Penilaian telus, sistemik pastikan insiden LRT tidak berulang

 

Oleh B. Suffian

Penilaian yang telus dan sistemik harus dilakukan untuk memastikan insiden kemalangan transit aliran ringan (LRT) di ibu negara semalam tidak lagi berulang, tegas Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, sepertimana diperkatakan mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, ia adalah krisis terburuk yang pernah berlaku kepada LRT sejak ia mula beroperasi pada tahun 1998

“Ingatan saya kepada mereka yang tercedera pada masa-masa yang sangat menyedihkan ini,” katanya di Facebook hari ini.

Anthony dalam satu kenyataan malam tadi menyeru pihak polis membuat siasatan mendalam terhadap kemalangan LRT tersebut memandangkan ia menyebabkan kecederaan orang awam.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban, sekiranya ia melibatkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 mesti diambil segera.

Anthony juga menambah, pasukan petugas siasatan yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan mesti terdiri daripada pakar-pakar bebas dalam bidang tren dan diberikan kebebasan seppenuhnya untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan tersebut.

Selain itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dalam reaksinya terhadap insiden itu berkata, kerajaan harus tubuhkan badan siasatan bebas untuk mencari punca kemalangan dan memastikan tragedi tersebut tidak akan berulang.

“Doakan keselamatan para penumpang terutamanya mereka yang cedera serta para anggota penyelamat. Semoga dipermudahkan segalanya,” katanya semalam.