PARTI GERAKAN



NASAEI ISMAIL

Parti Gerakan salah satu kompenen BN dahulunya, telah hilang dari arus perdana sejak kalah pilihanraya tahun 2008. Kemudian kalah lagi kesemua kerusi parlimen dan dun dalam PRU-2013 dan PRU-2018. Gerakan adalah parti yang dipenuhi 99 peratus kaum Cina.

Walaupun kalah, tetapi suaranya tetap agresif. Di antaranya Parti Gerakan menentang perlaksanaan hudud di Kelantan. Bukan sekadar menentang, malah membawa kes ke mahkamah dengan menyaman kerajaan Kelantan kerana hendak melaksanakan hudud.

Seterusnya dalam kes Chin Peng, Parti Gerakan mendesak kerajaan membenarkan bekas Ketua Parti Komunis Malaya itu untuk pulang ke Malaysia. Bukan sekadar abunya selepas kematian, tetapi jasadnya ketika Chin Peng masih hidup didesak Parti Gerakan agar diberi kebenaran untuk kembali ke Malaysia.

Tetapi hari ini Gerakan kembali bernafas apabila menyertai Perikatan Nasional (PN). Rakan-rakan gabungannya memberi nyawa baru selepas hilang 3 penggal, dan paling penting, tidak ada label anti Islam atau pro-komunis buat Parti Gerakan walaupun mereka pernah menyaman hudud dan pernah mendesak Ketua Komunis pulang ke Malaysia. Begitulah politik negara kita. Bersama kami, anda suci. Tidak bersama kami, anda kotor sekotor-kotornya.

* Tambahan info. Gerakan kecewa ICERD tidak diratifikasikan oleh kerajaan PH.