KETERBUKAAN MENERIMA KRITIKAN



Mengkritik dan menerima kritikan adalah resam dalam dunia politik demokrasi.


Sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang, mengkritik dan menerima kritikan hampir tidak dapat dielakkkan.


Tetapi, parti yang menjadi kerajaan sudah tentu lebih terbeban dengan dihujani kritikan daripada pelbagai sudut, terutama sekali berkaitan sosok yang menjadi Perdana Menteri.


Seorang Perdana Menteri akan sentiasa menjadi perhatian dan sedikit silap saja yang dilakukan, kadang-kadang terlupa menyebut perpuluhan dalam angka pun misalnya sudah cukup untuk dijadikan bahan persendaan.


Dengan itu, pastilah lebih hebat lagi hentaman yang tiba apabila perkara-perkara besar seperti menaikkan harga diesel sehingga RM1.20 sen yang dilakukan oleh kerajaan.


Dulu ketika era Tun Abdullah Badawi, jika kita masih ingat, paling teruk kerajaan BN dihentam kerana kenaikan minyak sebanyak 0.78 sen yang dilakukannya.


Sebagai kerajaan, baik pemimpin yang berada dalam kerajaan atau penyokong di bawah yang hanya dapat sekupang dua, tugas mereka ialah menjawab segala kritikan itu dengan fakta dan naratif yang betul.


Jangan sesekali emosi atau marah-marah terhadap kritikan yang datang, waima daripada siapa sekali pun.


Terimalah segala kritikan itu dengan fikiran yang terbuka, terutama jika kita pernah jadi pembangkang sebelum ini.


Renunglah kembali ketika kita jadi pembangkang dulu, apa yang kita tidak serang, tidak balun dan tidak sembur pihak kerajaan?


Lantaran itu, harus ada jiwa matang dan rasional dalam menerima kritikan apabila sudah jadi kerajaan.


Lagi pun, jadi kerajaan ini bukannya sesuatu yang kekal abadi macam duduk dalam syurga.


Suatu masa yang tak tahu entah bila – putarannya akan tiba di mana kerajaan akan turun jadi pembangkang dan pembangkang bakal naik semula sebagai kerajaan.


Dalam hal berkaitan, bukan saja parti yang menjadi kerajaan harus rasional, pihakpembangkang dan penyokongnya juga harus mengambil iktibar yang sama.


Berpada-padalah juga dalam mengkritik dan menghentam pihak kerajaan kerana apabila tiba giliran jadi kerajaan nanti, kritikan dan hentaman itu secara automatik tertuju balik kepada kita.


Ketika jadi pembangkang, janganlah terlalu banyak berjanji yang melebihi upaya untuk melakukannya kerana ia pasti akan dituntut dan diungkit oleh rakyat.


Meskipun pemimpin selalu lupa, tetapi rakyat tidak pernah lupa.


Begitu pun, adalah lumrah bahawa menjadi kerajaan akan lebih terdedah kepada kritikan dan rakyat juga lazimnya lebih gemar membaca atau menonton kritikan-kritikan terhadap kerajaan berbanding kepada pembangkang.


Ini kerana bersama kerajaan ada kuasa, tetapi di sisi pembangkang tiada apa-apa.


Dalam keadaan itu, keprihatinan rakyat sudah tentu kepada kerajaan, khususnya berkaitan penyelewengan, rasuah, amalan kronisme, khidmat serta bantuan.


Yang penting, kita mesti rasional dan terbuka serta sentiasa menyedari hidup ini adalah macam roda. – ShahbudinHusin 20Jun2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/20/keterbukaan-menerima-kritikan.html



No comments: