SELALUNYA BILA MENAFIKAN, ADALAH KEBENARAN.



Apa lagi yang patut dilakukan selain membuat penafian?
Sebab, tentulah pula mustahil untuk mengiyakan?
Maka, penafian adalah lumrah dan satu-satunya jawapan yang dilihat mampu menyenangkan.
Benar atau tidak, hanya masa dan keadaan akan datang akan menentukannya.
Hishammuddin Hussein tampil menafikan dakwaan mahu membentuk kerajaan baru dengan mengenepikan DAP dan Amanah.
Tun Mahathir Mohamad yang ditanggapi banyak pihak sebagai merestui usaha dan idea Hishammuddin itu juga turut membuat penafian.
Tetapi, selalunya…daripada penafian ia menjadi sesuatu yang benar akhirnya.
Sudah banyak contoh, terutama berkaitan kejadian politik yang mengejutkan, semuanya bermula dengan penafian.
Sana nafi, sini nafi…akhirnya itulah yang terjadi.
Bak kata pepatah, kalau tiada angin, takkan pokok bergoyang.
Lantaran itu, walau sudah dinafi, PH mesti terus berhati-hati.
Untuk sementara waktu, seperti kata Anwar sendiri, penafian itu adalah berita gembira.
Tetapi, bukan untuk selama-lamanya boleh bergembira dan jangan sesekali leka dengannya.
Kerapkali penafian hanya untuk melekakan orang supaya rancangan yang sama atau dalam bentuk lain dapat diteruskan lagi.
Pokoknya, jangan sesekali berhenti berhati-hati. (ShahbudinHusin 16/10/2019)