Tindakan Tun Mahathir Mohamad mencadangkan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri PH Plus dan dalam masa yang sama menganggap Anwar Ibrahim tidak boleh diterima untuk jawatan tersebut kerana mengetuai parti yang berbilang kaum, hakikat ini lebih menyerlahkan keinginan Pengerusi Bersatu terpecat itu untuk menghalang kemaraan Presiden PKR mengambil alih kedudukan ketua kerajaan daripada Muhyiddin Yassin.
Ini juga menunjukkan kemungkinan yang lebih tinggi untuk Tun Mahathir memungkiri sekali lagi janji peralihan kuasa kepada Anwar, meskipun berjanji hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama enam bulan saja.
Belum pun permintaannya untuk memegang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga dipersetujui serta berjaya menjadi kenyataan, Tun Mahathir sudah secara berterus-terang mengatakan Anwar tidak boleh diterima untuk menerajui negara.
Logiknya, sudah tentulah setelah beroleh kuasa nanti, dalil-dalil enggan menyerahkan kuasa itu menjadi lebih dahsyat lagi didendangkannya.
Selain Anwar menjawab bahawa selepas enam bulan nanti di mana ketika peralihan yang dijanjikan itu berlaku beliau masih lagi Presiden PKR, sebuah parti berbilang kaum, Tun Mahathir sewaktu mengucapkan perkara itu seolah-olah lupa hakikat kedudukan dirinya sendiri.
Jika Anwar yang menerajui parti berbilang kaum dianggapnya tidak layak, adakah dirinya yang tidak berparti itu lebih layak menjadi Perdana Menteri?
Kiranya begitu juga, bagaimana pula dengan logo PKR yang digunakan untuk bertanding dalam PRU14 lalu, termasuk oleh Tun Mahathir, tetapi masih diberi sokongan oleh pengundi?
Dalam hal ini, jika PH mahu menganggap Tun Mahathir sebagai kawan yang mesti diberikan kerjasama sebagaimana yang ditekankan oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, jauh lebih mustahak daripada itu ialah Tun Mahathir mesti lebih dulu menganggap PH yang diterajui oleh Anwar juga sebagai kawan yang perlu beliau bekerjasama dengannya.
Tetapi, adakah tingkah laku Tun Mahathir memperlihatkan yang beliau menganggap PH sebagai kawannya?
Kalau PH saja yang mahu menganggap Tun Mahathir sebagai kawan, namun beliau pula melihat keberadaannya bersama PH hanya sebagai peluang melakukan khianat dan dendam, sebenarnya hanya membuang masa saia meneruskan hubungan dengannya.
PH sebagai sebuah gabungan yang stabil berbanding Tun Mahathir yang tidak berparti serta partinya sendiri, Bersatu sudah jadi Berdua, mesti jelas dalam membawa jati diri serta hala tuju perjuangannya.
Tidak harus ada pihak dalam PH jadi lemah, mudah terpedaya dan seolah-olah mahu menjemput pengkhianatan secara sengaja buat kesekian kalinya.
Tidakkah kita lupa bagaimana sebelum ini Tun Mahathir memperlekeh janji manifesto, mempermain-mainkan tempoh peralihan kuasa dan meletak jawatan tanpa berunding dengan PH?
Bak kata pepatah, janganlah sudah terhantuk dua tiga kali pun tapi masih juga tak reti-reti menjaga dahi.
Meskipun PH atau sesiapa saja daripada gabungan itu boleh menarik sokongan terhadap Tun Mahathir agar kerajaan terbubar dan PRU baru diadakan jika janji kepada Anwar dimungkiri sekali lagi seperti yang cuba diyakinkan oleh Anthony Loke, nasi ketika itu telah menjadi bubur dan niat Tun Mahathir untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri dengan sendirinya sudah pun tercapai.
Pasti selepas itu, Tun Mahathir akan tersenyum puas, bukan saja kerana berjaya menghalang Anwar, tetapi sekali lagi dapat memperbodoh-bodohkan PH.
Pada waktu ini, makanya mengajak PH untuk bekerjasama, berbaik, berkawan dan memberi peluang sekali lagi kepada Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri adalah kerja sia-sia, membuang masa dan hanya menjadikan PH ditertawakan oleh sejarah.
Langkah yang betul ialah Tun Mahathir mesti diajak untuk bekerjasama, berkawan dan berbaik dengan PH serta menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri tanpa sebarang keraguan.
Jika Tun dikatakan sebagai orang yang boleh mencukupkan nombor bagi mengembalikan mandat rakyat kepada PH, beliau mesti berusaha melakukannya dengan keupayaan yang serupa biar pun bukan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.
Itu barulah dinamakan ada kejujuran dan keikhlasan, bukan hanya sedia mencukupkan nombor jika dirinya saja dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Janganlah lupa dengan kedudukan PKR yang ada 38 nombor dan PH yang mempunyai 91 Ahli Parlimen.
Lagi pun, selain mengambil balik kerajaan adalah mustahak bagi PH demi maruah mandat rakyat yang telah diperolehi, lebih penting bagi Tun Mahathir adalah mengambil semula Bersatu yang drampas Muhyiddin daripadanya.
Tanpa PH menjadi kerajaan semula dalam waktu terdekat ini, Bersatu akan terus berada dalam genggaman Muhyiddin dan mungkin akan terhapus pendaftarannya tidak lama lagi melalui penggabungannya dengan UMNO.
Berbeza dengan Anwar dan PH, di samping kedudukannya lebih kukuh dan boleh mengharungi masa depan dengan asas reformasi yang diperjuangkannya bersama DAP dan Amanah, Tun Mahathir mungkin akan mengakhiri kehidupan ini dalam sengsara dan duka lara jika Bersatu gagal diperolehinya semula.
Untuk mencapai semua tujuan itu, jika benar Tun Mahathir tiada niat dalam hati untuk khianat dan menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri, pilihan yang terpuji baginya ialah mengalah dan bersama-sama PH menggembleng tenaga mengambil semula kerajaan.
Kepada pemimpin-pemimpin PH pula, berhentilah merasionalkan perlunya kita bekerjasama dengan Tun Mahathir, sebaliknya cubalah rasionalkan Tun Mahathir bahawa beliau jauh lebih perlu memberikan kerjasamanya kepada PH. (Shahbudindotcom 19/06/2020)