Membendung arus kebangkitan konservatisme agama di Malaysia
Mari kita cipta dan sebarkan naratif tandingan kita sendiri yang inklusif dan adil agar menjadi benteng melawan konservatisme agama.
Kumpulan Islam ekstrem sayap kanan seperti Isma menentang projek
perintis ini kerana mereka mendakwa ia menormalkan gaya hidup
LGBT yang dikeji mereka. Pihak berkuasa agama di Selangor kemudiannya menyusul
dengan mengeluarkan
fatwa melarang pengamal perubatan Islam daripada menetapkan
PrEP kepada pasangan gay.
Matlamat menyeluruh perubatan PrEP untuk mengurangkan
kemudaratan di kalangan mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV/Aids,
tanpa mengira orientasi seksual mereka, telah hilang di tengah-tengah kekecohan
agama mengenai projek perintis itu.
“Pertama jangan lakukan mudarat” – prinsip utama sumpah
Hippocratik yang menjadi asas kepada moral pengamal perubatan – seakan tidak
relevan kepada pembelot agama sebegini kerana mereka tidak ragu-ragu untuk
membiarkan sesetengah orang mati sementara yang lain hidup, demi dogmatisme
buta mereka.
READ MORE: Hadi should desist from irresponsibly
shooting off his mouth
Seperti yang kita sedia maklum, hak orang bukan Islam juga turut
terhakis dengan tindakan penganut agama yang sebegini. Dalam masyarakat
Malaysia yang berbilang etnik dan agama, kehidupan orang Islam dan bukan-Islam
sering bersilang rapat dan berkait rapat.
Ini bermakna peraturan-peraturan Islam yang kononnya ditujukan
untuk orang Islam sahaja pasti akan menceroboh hak orang bukan-Islam. Kes-kes
yang tidak dapat diselesaikan berleluasa di Malaysia khususnya mengenai perebutan hak
penjagaan, penukaran agama
secara paksa dan murtad agama apabila
hak orang bukan Islam berhadapan dengan pihak berkuasa Islam.
Pada minggu-minggu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ahli
Parlimen Permatang Pauh yang baharu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, menjadi
berita utama apabila beliau bertemu
dengan pengurusan pusat beli-belah Sunway Carnival di
Seberang Jaya, Pulau Pinang dek kerana pameran minuman beralkohol yang
dilakukan terbuka.
Fawwaz mendakwa pameran jualan itu tidak sensitif kepada umat
Islam yang tinggal di kawasan itu. Beliau sama sekali tidak peduli fakta bahawa
pameran jualan alkohol itu bertujuan untuk orang bukan-Islam, terutamanya orang
Cina, yang akan menyambut Tahun Baru Cina.
Ahli Parlimen itu, yang jelas bertindak di luar bidang kuasa
rasminya, juga mengabaikan fakta bahawa lebih 30% daripada kawasan Seberang
Jaya adalah bukan-Islam manakala angka itu pula adalah sebanyak 70% di daerah
parlimen Bukit Mertajam yang bersebelahan kawasan parlimennya.
Saya fikir ramai juga umat Islam yang tidak bersetuju dengan aksi
publisiti yang memecahbelahkan dan penuh hasutan oleh beliau ini. Namun, apa
sebenarnya yang boleh kita harapkan daripada seorang ahli parlimen yang
satu-satunya pencapaian sebelum beliau diundi adalah menjadi pendakwah agama
yang bangga berpoligami dengan 11 orang anak?
Kemenangan mengejut beliau ke atas penyandang jawatan Nurul
Izzah Anwar yang lebih terkenal adalah tanda konservatisme yang berleluasa di
kalangan pengundi Melayu-Islam, khususnya pengundi muda dan baharu.
Tinjauan ke atas
belia Islam di seluruh negara pada 2022, yang dijalankan oleh SIS
dan Merdeka Center, menunjukkan bahawa ramai daripada mereka berpegang pada
pandangan yang sangat konservatif dan saling bercanggahan, terutamanya soal
agama.
Misalannya, 44% daripada mereka bersetuju semua orang dibenarkan
memilih agama mereka sendiri tetapi hanya 6% bersetuju bahawa orang Islam harus
dibenarkan menukar agama mereka. Manakala 68% bersetuju bahawa undang-undang
Syariah harus sama atau lebih tinggi daripada undang-undang sivil dan 75%
bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.
Tidak hairanlah ramai daripada etnik Melayu muda yang
konservatif ini mengundi Perikatan Nasional pada pilihan raya umum lalu, dan
hampir membawa gabungan itu membentuk kerajaan pusat.
Kajian saya di negeri Kedah menggambarkan fenomena ini dengan
jelas. Di kerusi parlimen Baling, di mana orang Melayu membentuk 89% daripada
penduduk, penyandang ahli parlimen Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim, tewas dengan
margin yang besar sebanyak 29,137 undi walaupun pengundi baru yang layak
mengundi meningkat sebanyak 24,886. Bahkan, Abdul Azeez menerima lebih sedikit
undi pada pilihan raya umum 2022 (35,356) berbanding pilihan raya umum 2018
(38,557).
Ini bermakna kebanyakan undi Melayu yang pernah menjadi milik
Umno beralih kepada calon Pas-PN pada pilihan raya 2022 kerana mereka dilihat
lebih menjuarai dan mewakili kepentingan Melayu dan Islam.
Kita mungkin akan melihat arus gelombang konservatif ini
berterusan dalam pilihan raya negeri akan datang di enam negeri. Ia adalah
sebuah arus di mana kita yang berfikiran sivik dan yang mengambil berat tentang
soal dan hak kebebasan perlu gusar.