Pemuda Amanah tolak dakwaan khianati Anwar
KENYATAAN MEDIA: Meneliti beberapa tulisan pimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mutakhir ini, Pemuda AMANAH Nasional ingin menegaskan bahawa kami menyokong dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama-sama pimpinan Pakatan Harapan Plus yang lain untuk membuat keputusan terbaik bagi menyelesaikan kemelut calon Perdana Menteri Ke-9. Meskipun memiliki pandangan berbeza dalam menentukan calon Perdana Menteri, namun kesepakatan telah dicapai untuk mempertahan mandat rakyat dengan segera mengambil alih kerajaan.
Selain itu, Pemuda AMANAH Nasional melahirkan rasa terkilan dengan tuduhan-tuduhan semberono bahawa AMANAH telah mengkhianati Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan membuat kesepakatan bersama pihak lain untuk memilih calon Perdana Menteri Ke-9. Wajib diingatkan sebahagian besar pimpinan dan akar umbi AMANAH adalah mereka yang telah bersama bergelumang dalam perjuangan Reformasi sejak 1998 lagi sehingga kini. Malah, antara pengasas awal Parti Keadilan Nasional pada ketika itu adalah sosok tubuh bernama Anuar Tahir, mantan Setiausaha Agung AMANAH.
Pemuda AMANAH Nasional menyeru kepimpinan PKR dan seluruh komponen Pakatan Harapan Plus tidak terlalu beremosi dengan membuat tuduhan-tuduhan liar yang boleh memecahbelahkan Pakatan Harapan.
PH Plus perlu memfokuskan kepada dua perkara penting iaitu mengembalikan mandat rakyat dengan mengambil alih semula kerajaan dan membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. Persengketaan hanya akan merugikan Pakatan Harapan yang selama ini berjuang menumbangkan kleptokrat. Sekiranya persengketaan ini berpanjangan, PH akan berdepan dengan defisit keyakinan daripada rakyat yang mahukan kita mengambil semula mandat PRU ke-14.
KEVIN SHAWN GOMEZ
Naib Ketua
Pemuda AMANAH Nasional
Naib Ketua
Pemuda AMANAH Nasional