JANGAN RISAU, ZAHID SEBENARNYA MENYINDIR NAJIB....

JANGAN RISAU, ZAHID SEBENARNYA MENYINDIR NAJIB....

Apabila Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi tiba-tiba mendedahkan adanya usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya yang diketuai oleh seorang pemimpin UMNO, segera kedengaran banyak sosek-sosek menimpa dirinya kembali.

Ramai yang mengatakan, apa salahnya pertukaran kerajaan selain pilihanraya, jika bukan dengan kekerasan atau angkat senjata. Di Sabah, beberapa kali pernah berlaku dan di Perak ia baru saja berlaku pada 2009 lalu. Takkan Zahid tak tahu, kata mereka,

Sambil itu, rama juga yang mengingatkan Zahid agar tidak lupa bahawa pendedahannya mengenai pemimpin pembangkang yang didakwanya menjadi dalang tragedi Lahad Datu, sehingga sekarang masih tidak dijawabnya lagi.

Kata mereka, janganlah hendaklah pendedahan kali ini juga tiada jawapannya sampai akhirnya.

Begitu juga dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti Mohamad Sabu terlibat dengan ajaran Syiah, sampai sekarang juga gagal ditunjukkannya kebenaran itu kepada umum. 

Memangnya Zahid, terutama sejak menjadi Menteri Dalam Negeri, suka menunjukkan beliau mempunyai maklumat itu dan maklumat ini, tapi akhirnya tidak lebih  sekadar khabar yang dikutip daripada burung-burung berterbangan saja.

Ada pula berkata, Zahid tidak sepatutnya cuba memesongkan isu kerana beliau perlu lebih menumpukan perhatiannya untuk menjawab pertanyaan rakyat mengenai syarikat adiknya yang terlibat dalam bidaan menguruskan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh melalui Kementerian Dalam Negeri yang diterajuinya.

Tambahan lagi, jika dilihat daripada pendedahan Zahid itu, beliau seperti mempunyai maklumat yang cukup lengkap mengenai usaha menggulingkan kerajaan itu. Tapi, sebagaimana selalu, beliau suka membiarkan orang berteka-teki, sama seperti orangramai mungkin berteka-teki sampai mati mengenai dalang Lahad Datu dan bukti syiahnya Mat Sabu.

Sehingga ini, dua pemimpin UMNO yang paling mungkin terlibat sebagaimana dakwaan Zahid itu, sudah pun menafikan penglibatan mereka. Muhyiddin Yassin  mengatakan bodohlah jika beliau melakukannya kerana sudah terlibat dalam pembinaan kerajaan ini sejak 40 tahun yang lalu.

Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata, beliau masih bersama kepimpinan Najib sambil menyindir, kerajaan hanya dapat digulingkan melalui kekuatan tentera dan tidak ada mana-mana individu yang mampu melakukannya dengan kekuatan biasa.

Begitulah bila Zahid sekali lagi cuba bikin gempar dalam negara. Bukannya kenyataannya itu mahu disokong atau dipuji, tetapi lebih ramai yang ragu-ragu dan skeptikal dengannya.

Sebabnya tidak lain ialah kerana Zahid dikenali sebagai pemimpin yang suka baling "bom asap" saja selama ini. Kadang-kadang berita dari burung berterbangan saja sudah dianggap seperti wahyu dari Tuhan. 

Beliau sebenarnya membaling bom bukan untuk membunuh musuh tetapi agar semua tumpuan tertuju kepada kepulan asap itu saja. Apa gerakannya di sebalik asap berkepul-kepul itu hanya beliau saja mengetahuinya.

Sebab itu, jangan marah, kritik atau hentak Zahid dengan kenyataannya kali ini. Sekarang beliau sudah jadi orang nombor dua dalam kerajaan, tetapi kedudukannya masih belum selamat lagi untuk menjejak singgahsana Seri Perdana.

Dalam UMNO, kerusi nombor dua masih lagi dipegang oleh Muhyiddin. Zahid juga tidak boleh percaya sepenuhnya kepada Najib untuk memberi laluan "smart tag" kepadanya kerana masih ada Hishammuddin Hussein, sepupu Perdana Menteri sebagai pesaingnya.

Selain itu, di luar UMNO dan melalui tekanan Tun Mahathir, lebih banyak perancangan yang sukar dijangka untuk mengenepikan Najib daripada kedudukannya.

Maka, tidak mustahil lebih banyak lagi "bom asap"  akan diletupkan Zahid selepas ini.

Tujuan Zahid membaling "bom asap" mengenai wujudnya usaha menggulingkan kerajaan ini jika dihalusi disebabkan beberapa faktor. Antaranya, beliau ingin menyampaikan mesej bahawa kerajaan pimpinan Najib sekarang ini teramat lemah dan boleh ditukar bila-bila masa saja melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Dengan itu, Najib akan meletakkan lebih pergantungan kepadanya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk memantau serta mengekang gerakan tersebut.  Zahid secara tidak langsung memberitahu kedudukan kerajaan yang lemah itu adalah disebabkan isu-isu yang membeliti Najib sendiri.

Sementara kasih sayang Najib diharapkan lebih tertumpah kepadanya melalui pendedahan itu, Zahid dalam masa yang sama juga dapat mengukuhkan lagi kedudukannya melalui kelam kabutnya orangramai disebabkan "asap" itu.

Zahid bukan saja anak didik Anwar Ibrahim, tetapi cara gaya berpolitiknya juga tidak banyak berbeza dengan bekas Ketua Pembangkang itu. Bagaimana beliau mengumpul dan menjaga kekuatan sokongannya dalam UMNO adalah sama seperti Anwar dahulu. Jika Anwar suka pegang janggut orang bila bertemu kenalan lamanya, selain pegang janggut, Zahid pula kerap "cucuk perut" untuk menunjukkan keakrabannya.

Selain itu, tindakan Zahid mendedahkan wujudnya usaha menggulingkan kerajaan ini juga bertujuan menyindir Najib dan mengingatkannya tentang  "karma" yang pasti menimpa berikutan Najiblah yang mengetuai gerakan menggulingkan kerajaan Perak pimpinan Nizar Jamaluddin pada 2009 dahulu.

Dengan kata lain, kalau ikut lenggok cakap orang Bagan Datoh, maksudnya ialah "dulu kau gulingkan orang, kali ini tunggulah kau kena guling pulak."

Zahid hakikatnya tahu menukar kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen adalah "halal" dan dibenarkan oleh perlembagaan. Tetapi di Perak dahulu, usul tidak percaya itu tidak dibawa pun ke sidang DUN, hanya dipersembahkan kepada Istana Perak saja.

Sambil mengingatkan  itu, Zahid juga sebenarnya ingin menakut-nakutkan Najib akan ketentuan Tuhan yang  selalu "bayar cash" semua dosa dan kecurangan di dunia ini lagi. 

Lebih-lebih lagi Zahid juga tahu Najib turut menghadiri Malam Doa Untuk Malaysia di Dataran Merdeka pada malam tadi.

Untung-untung Najib jadi takut dan terganggu fikirannya, tambahan lagi beban 1MDB dan isu RM2,600 juta jauh lebih berat lagi bahananya di sisi Tuhan, lalu mungkin sedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya.

Jika ini tidak berjaya menggugat Najib, tunggulah "bom asap" seterusnya lagi daripada Zahid. (SH 16/08/2015)

GAMBAR: RUMAH TERBUKA PKR PAHANG DI BENTONG





GAMBAR: WFAUDZIN



Selesai Program Jelajah dan Amanat Presiden KEADILAN ke Pahang bertempat di Dewan Himpunan Cina Bentong. Turut diadakan serentak adalah Rumah Terbuka Aidil Fitri KEADILAN Pahang.
Tahniah kepada semua yg terlibat menjayakan kedua-dua program ini. Terima kasih kepada yang sudi meraikan Rumah Terbuka Aidil.Fitri.

GAMBAR : NIK OMAR SERTAI HARAPAN BARU

 INFO: Khalifah Timur


Hampir kesemua bekas su akhbar TGNA menyertai HARAPAN BAHARU kenapa ya? Mungkinkah mereka mengetahui sesuatu yang kita tidak tahu.

Nik omar bin Nik Aziz dan Dr Fauzi bekas S/U  akhbar TGNA secara rasminya menyertai HARAPAN BAHARU.

Surat Husam kepada Exco KELANTAN bakal berasap - MSO

Surat Husam kepada Exco bakal berasap

TERKINI

Bekas Exco kanan Kelantan Husam Musa (foto) telah menghantar surat kepada Exco Kelantan bagi menjawab tuduhan liar terhadapnya yang mendakwa beliau "makan" balak sekaligus menanyai beberapa persoalan yang bersifat pelik.
Surat Husam itu sudah tentu bakal menjadi satu keributan baharu di Kelantan dan membongkar satu lagi penyelewengan. Isu balak di Kelantan bukan sebesar isu 1MDB dialami Najib Razak, tetapi boleh membikin MB tidak nyenyak tidur.

Kenapa beliau berbuat begitu, mungkin sudah tidak tahan menanggung penghinaan dari mereka yang membencinya, yang malam siang menaburkan fitnah mentah untuk terus memburukkan reputasinya sebagai seorang ahli politik.

Sehingga kini isi kandungan surat itu belum dilepaskan lagi. Namun ia dapat dikesan menerusi satu carta yang dilepaskan dalam laman twiternya hari ini.

Carta berkenaan dinamakan "Surat Husam Pada Exco" menimbulkan enam persoalan berhubung dengan dakwaan ke atasnya dan mendedahkan isu baharu di Kelantan yang belum tersembur.
Carta surat Husam dari twiternya.
Persoalan dibangkitkan ialah mengenai kelulusan kawasan balak kepada syarikat Baldah, syarikat yang bertanggungjawab menguruskan projek pembinaan Lebuh Rakyat Rakyat Kelantan dimana beliau pernah menjadi pengerusinya sebelum kematian Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas ketiadaan Nik Abdul Aziz semua jawatan dipegang Husam berkaitan kerajaan dilucutkan oleh Menteri Besar Ahmad Yaakub.

Perkembangan semasa dalam syarikat itu yang mungkin tidak diteliti oleh pembuat fitnah menyebabkan fitnahnya tersasar kepada pihak lain. Pihak tertentu cuba mengaitkan Husam dengan kelulusan kawasan balak kepada Baldah untuk tujuan pembinaan Lebuh Raya Rakyat (LRRK).

Apa yang dapat difahami daripada carta berkenaan syarikat Baldah telah mendapat kelulusan untuk menebang balak di kawasan melibatkan pembinaan lebuh raya berkenaan bagi membiayai projek berkenaan. Lesen itu diluluskan pada 27 Januari 2015 dengan tempoh sahnya hingga April hingga Oktober 2015. No lesen ialah DT 01(P)-16-15Tahun 2015).

Yang menjadi persoalan ketika lesen itu diluluskan Husam tidak lagi menjadi Exco Kelantan. Beliau tidak disambung perkhidmatan dalam lantikan semula selepas pilihan raya umum Mei 2013. Secara absah beliau tidak ada kaitan dan kuasa meluluskan lesen berkenaan.

Serentak itu juga ekoran peralihan kepimpinan kedudukannya sebagai Pengerusi Baldah juga tidak disambung lagi. Yang menghairankan kenapa kelulusan itu terus dikaitan dengan dirinya? Inilah faktor kenapa Husam terpaksa mengutuskan surat kepada Exco memberi penjelasan dan meminta beberapa penjelasan mengejutkan. Tuduhan dan fitnah terhadap Husam itu tidak ubah seperti kerja menjolok sarang tebuan yang sarangnya melentang mentari.

Misalnya mengenai penyitaan 1,000 tan balak oleh Pejabat Perhutanan di kawasan lebuh raya berkenaan. Dari penjelasan itu balak yang dirampas itu adalah milik Baldah. Ini memelikkan? Mengapa Pejabat Perhutanan boleh menyita balak milik agensi kerajaan?

Daripada carta surat berkenaan beliau menimbulkan enam persoalan berkaitan perkara itu.

1. Siapa yang memilih kontraktor pembalakan itu dan siapa mendapat keuntungan (komisyen) daripadanya.
2. Apa terma dan kriteria dan apakah ia tender terbuka atau tertutup? Benarkah syarikat yang mendapat tander itu syarikat Lucky Wong?
3. Kenapa Pejabat Perhutanan menyita balak yang dikeluarkan kepada Baldah sebanyak 1,000 tan?
4. Apakah Baldah yang membuat laporan berhubungan kegiatan pembalakan haram berhampiran dengan kawasan miliknya. Kalau ada, apakah laporan polis atau laporan ke Pejabat Perhutanan? Jika tidak kenapa?
5. Adakah pengerusi Baldah mengetahui siapa bertanggungjawab melakukan pembalakan haram berhampiran kawasannya? Jika tidak mengapa?
6. Adakan kawasan R n R yang direzebkan untuk lebuh raya itu juga hutannya ditebas tebang.

Enam persoalan dibangkitkan Husam itu perlu dijawab dan diberi penjelasan oleh Exco khasnya Menteri Besar Ahmad Yaakub dan timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah yang dianggap zuhud dan sangat adil dalam pemerintahannya.

Sudah pasti rakyat Kelantan ingin mengetahui kedudukan perkara itu. Bagi Husam pula beliau mahu membersihkan dirinya dari segala sangka buruk yang diterimanya tidak habis-habis selepas ketiadaan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sekiranya apa dibangkitkan oleh Husam itu belum ada dalam pengetahuan kerajaan negeri ia hendaklah disiasat secara serius dan tindakan kepada mereka terlibat hendaklah diambil. Jangan bersikap berat sebelah dan pilih kasih. Mereka yang memfitnah Husam juga perlu bertaubat.

Sehubungan itu juga mana-mana pihak di Kelantan, sama ada parti, badan NGO perlu membuat laporan kepada SPRM agar menyiasat apa yang dipersoalkan Husam itu. Mereka bertanggungjawab "mentankedarah" harta rakyat wajib dihukum. Saya percaya sikap dan amalan bekas MB sebelum ini yang sedia disiasat diteruskan oleh MB kini. [wm.kl.11:07 am 13/08/15]


 

Najib pacu negara menuju kehancuran, segera selamatkan Malaysia – Anwar

Najib pacu negara menuju kehancuran, segera selamatkan Malaysia – Anwar

KUALA LUMPUR OGOS: Malaysia perlu diselamatkan segera sebelum ‘hancur’ di tangan Najib Razak dan pentadbirannya yang lebih mementingkan masa depan politik berbanding masa depan negara, kata saudara Anwar Ibrahim.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) bagai tidak mampu atau tidak mahu mengambil tindakan tegas dan pantas ketika Malaysia di dalam krisis ekonomi dan politik.

“Dakwaan berat terhadap Perdana Menteri di dalam skandal kewangan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) telah ditambah dengan kejadian-kejadian terkini, termasuk pemecatan Peguam Negara dan gangguan yang jelas terhadap SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
anwar1“Akibatnya nilai mata wang ringgit telah merudum ke tahap yang amat rendah dan keyakinan pelabur terus hilang dan ini akan mendatangkan kesan amat buruk terhadap kehidupan rakyat,” kata Anwar dalam perutusan yang disampaikan melalui peguamnya,

Beliau juga mengingatkan Najib dan pentadbirannya mengenai jasa pejuang terdahulu yang perlu dihargai dalam membina kemakmuran negara.

“Sejak merdeka malah sebelumnya lagi, begitu ramai rakyat patriot yang telah berkorban demi membina, mempertahan dan memakmurkan negara ini, termasuk angkatan tentera dan pasukan polis.

“Adakah begini caranya Datuk Seri Najib dan konco-konconya membayar balik hutang budi itu?
Dengan memacu negara menuju tebing kehancuran?” kata Anwar.

Tegas beliau, dengan tidak memberi penjelasan dan tidak mengambil tindakan pantas, seluruh kabinet dan BN terlibat bertanggungjawab di atas krisis ini.

“Namun Datuk Seri Najib dan pentadbiran beliau kelihatan lebih mementingkan masa depan politik diri mereka sendiri berbanding masa depan negara,” kata Anwar.

Justeru, beliau menggesa semua parti dan pemimpin politik, dan para wakil rakyat, mengetepikan perbezaan, ketengahkan kepentingan negara dan rakyat serta ketepikan lain-lain perkiraan.

“Dengan keberanian dan ketegasan, kita masih mampu mengatasi krisis ini, dan memulakan proses reformasi, mengembalikan demokrasi, dan menyelamatkan Malaysia.

“Tapi kita tak punyai banyak masa, kita mesti bertindak segera!” seru Anwar dari dalam Penjara Sungai Buloh.

Negara dalam ‘darurat’, Mat Sabu ajak rakyat turun Bersih 4

Negara dalam ‘darurat’, Mat Sabu ajak rakyat turun Bersih 4

(Oleh Ermizi Muhamad)
PETALING JAYA 15 OGOS: Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu mengajak seluruh rakyat turun ke Himpunan Bersih 4 hujung bulan ini dengan matlamat menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman kezaliman kerajaan Barisan Nasional.
Jelasnya, sokongan rakyat diperlukan bagi menyatakan bantahan terhadap kegagalan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
mat_sabu“Kita harap seluruh rakyat dapat turun seramai mungkin dalam himpunan kali ini kerana negara kita ini sudah berada dalam keadaan paling ‘darurat’.
“Darurat ekonomi, darurat rasuah, darurat penyalahgunaan kuasa, darurat penyelewengan ini perlu dihentikan.
“Rakyat perlu bersatu untuk perbetulkan keadaan ini melalui protes himpunan bantah secara aman terhadap pemerintahan Najib,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Bersih 4 di Dewan Sivik MBPJ malam tadi.
Ditanya mengenai sokongan GHB, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu berkata, gerakan itu turut memberikan sokongan penuh terhadap himpunan tersebut.
“Kami dari awal menyatakan komitmen kami untuk terus berkempen bukan saja di Kuala Lumpur, tetapi kami akan gerakkan penyokong GHB di seluruh negara untuk turut serta,” ujarnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67441

Bersih 4 manifestasi rakyat tolak Najib

Bersih 4 manifestasi rakyat tolak Najib

(Oleh Ermizi Muhamad)
PETALING JAYA 15 OGOS: Himpunan Bersih 4 hujung bulan ini diadakan sebagai simbolik penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah menegaskan, protes aman itu bukan bertujuan menggulingkan kerajaan, tetapi platform kepada rakyat menyatakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri serta bantahan kepada sistem politik pemerintah.
bersih-demo“Rakyat sudah hilang keyakinan kepada Najib tetapi Parlimen masih belum mengadakan mesyuarat tergempar untuk menentukan sama ada Najib masih menerima kepercayaan kebanyakan Ahli Parlimen.
“Parlimen kita sudah gagal, di bawah seorang Speaker yang tidak dipilih rakyat.
“Bersih 4 akan menjadi manifestasi undi tidak percaya ke atas Najib.
“Protes ini akan menjadi suara seluruh rakyat untuk mengukuhkan lagi sistem demokrasi berparlimen di negara ini,” kata Maria.
Beliau berucap pada majlis pelancaran himpunan itu yang dirancang selama 34 jam tanpa henti, bermula 29 Ogos ini, di Dewan Sivik Petaling Jaya malam tadi.
Sambung Maria, rakyat juga menuntut sistem politik dan kepimpinan yang bersih serta bebas rasuah.
grafik tuntutan“Kalau politik ini sistemnya masih tidak bersih, ia tidak akan selesaikan apa-apa pun.
“Muhyiddin (Yassin) atau Zahid (Hamidi) sekalipun yang ganti Najib, kalau masih korup dan tamak, semua skandal lain tidak akan dapat diatasi,” katanya merujuk penyelewengan kerajaan antaranya skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad), PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang) dan NFC (Pusat Fidlot Nasional.
Masih bertemakan kuning, perhimpunan itu akan berlangsung serentak di Kuala Lumpur dan beberapa bandar termasuk Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Pahang, Johor serta lebih 20 bandar di luar negara.
Empat tuntutan Bersih 2.0 dalam himpunan ini adalah membersihkan pilihan raya, kerajaan, menyelamatkan ekonomi dan menyatakan hak membantah.
Selain itu, 10 pembaharuan antaranya termasuk institusi pilihan raya, institusi Parlimen, menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) badan berperlembagaan yang menjawab kepada Parlimen dan menghalang Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan.
Oleh itu, Maria menyeru rakyat menyertai himpunan ini bagi melakukan pembaharuan terhadap institusi negara dan menamatkan rasuah yang dikaitkan dengan Perdana Menteri.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67432

Ust Ahmad Awang Dilantik Penasihat Umum Harapan Baru

Ust Ahmad Awang Dilantik Penasihat Umum Harapan Baru



Greeenboc





Ketua Ittihad Ulamak Cawangan Malaysia, Ustaz Ahmad Awang dilantik sebagai Penasihat Umum Harapan Baru (GHB).

Perkara tersebut diumumkan pada sidang media selepas majlis perasmian sempena program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI15) anjuran GHB hari ini.

Ustaz Ahmad Awang sebelum itu diundang merasmikan NUNJI15 yang berlangsung di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), hari ini.

Dalam ucapannya, Ustaz Ahmad Awang berkata, NUNJI15 yang mengangkat konsep "Rahmatan Lil Alamin" sebagai tema, diharapkan dapat diterjemahkan dalam membimbing perjalanan politik di Malaysia khususnya dan di dunia umumnya.

Menurut beliau, para peserta diberi peluang untuk mendengar dan berdialog dengan para pembentang yang berwibawa dalam bidang masing-masing serta tokoh yang dikenali masyarakat.

"Kehadiran Nadwah ini tepat pada masanya untuk para peserta menghadam tajuk-tajuk besar yang berkaitan dengan Islam dan kenegaraan.

"Perbahasan dan perincian tajuk besar ini mempunyai implikasi terhadap bagaimana para pengamal politik Islam khususnya berfikir dan menterjemahkan dalam gerak kerja dalam menyampaikan mesej Islam dalam kerangka sebuah negara," katanya.

Beliau turut mengharapkan nadwah ini dapat menyumbang kepada pembentukan satu formula kerangka fiqh tempatan yang bersifat majmuk dan rencam pemikirannya.

"Fiqh Malaysia atau Fiqh Malayzi adalah sumbangan besar Malaysia ke alam Islam dan dunia dengan menjadikan prinsip syariah sebagai panduan utama jalan formulasinya," katanya.

Ringgit merudum, Najib bertanggungjawab – Azmin Ali


Ringgit yang jatuh menjunam hanya boleh dihentikan sekiranya ada perubahan besar dalam kepimpinan negara, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini, yang mengatakan ia juga perlu bagi mengelakkan Malaysia daripada bencana politik dan ekonomi.
Timbalan presiden PKR itu juga mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “mempermainkan” rakyat apabila beliau menyalahkan “mainan dan spekulasi politik” negara yang menyebabkan ringgit makin susut berbanding dolar AS, sedangkan hakikatnya beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab.
“Kenyataan perdana menteri semalam yang ‘mainan dan spekulasi politik yang keterlaluan menyebabkan sentimen yang tidak menentu terhadap pentadbiran negara’, jelas bertujuan menyalahkan pihak lain selain dirinya yang mengakibatkan krisis matawang.
“Tiada apa selain perubahan besar dalam kepimpinan dan kesaksamaan politik boleh menghentikan kejatuhan merudum itu serta memelihara kita dari ambang bencana negara,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin hari ini berkata orang ramai tidak terpedaya dengan “grandstanding” Najib dan “sound bites” perhubungan awam beliau.
Ringgit dijangka terus lemah selagi ketidaktentuan politik berterusan, katanya.
Ringgit mencecah paras terendah 4.12 kepada dolar AS pagi ini selepas harga minyak mentah jatuh di bawah AS$42 (RM171) setong.
“Oleh itu, perdana menteri mesti berhenti berpura-pura mempamerkan seolah-olah keadaan berjalan seperti biasa dan beliau boleh terus memimpin negara keluar daripada keadaan huru-hara ini hanya dengan menyingkirkan timbalannya dan melantik menteri baru bagi menunjukkan sokongan yang dimilikinya,” katanya.
Azmin merujuk kepada tindakan Najib baru-baru ini yang merombak Kabinetnya dengan menggugurkan mereka yang mengkritik cara beliau mengendalikan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Najib juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Azmin berkata Najib gagal membersihkan dirinya dari skandal kewangan 1MDB yang melibatkan hutang sebanyak RM42 bilion, khususnya wang RM2.6 bilion dalam akaun beliau yang dikatakan sumbangan penderma politik, serta kesannya terhadap negara.
Beliau berkata, memang wujud faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan ringgit, seperti penurunan harga minyak, kemungkinan kenaikan kadar faedah AS dan susut nilai yuan China.
“Tetapi faktor-faktor ini memberi kesan kepada mata wang lain di rantau ini juga. Persoalannya ialah, mengapa ringgit kita yang paling teruk antara semua mata wang utama serantau?” soal Azmin.
Katanya, tindakan baru-baru ini seperti pembubaran anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), hasil rombakan Kabinet, dan halangan yang jelas terhadap penyiasat anti-rasuah yang menyiasat syarikat berkaitan 1MDB, juga menampakkan seolah-olah ada pakatan sulit dan konspirasi dalam kerajaan, yang memburukkan lagi persepsi negatif terhadap kepimpinan negara.

BERSIH 4.0 huru-hara: Mahfuz tolak ‘nasihat’ Hadi


Mahfuz Omar menolak demonstrasi aman akan jadi ganas dan memalukan negara sebagaimana diungkapkan Presiden Pas Hadi Awang baru-baru ini.
“Kita berdemonstrasi, bergaduh dengan pihak polis sedangkan orang lain memerhati. Jangan kita diperbodohkan (pihak tidak bertanggungjawab),” Hadi dipetik sebagai berkata.
Namun Mahfuz dalam kenyataan medianya tidak menganggap demikian:
1.Tidak wajar untuk mana-mana pihak merasai bimbang dengan demonstrasi Bersih 4.0. Sudah 3 kali demonstrasi Bersih diadakan sebelum ini disamping demonstrasi yang lain.Tiada pun dalam agenda penganjur untuk menimbulkan huru hara.Apa yang berlaku ialah keengganan pihak berkuasa khususnya Polis memberikan kebenaran dan kerjasama pada penganjur dan peserta.
2.Saya masih ingat bagaimana perkataan Bersih diharamkan dan baju kuning juga diharamkan. Ini merupakan provokasi awal pihak berkuasa menyekat kebebasan berhimpun.Ada perhimpunan yang dibuat di dalam Stadium Merdeka yang berjalan dengan lancar. Ada yang dibuat dihadapan bangunan Sultan Abdul Samad berlangsung dengan aman.Tidak dinafikan ada yang berlaku kekecohan akibat provokasi dan tindakan pihak berkuasa bertindak memukul dan menembak gas pemedih mata serta memancutkan air kimia melemahkan peserta.Sudah tentu bila berlaku tindakan keterlaluan seperti itu maka berlaku kekecohan tetapi bukan huru hara yang dirancang.
3.Demonstrasi di lebuhraya kesas bukan kerana peserta nak adakan demonstrasi di lebuhraya, tetapi tindakan bodoh pihak polis yang tidak membenarkan peserta keluar dari tol untuk menuju kejalan kebun tempat sebenar perhimpunan.Saya masih ingat kerana ketika itu saya bersama dengan Allayarham Dato’Ust Fadzil Noor, bekas Presiden Pas turut menyertai perhimpunan yang sepatutnya diadakan dijalan kebun terpaksa bertempiaran lari kerana dikejar polis dengan gas pemedih mata dan air kimia.
4.Demonstrasi kriket Israel menyaksikan hampir seratus orang yang ditahan termasuk saya dan Salahudin serta Haji Amjal yang didapati bersalah dan merengkok dalam penjara selama sebulan kerana kami enggan membayar hukuman denda yang dijatukan keatas kami. Kami berpegang bahawa himpunan kami adalah himpunan aman dan hanya inginkan Kerajaan Malaysia mengusir penyertaan pasukan kriket dari negara Haram Israel.Tiada tujuan untuk huru harakan negara.
5.Berlaku penangkapan yang brutal terhadap pimpinan politik dan Ngo.Datuk Seri Anwar Ibrahim,Dato’Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang,Hj Mohammad Sabu,Salahudin Ayob dan saya sendiri serta ramai lagi dalam himpunan bersih 3.0.Ada yang mati kerana sesak nafas akibat terhidu gas.Saya dan Salahudin Ayob menyaman kerajaan Malaysia dan PDRM kerana melakukan tangkapan yang salah dan akhirnya kami menang.
6.Tak wajar untuk mana mana pihak melihat dan mengaitkan demonstrasi untuk huru harakan negara,dan lebih lebih lagi melihat demonstrasi untuk gulingkan kerajaan.Demonstrasi hanya menuntut sesuatu dari pihak yang berkuasa,bukannya salah pun.Nak tuntut piliharaya yang bersih tak kan salah kut.Nak tuntut Najib letak jawatan ganti dengan orang lain yang juga dari Umno dan Bn itu bukan guling kerajaan namanya.Peserta demonstrasi tak bawa senjata api untuk rampas kuasa tawan istana Negara atau Parlimen Malaysia.Yang bawa senjata anggota keselamatan PDRM.Memang tak terguling kerajaan dengan demonstrasi.Najib pun tak kan terguling, kecuali Najib sendiri nak berguling.
7.Terima kasih Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Nor Rashid Ibrahim yang beri jaminan Polis hanya akan bertindak jika perhimpunan Bersih 4.0 cuba jatuhkan kerajaan melalui jalan yang tidak dibenarkan.saya menyakini perhimpunan Bersih 4.0 untuk tuntut piliharaya yang bersih untuk tujuan sebarang perubahan kerajaan mesti melalui proses demokrasi piliharaya.
8.Terima kasih sahabat saya Datuk Nur Jazlan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menyatakan tiada masalah dengan demo Bersih jika berlangsung dengan aman.Sememangnya perhimpunan Bersih adalah perhimpunan aman.Saya menyeru peserta Bersih 4.0 dan anggota keselamatan Polis dan tentera mari bersama kita menjaga keamanan negara.Pastikan BERSIH 4.0 aman tanpa provokasi dan gangguan.
9.Jadi Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ayuh kita bersama walaupun seketika pada 29 dan 30 Ogos untuk menunjukkan kesetiaan,kecintaan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia tercinta dalam BERSIH 4.0
Dato’ Mahfuz Hj Omar adalah Ahli Parlimen Pokok Sena

Mat Sabu: Bila Gerakan Harapan Baru, DAP, PKR & NGO Bersatu Tenaga, Barisan Nasional Out-U-Go

Parti baharu dilancar sebelum 31 Ogos terbuka pada bukan Islam, kata GHB

Parti baharu dilancar sebelum 31 Ogos terbuka pada bukan Islam, kata GHB

Mujahid Yusof Rawa (dua dari kiri) bercakap pada sidang media di Shah Alam, hari ini, yang turut disertai ahli jawatankuasa pusat Gerakan Harapan Baru Salahuddin Ayub (kiri) dan Ahmad Awang (kanan). – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 15 Ogos, 2015.Mujahid Yusof Rawa (dua dari kiri) bercakap pada sidang media di Shah Alam, hari ini, yang turut disertai ahli jawatankuasa pusat Gerakan Harapan Baru Salahuddin Ayub (kiri) dan Ahmad Awang (kanan). – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 15 Ogos, 2015.Parti baharu Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bakal dilancarkan sebelum sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini, dibuka kepada bukan Islam untuk menyertainya.
Timbalan Pengerusi GHB Salahuddin berkata, sebahagian besar ahli kumpulan ditubuhkan pemimpin progresif PAS itu akan menyertai parti baharu yang masih belum diputuskan namanya itu.
"Ia juga dibuka pada bukan Islam, tapi kami kekalkan dasar Islam. Tentang nama, kita tunggu satu sidang akhbar akan dipanggil.“Terpulang nanti sekiranya ada di antara kami yang ingin ataupun ada pandangan GHB perlu kekal sebagai NGO, tapi yang pastinya sebahagian kami akan menyertai parti baharu itu," katanya pada sidang di Shah Alam, hari ini.

Bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu berkata, penubuhan parti baharu itu akan turut menjadi pelengkap kepada Pakatan Rakyat baharu sebagai persediaan untuk pilihan raya umum akan datang.
"Itu lebih mudah untuk kita buat keputusan penting, dan kita rasakan perlu diisi dalam kelompangan untuk memperkukuhkan atau membina kembali Pakatan Rakyat," katanya. – 15 Ogos, 2015.
MENYUSUL LAGI   TMI

GAMBAR GAMBAR : Program Jelajah Amanat Presiden PKR bagi peringkat MPN Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin

Bekas MB bersumpah 1MDB minta cagar telaga minyak.KELANTAN SETUJU??

GAMBAR GAMBAR CERAMAH BERSIH 4 DI BAYAN BARU PKR,DAP GHB

Islam memerintah, Pas bertelagah


Perjuangan Pas pada zaman Presiden Fadzil Noor dan Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat adalah untuk meletakkan Islam sebagai pemerintah. Namun selepas kematian kedua-dua tokoh itu, Pas bertelagah sesama pemimpin dan ahlinya sehingga melemahkan pemerintahan dan kini kembali diperintah dan hilang kekuatan
Ciri hakiki dan sebenar bagi jemaah Islam mestilah punyai kuasa memerintah. Ketika itulah maka wajib setiap orang Islam menyertainya.
Namun apabila kelihatan kuasa semakin hilang dari kalangan jemaah Islam maka orang Islam kini berbondong-bondong masuk ke dalam parti yang kurang islamik seperti PKR atau DAP.
Harapan Baru dan PAS
Kala tersebar luas dan gegak gempita Gerakan Harapan Baru maka parti tua orang Islam – Pas – yang bertunjangkan ulama tua dan muda mulai mengemukakan komen dan berfatwa macam-macam versi.
Yang hakikinya ialah sebahagian ulama tua dan muda yang berjaya memperolehi kuasa sejak PRU 13 lalu merasakan bahawa Pas bakal ditinggalkan oleh sebahagian rakan-rakan seperjuangan yang berhasrat meneruskan dasar Islam melalui entiti baru kerana tidak yakin pimpinan baharu parti Islam boleh mengembalikan kepercayaan bukan Islam kepada parti itu.
Jadi, selepas ini, perjuangan Pas kembali semula kepada alim ulama yang hanya inginkan keredhaan akhirat dan tolak habuan duniawi dgn motto “kalah di dunia tidak gundah gulana namun menang di akhirat menanti para pejuang”
Inikah kesudahannya kepada Pas yang gemilang pada era 1998 – 2013 lalu?

GHB bawa mesej Pas
Maka dengan tertubuhnya sebuah parti politik yang membawa mesej Pas yang bersama Pakatan Rakyat maka penyokong tegar Pas yang mula beralih arah kepada GHB. Parti baru ini lebih bebas dan tidak perlu terikat dengan dosa dan pahala mengikut pemahaman ulama Pas sebagaimana yang diperjuangkan Pas.
Perjuangan Islam kini semakin disemarakkan oleh GHB yang disertai oleh aktivis yang selama ini menggerakkan jentera pas

Pelbagai parti tidak merugikan
Kononnya berbilang parti Islam akan merugikan jemaah. Tapi Pas sehingga kini tidak mampu menegakkan hujah tersebut. Malah berbilang parti tidak rugikan perjuangan Islam. Banyak negara Islam seperti Pakistan, Mesir, Tunisia, Turki dan sebagainya mempunyai pelbagai gerakan Islam dalam politik.
Sebaliknya bekas ahli dan penyokong Pas lebih tertarik dengan dakwaan Kekayaan dan gaya hidup pemimpin Pas yang menang Muktamar baru-baru ini agak keterlaluan sehingga menimbulkan persoalan punca dana. Apakah benar spekulasi bahawa mereka bersengkongkol dengan pimpinan Umno secara senyap?
GHB gantikan Pas
Bertiup kencang ura-ura kerajaan Selangor bakal disusun semula jika berlaku perubahan dalam penubuhan Pakatan 2.0 oleh PKR DAP dan parti baru GHB sedang diperkatakan dalam dan luar setiap parti.
Yang pasti jika Pas akan tersingkir daripada sebahagian kerajaan di Selangor maka banyak alim ulama Pas akan kehilangan jawatan sekaligus gaji dan elaun
Kalaulah pemimpin Pas tidak terlalu sombong memutuskan hubungan dengan DAP tempoh hari semua ini tidak akan terjadi. Wallahualam.

Ahli PAS Tak Dipujuk Atau Dpaksa, Mereka Sendiri Mahu Sertai GHB...


greenboc

Ahli PAS Tak Dipujuk Atau Dpaksa, Mereka Sendiri Mahu Sertai GHB...


PAS tak lagi bawa ajaran Islam sebenar, kata GHB Selangor

Gerakan Harapan Baru (GHB) Negeri Selangor hari ini mengumumkan senarai kepimpinannya selepas melihat PAS kini tidak lagi demokratik dan meninggalkan ajaran Islam sebenar.

Penyelarasnya, Izham Hashim berkata sepanjang 31 tahun penglibatannya dalam PAS, parti Islam itu kini dilihat membawa perbezaan besar daripada segi pemikiran yang memaksa GHB membawa wadah perjuangan Islam baharu.

"Apa yang mereka (PAS) bawa pada kami tidak bertepatan dengan Islam yang sebenar, iaitu terbuka dan demokratik, tidak lagi ada dalam PAS.

"Kita berpandangan, tidak ada pilihan melainkan kita terpaksa mengambil jalan (parti) yang baharu.

"Kita sudah cuba banyak tahun, buat perubahan dalam PAS, tetapi nampaknya kita tidak boleh berbuat sesuatu lagi," katanya pada satu sidang media di Shah Alam hari ini.

GHB Selangor mengumumkan 21 ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharudin yang dilantik sebagai timbalan penyelaras jawatankuasa itu.

Izham berkata GHB Selangor yang dibentuk ini akan terus membawa panji perjuangan politik Islam, membela rakyat serta menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua, khususnya di Selangor.

Katanya, keahlian GHB di Selangor pada hari ini hampir mencecah 3,000 orang dan 90% daripadanya terdiri daripada ahli PAS.

"Kita mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk bukan Islam, sama ada dari PAS Pusat atau pelbagai golongan dari NGO dan parti sendiri.

"Di Selangor, banyak desakan dari pemimpin PAS sendiri, dari semua peringkat, untuk meletak jawatan atau menyertai GHB.

"22 kawasan di Selangor sudah pun terbentuk. Sekitar 20 AJK setiap kawasan sudah dipenuhi, dan sekarang usaha mengumpul keahlian,"
katanya.

Mengenai kemungkinan berdepan pemecatan parti, Izham yang juga Yang Dipertua PAS Kelana Jaya berkata, perkara itu diserahkan kepada parti Islam berkenaan.

Beliau menegaskan, mereka tetap ahli PAS kerana GHB setakat ini masih belum diisytiharkan sebagai parti politik yang sah.

"Urusan pecat memecat, kita serah pada PAS. Kita tidak ada bidang kuasa menghalang.

"Setakat ini, secara rasmi, (surat pemecatan) belum dihantar kepada kita. Tetapi, ada kenyataan dibuat untuk mengambil tindakan, dan nama dikeluarkan dari kumpulan Whatsapp," katanya.

Izham berkata, GHB Selangor tidak akan menggunakan pendekatan memujuk atau memaksa mana-mana Adun PAS menyertai pertubuhan itu walaupun ada di kalangan Adun berkenaan menyatakan minat positif.

Katanya, menjadi harapan GHB untuk mengukuhkan kerajaan negeri Selangor selain membawa gambaran Islam sebenar menerusi gagasan baru itu.

"Tidak salah parti Islam menerima bukan Islam sebagai ahlinya malah di negara lain termasuk di Mesir, naib presiden partinya adalah seorang Kristian.

"Identiti kuat Islam adalah ia perlu terbuka kepada semua, kerana Islam untuk semua. Bukannya masuk parti Islam, kamu kena masuk agama Islam.

"Kita akan menjadi parti Islam contoh pada dunia yang menunjukkan Islam boleh membawa kepelbagaian dalam perjuangan," katanya.

Saari ketika sidang media itu berkata, tiupan angin penubuhan GHB bermula ketika krisis menteri besar Selangor yang berlarutan memperlihatkan PAS tidak boleh bekerjasama dengan parti lain.

Katanya, penubuhan GHB selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan Pakatan Rakyat (PR) terus memimpin Selangor dan seterusnya membawa perubahan kepada Malaysia.

"Apabila masalah ini berulang, keresahan penyokong PR itu muncul dan pada masa itu pada Oktober tahun lepas, isu perlunya parti baru yang fokus mengukuhkan PR menggantikan PAS sudah timbul.

"Kemunculan parti akan datang ini tuntutan rakyat. Kita tidak ada pilihan. Kita sudah diberi kemenangan di Selangor, 44 kerusi yang sangat besar. Kenapa ada masalah untuk bentuk kerajaan?" soalnya. – TMI


GHB muncul mendepani krisis negara oleh A Shukur Harun

Dengan memuncaknya pelbagai krisis di dalam negara, terutamanya skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serpihannya yang juga panas membara serta krisis lain maka rakyat semakin runsing, kecewa, malah lemas.

Bilakah krisis ini akan berakhir tidak ada siapa yang tahu, tetapi yang pasti nilai wang Malaysia semakin menurun, harga barangan terus naik dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sangat membebankan di samping pengangguran yang tentu meningkat dengan harga getah dan kelapa sawit terus juga menurun.

Lebih parah lagi apabila semakin ramai yang dibuang kerja akibat banyak syarikat ditutup di mana dunia perniagaan semakin muram. Ini menyebabkan rakyat merasakan kebimbangan yang amat sangat terhadap nasib anak cucu mereka disebabkan krisis ekonomi dan hutang negara terus meningkat.

Pemimpin politik bercakaran sesama sendiri. Saling mengampu dan menjatuhkan. Kegiatan ini sangat luar biasa.

Ada pula tokoh politik yang membisu kerana “kekenyangan”, tidak lagi pedulikan nasib rakyat yang terus tertekan.

Dalam masa yang sama kegiatan rasuah, penyelewengan semakin meluas yang melibatkan bukan saja golongan atasan, pertengahan bahkan sampai kepada golongan bawahan dan menjadi cara hidup yang sangat menakutkan.

Di sinilah dengan tiba-tiba rasuah menjadi “derma” dan pelbagai keanehan lagi berlaku, di mana krisis seberat ini tidak pernah berlaku selama ini.

Pengamal rasuah dan penyelewengan seperti serigala buas di hutan salji Siberia, membaham segala yang ada. Penguat kuasa terumbang ambing penuh dilema dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.

Dalam masa yang sama orang-orang besar yang berkuasa kelihatan kaku dan membiarkan krisis ini tanpa berusaha untuk menyelesaikannya ataupun memang krisis ini sudah tidak boleh diselesaikan.

Demikianlah keadaan begitu serius sekali. Dalam masa yang sama, jarang terdengar suara para agamawan memberikan pandangan. Mereka “membisu” atau terlepas pandang masalah ini hingga tidak terdengar pandangan mereka baik melalui pelbagai kuliah yang mereka berikan, atau kenyataan terbuka. Kecuali beberapa orang, antaranya Datuk Dr Asri Zainal Abidin dan beberapa orang lagi.

Di tengah suasana gawat inilah, bakal lahir parti politik baharu – Gerakan Harapan Baru (GHB) – di mana nama rasminya akan diketahui bulan depan. Ia hendaknya benar-benar menjadi harapan rakyat dan sangat dinantikan kehadirannya.

Parti baharu ini akan mewakili golongan Islam sederhana, progresif dan terbuka. Namun pendekatan sederhana dan progresifnya tidak bermakna mengkompromikan dasar Islamnya.

Ia melindungi dan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ia amat peduli rakyat dam ramah, berakar tunjang Islam sebagai Rahmatan Lil-Alamin, yang akan menaungi bukan saja umat Islam, tetapi juga bukan Muslim dan berusaha memperlihatkan keadilan Islam dalam bidang yang lebih luas.

Parti politik baharu ini dijangka akan mengambil peranan pentingnya bersama PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti pembangkang di Malaysia.

Berdasarkan tinjauan dan laporan yang diterima oleh parti baharu ini ternyata ia mendapat sambutan hangat rakyat pelbagai golongan. Road-show di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu menunjukkan parti baharu ini mendapat sokongan luar biasa dari pelbagai pihak, khususnya golongan muda.

Tanda jelas ia bukan saja dialu-alukan oleh masyarakat bandar tetapi juga masyarakat luar bandar.

Sementara itu, pelbagai NGO seperti Ikram, Pasma, Abim, pelbagai badan pelajar dan bekas pelajar, NGO profesional dan lain-lain memberikan sokongan kepada GHB ini.

Dalam masa yang sama semakin ramai golongan agamawan muda yang berfikiran terbuka dan tidak jumud, tampil memberikan pencerahan, terutama mengenai kedudukan politik Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini.

Mereka berusaha menjelaskan tasauwur Islam dengan lebih luas, berdasarkan pelbagai hujah al-Quran dan sunnah serta pandangan ulama muktabar. Agamawan muda ini semakin ramai yang memberikan sokongan dalam bentuk kenyataan terbuka, tulisan dan pelbagai wacana.

Semua usaha agamawan muda yang progresif ini sangat menolong usaha Gerakan Harapan Rakyat untuk mengetengahkan Islam yang syumul kepada rakyat pelbagai kaum.

Sementara itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), GHB meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan parti politik – PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

Ia komited dengan politik baharu yang berpaksi kepada politik berasaskan ilmu dan akhlak, serta bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.

Kini, pendukung GHB daripada pemimpin hingga aktivisnya bekerja keras untuk mempersiapkan GHB sebagai parti politik yang akan mengambil peranan penting dalam politik tanah air.

Jika segala-galanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, maka ia akan menjadi rakan penting kepada PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti politik pembangkang di negara ini.

Ramai berharap gabungan baharu parti pembangkang ini akan mengulangi kejayaan Pakatan Rakyat seperti dalam PRU2008 dan 2013 dulu. Bahkan ramai yakin GHB ini akan berjaya dengan sokongan 4.1 juta pengundi golongan muda seperti statistik PRU 2013 itu serta juga sokongan masyarakat sivil di negara ini

Suasana masa kini sangat berbeza dari masa lalu, maka dengan sokongan media baharu serta pemikiran baharu rakyat ia memberikan peluang cerah kepada gabungan baharu parti pembangkang ini untuk menjadi saingan utama Umno/BN.

Lebih-lebih lagi dengan suasana negara yang gawat sekarang, tenggelam dalam pelbagai krisis, maka ini memungkinkan gabungan baharu pembangkang menjadi pilihan utama rakyat dalam PRU akan datang.

Inilah masanya rakyat perlu melakukan perubahan menerusi demokrasi.