kedudukan kewangan Malaysia telah jatuh. Pertumbuhan ekonomi menguncup teruk. Berjuta rakyat telah hilang pekerjaan. Hutang negara bertambah. Kadar hutang negara berbanding KDNK semakin meningkat. Kerajaan Muhyiddin gagal menghasilkan peluang pekerjaan baru kepada berjuta rakyat yang menganggur. Terakhir sekali ialah fakta yang dibentangkan oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada tahun 2020.
5. Bukti Kegagalan Keempat:PM Muhyiddin Yassin sekarang memimpin sebuah kerajaan minoriti, bukannya sebuah kerajaan majoriti. Muhyiddin Yassin telah gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen. PM kerajaan minoriti ini menggunakan Proklamasi Darurat dan seterusnya menggantung Parlimen Malaysia semata-mata untuk terus berkuasa. Perisytiharan Darurat dijadikan alasan untuk kekal memerintah. Ini bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia sejak negara kita Merdeka pada tahun 1957. Kerajaan minoriti Muhyiddin Yassin ini tidak stabil, tidak mendapat mandat rakyat dan tidak demokratik.
6. Dengan berlandaskan seekurang-kurangnya empat (4) sebab kegagalan yang dinyatakan di atas, maka dengan sesungguhnya demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini, saya HASSAN ABDUL KARIM, Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan segera. Sekian.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Sabtu 30 Januari 2021