BETUL AKAN BERLAKU LAGI TSUNAMI DALAM UMNO




Tolak jawatan timbalan menteri
Mar 19, 08 1:07am





Ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, malam ini menolak jawatan timbalan menteri pengangkutan selepas namanya diumumkan dalam barisan kabinet baru Perdana Menteri tengah hari tadi.

Penolakan seumpama itu dipercayai pertama kali berlaku, lapor Bernama tengah malam ini.

Anifah dilaporkan memberikan alasan bahawa beliau sudah berkhidmat selama dua penggal sebagai timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi dan sewajarnya "memberi laluan kepada orang yang lebih muda".

Ketika prestasi BN paling buruk kerana gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan hilang lima negeri ke tangan pembangkang, penolakan ini dijangka menjadi satu tamparan hebat buat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut laporan itu lagi, Anifah, adik Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (foto kiri), tidak menyebut alasan lain berhubung keputusannya itu.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana melantik saya tetapi saya telah memutuskan untuk tidak menerimanya," beliau dipetik sebagai berkata.

Anifah menang di kerusi Beaufort pada 1999 dan 2004 sebelum bertanding di kerusi parlimen barunya itu.

Belum jelas penolakan beliau itu akibat bantahan atau sebab-sebab lain.

Bagaimanapun BN Sabah dilaporkan kecewa apabila tidak diberikan lebih banyak jawatan utama walaupun negeri itu dan Sarawak menyumbang jumlah kerusi yang besar di Dewan Rakyat.

Daripada 140 kerusi BN di parlimen, 51 dimenangi di Malaysia timur. Parti-parti pembangkang kini memperolehi 82 kerusi - dua daripadanya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan ketua perhubungan Umno Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata pemimpin-pemimpin negeri itu meluahkan rasa kecewa selepas pengumuman tengah hari semalam kerana harapan mereka begitu tinggi untuk mendapat jawatan kanan.

Sebaliknya, lapor laman web New Straits Times, mereka perhatikan negeri-negeri yang berprestasi kurang baik dalam pilihanraya umum tetap diutamakan.

Tan Sri Bernard Dompok, presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), meluahkan sikapnya yang sama dengan pemimpin Sabah itu.

Pergerakan Wanita Umno turut membantah pengguguran dua pemimpin kanan mereka, termasuk ketuanya Datuk Seri Rafidah Aziz (foto bawah) yang mengekalkan kerusi Kuala Kangsar.

Naib ketua Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang tewas di kerusi Lembah Pantai, tidak tersenarai sebagaimana janji Abdullah untuk tidak melantik calon BN yang kecundang.

Bagaimanapun beliau tiba-tiba dilantik penasihat khas Perdana Menteri bagi hal-ehwal sosial dan wanita petang semalam selepas Wanita Umno mengadakan mesyuarat khas membincangkan barisan kabinet baru itu.

Pelantikan mengejut Shahrizat dilaporkan gagal meredakan kekecewaan mereka.

Kira-kira 50 pemimpin Wanita bergerak ke pejabat dan kediaman rasmi Abdullah di Putrajaya lebih kurang 8 malam tadi untuk menyatakan bantahan mereka.

Mereka kecewa kerana Wanita Umno yang sering bertungkus-lumus memenangkan calon-calon BN tidak dihargai.

Bekas timbalan perdana menteri, yang juga penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam meramalkan Umno akan terus bergolak susulan pengagihan jawatan dalam kabinet kali ini.