Hari ini saya amat gembira kerana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke Republik Rakyat China (RRC).
Protokol ini dimeterai antara saya selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Mr. Yu Jianhua, Menteri General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) di Putra Perdana, Putrajaya.
Melalui pemeteraian Protokol ini, luang pasaran eksport baharu bagi buah durian segar dari Malaysia ke negara China telah dibuka. Sebelum ini, Malaysia diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018. Tambahan akses durian segar akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.
Insya Allah peluang yang cukup besar kepada lebih 63,000 pengusaha durian di seluruh negara untuk mengembangkan industri buah durian tempatan. Melalui Protokol ini, pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada GACC berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam Protokol tersebut dapat mengeksport buah durian segar ke negara China.
Pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport buah durian segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan emel kepada pro@doa.gov.my dan myskim@doa.gov.my.