AI Untuk Rakyat program percuma tingkat kesedaran digital - Rafizi



Oleh: Helmi Mohd Foad



Kerajaan menyasarkan seramai satu juta peserta terlibat dalam program Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri Ekonomi.



Rafizi Ramli berkata program promosi selain melalui media sosial, ia juga dijalankan melalui agensi kerajaan seperti Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan, rangkaian Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Kementerian Komunikasi serta Pusat Sains Negara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.



"Selari dengan a ‘whole-nation approach’ di bawah kerangka MADANI, saya juga mengalu-alukan penglibatan sektor swasta untuk sama-sama menjayakan program ini.



"Saya sarankan kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang yang diberikan secara percuma ini untuk meningkat pengetahuan serta pemahaman tentang teknologi AI ini agar kita boleh bersama-sama membina masyarakat yang celik teknologi demi mencapai aspirasi menjadi negara berteraskan ekonomi digital menjelang 2030," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.



Perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Naib Canselor UPM Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.



Rafizi berkata program pembelanjaran kendiri dalam talian yang dibangunkan dengan kerjasama Intel Malaysia itu terbuka untuk semua lapisan rakyat Malaysia secara percuma dan disediakan di dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.



Beliau memberitahu program itu mengandungi dua modul iaitu AI Aware dan AI Appreciate disediakan dengan pendekatan pembelajaran kendiri yang anjal, boleh dilengkapkan mengikut tahap kelajuan masing-masing yang boleh disiapkan dalam tempoh empat jam jika dibuat secara terus menerus.



Katanya program yang boleh dicapai melalui portal www.ai.gov.my merupakan inisiatif kerajaan untuk mendekatkan jurang literasi digital di kalangan rakyat Malaysia. Bagi golongan pelajar.



"Program ini dapat memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan untuk menarik minat mereka untuk menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor iniBa," ujarnya.



Kata beliau bagi golongan masyarakat lain, program ini dapat memberikan fahaman asas tentang AI agar mereka lebih faham bahawa ia adalah teknologi yang boleh membawa manfaat besar kepada individu, masyarakat dan negara.



"AI bukanlah seperti yang telah digambarkan oleh Hollywood dan digembar-gembur sebagai teknologi yang akan mengambil alih fungsi manusia dan seterusnya akan menawan dunia.



"Pemahaman asas mengenai teknologi AI membuka peluang untuk memperdalam pengetahuan teknologi yang amat diperlukan dalam dunia digital," ujarnya.

 

 

No comments: