-
May 21, 2021
KARMA ATAS APA YANG DILAKUKAN PADA ANWAR
Muhammad Shafee Abdullah menghadapi empat tuduhan pengubahan
wang haram.
PETALING
JAYA: Pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram Muhammad Shafee
Abdullah yang bermula hari ini akan membuktikan bahawa tertuduh dalam
kapasitinya sebagai peguam bela dan peguam cara telah menerima RM9.5 juta
sebagai ‘fi’ daripada Najib Razak namun menyembunyikan fakta itu daripada
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut
laporan Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika membacakan
kenyataan pembukaan dalam perbicaraan Muhammad Shafee berkata, tertuduh berusia
69 itu menerima bayaran daripada bekas perdana menteri tersebut dalam dua
tranche pada 2013 dan 2014.
“Sejumlah
RM4.3 juta telah diterima pada 5 Sept 2013. Cek bagi jumlah itu telah dideposit
ke dalam akaun peribadinya dengan bank CIMB di cawangan berhampiran pejabatnya.
“Pembayaran
ini adalah sebahagian daripada intipati pertuduhan pertama. Tertuduh tidak
mengisytiharkan jumlah ini kepada LHDN seperti dikehendaki oleh undang-undang.
“Tertuduh
tidak mengisytiharkan jumlah ini kepada LHDN seperti yang dikehendaki oleh
undang-undang. Pendakwaan akan membuktikan fakta ini kemudian,” katanya di
hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin pada hari pertama
perbicaraan kes itu.
Afzainizam
berkata pendakwaan berpandangan bahawa dalam pertuduhan pertama dan kedua ialah
persekitaran yang menyaksikan wang terbabit diterima dan disembunyikan daripada
LHDN memungkinkan mahkamah menganggap bahawa tertuduh terlibat dalam aktiviti
haram, seterusnya melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen
4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan
Keganasan 2001.
Selain
itu, Afzainizam turut berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh
melanggar Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Pendakwaan
akan membuktikan bahawa tertuduh telah memberikan versi yang bercanggah sebagai
alasan bagi pembayaran fi terbabit,” katanya.
Beliau
juga berkata pada 28 Julai 2017, ketika memberikan kenyataan kepada pegawai
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tertuduh menyebut bahawa wang
itu adalah fi yang dibayar kepadanya namun telah dimasukkan ke dalam akaun
peribadi dan bukan akaun firma guaman Tetuan Shafee & Co.
Afzainizam
juga berkata tertuduh dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 8 Sept 2018 telah
mendakwa bahawa RM9.5 juta itu adalah bayaran fi kepadanya sementara menunggu
rasionalisasi kertas kerja yang dipersetujui Najib.
Pada 13
Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima
hasil aktiviti haram melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib dan dimasukkan ke
dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Beliau
didakwa menerima sekeping cek bagi jumlah RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan
sekeping lagi bagi jumlah RM5.2 juta pada 17 Feb 2014 di CIMB Bank Bhd, J2
& K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.
Peguam
itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang membawa
hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya jika
sabit kesalahan.
Muhammad
Shafee turut berdepan dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil aktiviti
haram dengan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah dengan perenggan
113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013
dan 31 Dis 2014 di cawangan LHDN Duta di Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku
Abdul Halim di sini pada 3 Mac dan 29 Jun 2015.
Bagi
kedua-dua pertuduhan, Muhammad Shafee berdepan hukuman maksimum penjara 15
tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram terbabit, jika sabit
kesalahan.