Shafee terima ‘fi’ RM9.5j daripada Najib, sembunyikan daripada LHDN, kata pendakwa-Boleh dok sekali dengan Najib

 

FMT Reporters

 -

May 21, 2021 


KARMA ATAS APA YANG DILAKUKAN PADA ANWAR


Muhammad Shafee Abdullah menghadapi empat tuduhan pengubahan wang haram.

PETALING JAYA: Pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram Muhammad Shafee Abdullah yang bermula hari ini akan membuktikan bahawa tertuduh dalam kapasitinya sebagai peguam bela dan peguam cara telah menerima RM9.5 juta sebagai ‘fi’ daripada Najib Razak namun menyembunyikan fakta itu daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut laporan Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika membacakan kenyataan pembukaan dalam perbicaraan Muhammad Shafee berkata, tertuduh berusia 69 itu menerima bayaran daripada bekas perdana menteri tersebut dalam dua tranche pada 2013 dan 2014.

“Sejumlah RM4.3 juta telah diterima pada 5 Sept 2013. Cek bagi jumlah itu telah dideposit ke dalam akaun peribadinya dengan bank CIMB di cawangan berhampiran pejabatnya.

“Pembayaran ini adalah sebahagian daripada intipati pertuduhan pertama. Tertuduh tidak mengisytiharkan jumlah ini kepada LHDN seperti dikehendaki oleh undang-undang.

 “Tranche kedua RM 5.2 juta telah dideposit ke dalam akaun sama pada 17 Feb 2014. Ini adalah sebahagian daripada intipati pertuduhan kedua.

“Tertuduh tidak mengisytiharkan jumlah ini kepada LHDN seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Pendakwaan akan membuktikan fakta ini kemudian,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Afzainizam berkata pendakwaan berpandangan bahawa dalam pertuduhan pertama dan kedua ialah persekitaran yang menyaksikan wang terbabit diterima dan disembunyikan daripada LHDN memungkinkan mahkamah menganggap bahawa tertuduh terlibat dalam aktiviti haram, seterusnya melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Selain itu, Afzainizam turut berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh melanggar Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh telah memberikan versi yang bercanggah sebagai alasan bagi pembayaran fi terbabit,” katanya.

Beliau juga berkata pada 28 Julai 2017, ketika memberikan kenyataan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tertuduh menyebut bahawa wang itu adalah fi yang dibayar kepadanya namun telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi dan bukan akaun firma guaman Tetuan Shafee & Co.

Afzainizam juga berkata tertuduh dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 8 Sept 2018 telah mendakwa bahawa RM9.5 juta itu adalah bayaran fi kepadanya sementara menunggu rasionalisasi kertas kerja yang dipersetujui Najib.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima sekeping cek bagi jumlah RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan sekeping lagi bagi jumlah RM5.2 juta pada 17 Feb 2014 di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee turut berdepan dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil aktiviti haram dengan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014 di cawangan LHDN Duta di Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim di sini pada 3 Mac dan 29 Jun 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Muhammad Shafee berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram terbabit, jika sabit kesalahan.

 


No comments: