Jawatan PM: Yakinkan kami Datuk Seri…



SATU Malaysia tahu betapa tingginya harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menduduki takhta nombor satu pentadbiran negara iaitu jawatan Perdana Menteri. Pelbagai liku, onak dan duri terpaksa beliau tempuh untuk sampai ke tahap sekarang (walaupun masih belum menjadi PM).
Bukan satu rahsia lagi yang Anwar pernah menjadi ‘blue-eyed boy’ Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga satu peringkat sudah sampai ke jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum sengketa berlaku di antara keduanya.
Dituduh terjebak dalam skandal moral hingga ditumbuk Ketua Polis Negara, ditelanjangkan dan disumbat ke dalam penjara, mengetuai gerakan reformasi hingga berjaya mengumpul puluhan dan mungkin ratusan ribu penyokongnya di seluruh negara dan macam-macam lagi.
Namun sehingga sekarang, masih dalam ‘senarai menanti’ walaupun cap jari ‘dah lama kering’ untuk menduduki kerusi Perdana Menteri yang didambakan sejak sekian lama.
Walaupun acapkali cuba menyakinkan rakyat Malaysia yang tampuk pemerintahan negara akan berpindah kepadanya, namun ramai yang masih sangsi sama ada Tun Dr. Mahathir akan benar-benar melepaskan kerusi itu kepada Ahli Parlimen Port Dickson tersebut seperti mana yang dijanjikan dan diwar-warkan itu.
Apatah lagi apabila pemerhati politik melihat orang kanannya sendiri, Datuk Seri Azmin Ali lebih ‘berpotensi dan berpeluang’ untuk menjadi Perdana Menteri berbanding dirinya.
Apa yang terjadi dalam Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Melaka kelmarin sebenarnya membuatkan kita tertanya-tanya, adakah Anwar sudah hilang magis atau lebih tepat lagi, sudah mula hilang kepercayaan daripada ahli-ahli dalam partinya sendiri?
Andai kata hipotesis itu benar, bagaimana mungkin Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan itu pada Anwar memandang orang dalam parti PKR sendiri menolak kepimpinan bekas Presiden ABIM itu?
MGF06122019_Kongres-AMK-Keadilan-2019_15-1
Kelihatan kekecohan berlaku antara perwakilan pada persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 06 DISEMBER 2019
Untuk rekod, kongres yang dihadiri lebih 1,000 anggota perwakilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka itu dicemari insiden kekecohan sehingga menganggu perjalanan kongres sayap itu sekaligus mencetuskan pergaduhan antara penyokong mengakibatkan dua individu cedera.
Insiden pergaduhan di Kongres Pemuda PKR tercetus apabila perwakilan dan anggota yang berpihak kepada Azmin, termasuk pengerusi tetap AMK yang dipecat Mizan Adli Mohd Noor, dilarang daripada memasuki dewan kongres.
Polis telah menahan dua orang lelaki bagi membantu siasatan kes itu dan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan dadah. Kedua-dua mereka direman dua hari bagi siasatan lanjut.
Siasatan awal kes itu mendapati terdapat dua kumpulan dalam AMK yang terlibat dalam insiden itu iaitu berbaju biru dan hitam, yang mana kedua-dua kumpulan itu adalah daripada parti yang sama.
Tak cukup dengan insiden ‘gusti’ kelmarin, malam tadi Azmin pula secara terbuka menyalahkan Anwar yang didakwanya melanggar persetujuan yang telah dicapai sehingga menyebabkan mereka melangkah keluar daripada kongres parti itu yang sedang berjalan.
MGF07122019_Kongres-Nasional-Keadilan-ke-14_49-1
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali bercakap pada sidang media mengenai Kongres Nasional Keadilan ke-14 di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2019
Azmin berkata, semasa pertemuan dengan Anwar pada 4 Disember, kedua-dua kumpulan mencapai kesepakatan yang komposisi pembahas mestilah adil, serta tidak dibenarkan menyinggung, menyindir atau menyerang mana-mana pihak.
Anwar juga, kata Azmin, memberi jaminan bahawa semua pihak perlu mengikut garis panduan yang telah dipersetujui. Bagaimanapun semasa kongres itu, beberapa perwakilan memberikan ucapan berbentuk sindiran terhadap Azmin yang menyebabkan penyokong timbalan presiden PRK itu keluar dewan.
Azmin berkata masalah itu bermula daripada ucapan dasar Anwar dan pemilihan pembahas dalam kongres berkenaan juga dibuat berat sebelah. Selain itu, katanya majlis penganugerahan yang berlangsung juga bersifat provokatif dan menafikan sumbangan besar pemimpin-pemimpin PKR di peringkat akar umbi.
Dalam nada yang keras, Azmin menuduh Anwar gagal menunaikan janjinya!
Atas segala pergaduhan dan kekecohan yang terjadi, kita tertanya-tanya, bagaimana Anwar mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya andai kata peralihan kerusi atau tampuk Perdana Menteri benar-benar berlaku?
Bahasa mudah, parti sendiri pun tak mampu nak kawal – bagaimana nak jaga Malaysia?
Anwar sendiri mengaku insiden kekecohan itu disebabkan ketidaktegasan beliau.
“Saya ini sangat conciliatory and forgiving (bersifat mengutamakan kedamaian dan pemaaf) kadang-kadang macam semalam,” ujarnya.
MG231119_MESYUARAT-MAJLIS-PAKATAN-HARAPAN09
Reaksi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) bersama Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) semasa sidang media selepas pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 NOVEMBER 2019
Anwar boleh kata dan dakwa apa sahaja, tetapi apa yang terjadi ini sedikit sebanyak telah membuatkan ramai pihak tertanya-tanya, adakah Anwar ‘fit’ untuk berada di kerusi Perdana Menteri dan adakah sindiran seperti ‘Anwar akan terus jadi PM tepi’ akan menjadi realiti?
Rakyat memerhati. Rakyat menilai. Akhir sekali rakyat juga yang akan menghukum.
Anwar perlu lakukan sesuatu untuk menyakinkan masyarakat yang beliau sememangnya layak untuk menjadi Perdana Menteri.
Simpan saja retorika dan cerita lama, ini sudah bukan lagi masanya.