Kenyataan Istana Negara semalam yang membidas tindakan kerajaan
Perikatan Nasional (PN) mendahului Yang di-Pertuan Agong dalam memansuhkan Ordinan
Darurat sepatutnya menjadi titik nokhtah kepada rakan-rakan politik dalam PN
untuk menghentikan kerjasama dengan pentadbiran Perdana Menteri (PM) Tan Sri
Mahiaddin Yassin
Sehubungan itu, KEADILAN Sarawak menggesa agar Gabungan Parti
Sarawak (GPS) - salah satu sekutu PN - menarik balik sokongan kepada PM
Mahiaddin.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit,
tindakan berkenaan perlu dilakukan agar tidak mencemar maruah GPS dan Kerajaan
Negeri Sawarak yang dituduh bersubahat menderhaka kepada Agong.
"Dengan perkembangan terbaharu ini menunjukkan PN telah
melakukan perbuatan membelakangkan semangat Perlembagaan Persekutuan atau
secara spesifik telah menderhaka kepada titah Tuanku Agong.
"Maka KEADILAN Sarawak menggesa agar GPS untuk menarik balik
sokongan kepada Kerajaan PN berkuatkuasa serta merta, jika tidak ingin terpalit
atau dilihat bersekongkol dengan perbuatan menderhaka kepada Tuanku YDPA,"
kata kenyataan tersebut.
Selain itu, Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, kata Abun,
turut menyokong kenyataan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin
Nasution Ismail yang mencadangkan PM Tan Sri Mahiaddin meletak jawatan dan satu
langkah diambil untuk mengangkat Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai PM baharu.
"KEADILAN Sarawak menyokong penuh kenyataan media Setiausaha
Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang mendesak Tan Sri Mahiaddin
meletak jawatan segera dan digantikan oleh Datuk Seri Anwar, Presiden Parti
Keadilan Rakyat," katanya.
Selain itu, KEADILAN Sarawak juga menyatakan rasa syukur di atas
keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda di atas teguran terhadap
pentadbiran PM Mahiaddin yang secara semberono melanggar Perlembagaan dan
menyalahgunakan kuasa.
"KEADILAN Sarawak sangat bersyukur di atas kebenaran yang
dinyatakan di dalam kenyataan media Istana Negara yang sekurang-kurangnya
menjernihkan polemik krisis Perlembagaan berkaitan Perkara 150 Perlembagaan
"Kenyataan Media Istana Negara juga telah membuktikan bahawa
pihak pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar adalah tepat dan di pihak
yang benar bahawa Ordinan-Ordinan Darurat yang dikatakan telah dibatalkan pada
21.07.2021 sebelum ini sememangnya belum diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi.
Semalam, kenyataan media Istana Negara membidas tindakan kabinet
PN serta Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan yang mendahului Agong dalam
memutuskan serta mengumumkan Ordinan Darurat dimansuhkan pada 21 Julai.
Sedangkan dalam majlis mengadap Agong secara maya pada 24 Julai,
Baginda menitahkan agar ordinan tersebut dibawa ke Parlimen untuk proses
pengungkaian.