Undi sulit, PH mungkin mampu kekalkan Speaker Tan Sri Ariff
Usul Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin menukar Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Yusuf mungkin dianggap sebagai tidak mengikut undang-undang dan mencemar kemuliaan Parlimen kerana Speaker berkenaan tidak melakukan apa-apa kesalahan atau keuzuran sehingga membenarkan beliau ditukar.
Bagaimanapun, bagi Ahli Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen, Sivarasa Rasiah, Muhyiddin sebagai ketua kerajaan dibenarkan berbuat demikian. Cuma proses penukaran itu mesti dilaksanakan melalui Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Perlantikan Speaker dibuat di Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat, iaitu secara pengundian. Tetapi sekarang kita berada dalam keadaan luar biasa sebab kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin mahu berhentikan Speaker di pertengahan penggal.
“Ada dua perkara berlainan akan berlaku pada 13 Julai. Pertama, usul kerajaan PN untuk memberhentikan Speaker dan selepas itu kalau berjaya, mereka dapat majoriti, pemilihan Speaker akan dijalankan oleh Setiausaha Parlimen. Itulah prosedurnya.
“Perbezaan dua prosedur ini. Pertama, usul untuk memberhentikan Speaker dan Timbalan Speaker adalah usul biasa. Usul biasa terbuka untuk diundi. Bentara Dewan akan datang kepada setiap Ahli Parlimen, mereka akan suarakan (pilihan) dan ditulis. Prosedur ini terbuka dan sukar untuk disulitkan,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Bagaimanapun, kata Sivarasa, proses perlantikan Speaker baharu mungkin memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya dirancang dengan baik. Katanya, proses tersebut sulit dan andainya PH mempunyai sekutu di pihak PN maka pengundian ini adalah masa yang sesuai untuk membuktikan pengaruh Pembangkang di Dewan Rakyat.
Oleh itu, Sivarasa menggesa pimpinan utama PH segera berbincang bagi menentukan calon Speaker dan Timbalan Speaker untuk diundi kelak.
“Untuk pemilihan Speaker baharu, itu secara undi sulit. Diperuntukan dalam Peraturan Mesyuarat, Ahli Parlimen akan diberi kertas, tulis nama (Speaker baharu yang dimahukan), lipat dan beri balik kepada setiausaha untuk dikira.
“Ada kemungkinan di pihak PN mereka undi calon yang ditukar (calon PH). Jadi, maksud saya undi sulit sukar untuk diramalkan keputusan. Saya harap bagi pihak PH Plus, kita bermuafakat (tentukan nama Speaker) dan secepat mungkin masuk nama calon kita.
“Dalam keadaan sekarang yang terbaik ialah kekalkan, iaitu calonkan semula Ariff sebagai Speaker dan Nga Kor Ming timbalan. Tetapi saya harap pemimin sudah sediakannya (putuskan nama calon),” katanya yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh.
Sidang parlimen akan dibuka 13 Julai ini dan usul pertama yang akan diundi adalah pertukaran Speaker. Dispekulasikan PN akan mencalonkan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker baharu dan Timbalannya Azalina Othman Said.