Astro Awani
Ogos 22, 2021
Salahuddin berkata, rakyat menunggu senarai barisan Kabinet yang akan dilantik oleh Ismail Sabri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ujian pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah memilih barisan jemaah menteri pentadbirannya, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menerusi akaun Twitternya, Ahli Parlimen Pulai itu mempersoalkan adakah Ahli-ahli Parlimen yang dilabel sebagai 'kluster mahkamah' dan dianggap menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan dicadangkan sebagai menteri.
"Adakah kluster mahkamah dan mereka yang jelas menderhaka kepada titah YDPA akan dicadangkan sebagai menteri kabinet? Inilah ujian pertama kewibawaan PM ke 9. Rakyat memerhati dan menunggu," katanya.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan 16 Ogos lalu.