POSTED BY AMIR WRLW
Kenaikan harga barangan keperluan harian yang mendadak pada musim
perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu amat meresahkan rakyat.
Lebih menyukarkan kehidupan, ketika ekonomi negara meleset harga tidak pula turun selepas dinaikkan oleh peniaga.
Bagi Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH), kenaikan yang tidak dibendung pada waktu rakyat kekurangan pendapatan diibaratkan seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga'.
Oleh itu, Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH mendesak kerajaan Perikatan Nasional lebih fokus dalam menangani kenaikan harga termasuk kos-kos selain barangan makanan yang terpaksa ditanggung rakyat.
"Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Indeks Harga Pengguna meningkat kepada 4.7% pada April 2021 lalu. Ia merupakan inflasi tertinggi sejak tahun 2018 dan trend itu dijangka akan berterusan sehingga suku pertama 2022.
"Kami mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan-tindakan perlu untuk mengurangkan kesan kenaikan inflasi tersebut sedapat mungkin," kata mereka dalam satu kenyataan.
Justeru, Jawatankuasa Kos Sara Hidup mencadangkan agar kerajaan PN mengawal harga semua jenis barangan dan perkhidmatan penting dalam kehidupan rakyat dengan apa jua cara.
"Sebaik-baiknya kerajaan mengurangkan kenaikan Indeks Pengangkutan dengan mengawal kenaikan harga petrol RON 95, RON 97 dan diesel
"Kedua, meneruskan diskaun elektrik kepada pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad
"Ketiga, mengawal dengan berkesan harga barangan makanan segar seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran," kata mereka.
Menurut jawatankuasa itu lagi, berbanding masa pentadbiran PH selama 22 bulan, kadar inflasi berada di tahap purata 1-2%. Hal itu, kata mereka, dalam keadaan ekonomi berkembang. Sebaliknya, pada masa sekarang, negara mengalami kemerosotan pertumbuhan dengan inflasi yang tinggi.
"Kemerosotan ekonomi akan mengurangkan pendapatan rakyat sedangkan kadar inflasi yang tinggi akan mengurangkan nilai Ringgit, ianya “purchasing power of the Ringgit”.
"Ini membuktikan kegagalan dan ketidakmampuan kerajaan PN yang sinonim dengan #KerajaanGagal yang membebankan rakyat," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Hassan Abdul Karim (KEADILAN), Datuk Hassanuddin Mohd Yunus (Amanah) dan Chong Chieng Jen (DAP).