Mahu menang bersama Dr Mahathir, atau tewas di tangan Najib?



Perjuangan ibarat mendaki anak tangga yang tinggi. Kalau tidak mahu bergerak maju ke depan, anda menghalang orang lain yang turut sama mendaki.
Sebaiknya beralihlah ke tepi, beri jalan untuk orang lain yang sedang pantas menuju destinasi, jika tidak mahu dihumban beramai-ramai ke bawah tangga.
Ini analogi mudah untuk sekian ramai yang menggigil dan mengelupur apabila Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, sekiranya dan apabila kerajaan Umno berjaya ditewaskan dalam pilihan raya umum yang khabarnya kurang seratus hari sahaja lagi.
Selepas satu minggu pengumuman itu dibuat, gerombolan yang tidak bersetuju masih lagi gigih melayan naratif dan agenda Barisan Nasional untuk mengekalkan Dr Mahathir dalam konteks sejarah lampaunya, ketimbang meletakkan Dr Mahathir dalam konteks semasa sebagai ketua turus pakatan parti-parti DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.
Malah, gerombolan yang sama juga masih tidak menamakan siapa yang mereka mahu sebagai calon PM apabila Umno-Barisan Nasional (BN) sudah angkat bungkus dan berambus dari Putrajaya.
Barangkali gerombolan ini memang tidak ada cita-cita untuk menang pilihan raya dan mengambil alih kerajaan. Barangkali mereka hanya mahu jadi parti pembangkang sampai bila-bila.
Bukanlah saya mengatakan keputusan untuk kekal sebagai pembangkang itu salah. Jika itu keputusannya, baguslah. Seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, memang sepatutnya wujud pembangkang yang berfungsi apabila PH mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Umno tidak pandai jadi pembangkang.
Memandang ke depan
Ketika Dr Mahathir mengetuai Deklarasi Rakyat, yang ditandatangani bersama oleh sekian ramai musuhnya termasuk yang pernah disumbatnya ke Kamunting beberapa kali; kita sepatutnya sudah boleh faham bahawa Dr Mahathir sudah murtad daripada perjuangan Umno yang dibinanya selama puluhan tahun.
“Dia macam ni lah ya. Bayangkan Pope masuk Islam. Haa macam tu lah,” kata saya kepada seorang teman, dalam usaha memahamkan betapa besarnya nilai seorang pemimpin yang berpaling daripada pasukan asalnya dalam konteks politik Malaysia.
Itulah yang selalu kita raikan apabila hampir musim pilihan raya sebelum ini. Apabila ada orang yang keluar parti dia dan masuk parti kita, maka kita buat sidang media; bahkan ada kenduri-kendara meraikan kemasukan dia ke dalam parti kita. Parti asalnya pula akan lepas maki berbakul-bakul, menuduhnya pengkhianat, gunting dalam laci, udang di sebalik kuehtiau dan sebagainya.
Kemasukan Mahathir ke barisan parti-parti pembangkang bukan sahaja setakat mengabsahkan perjuangan parti-parti pembangkang selama ini, bahkan ia turut memberi nilai tambah yang selama ini tidak dimiliki pakatan tersebut.
“Koalisi (pakatan) ertinya melakukan sesuatu yang kita tidak suka,” ujar Dr Mahathir di sebuah perjumpaan tertutup bersama pimpinan DAP di pemukiman parti itu hujung minggu lalu.
Termasuklah barangkali menerima keputusan bahawa Dr Mahathirlah yang paling sekufu untuk mengepalai batalion mendepani rejim pimpinan suami Rosmah Mansor.
Dr Mahathir malah menerangkan dalam ucapan itu, bagaimana pembangkang tidak boleh menang pilihan raya sepanjang beliau menjadi perdana menteri. Ini termasuklah tiadanya kesepakatan dan tiadanya kepimpinan yang jelas.
Menurutnya parti-parti pembangkang hanya bersatu apabila Tengku Razaleigh mengepalai Angkatan Perpaduan Ummah, dan kemudiannya Anwar Ibrahim mengetuai Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini PH yang menampilkan Dr Mahathir sendiri sebagai pengerusinya sementara Anwar berehat.
Ironinya ialah, kesemua pemimpin koalisi pembangkang ini adalah bekas pimpinan BN.
Kita mesti menang
Jadi sekarang ceritanya begini. Malaysia memang tidak ada pilihan. Tetapi pilihannya bukan antara Dr Mahathir dan Najib Razak.
Pilihan yang ada di tangan rakyat Malaysia ialah antara menang dan memaksa perubahan, atau kalah dan terus dilenjan untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi.
Sepertimana kita tidak ada pilihan, sama juga halnya dengan BN. Ia juga tidak ada pilihan lagi selain mengekalkan kemenangan dengan apa jua cara yang ia mampu, termasuklah dengan cara menipu.
Lihat sahaja pembentangan Institut Darul Ehsan minggu lalu tentang bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertindak melukis semula peta kawasan dengan memindah dan menukar pengundi dari satu daerah mengundi ke daerah mengundi yang lain sehinggakan beberapa kawasan kelihatan seperti kuih keria putus.
Lihat juga bagaimana pentadbiran Najib akan cuba memujuk undi rakyat jelata dengan tawaran-tawaran yang hampir sama sebiji dengan tawaran PH yang selama ini mereka sampahkan.
Bila menang pilihan raya nanti, semua tawaran itu akan dilupakan, dan dasar-dasar baru akan diperkenalkan untuk menampung semua ketirisan.
Jangan kita lupa, cukai GST pun tidak pernah ada dalam manifesto BN.
Maka pilihannya mudah sahaja. Tidak ada lain, kita mesti menang. Rakyat mesti menang. Dan kalau kemenangan itu diusung mantan diktator tua, si mahafiraun yang kita benci; apakah kita akan menangguhkan kemenangan sekali lagi, dan membiarkan rejim terus ketawa untuk seribu tahun lagi?

ANAK NAJIB, PERGILAH NASIHATKAN BAPA KAMU TERLEBIH DULU!!!



Anak Najib Razak, Nazifuddin Najib hari ini tampil menasihatkan Tun Mahathir Mohamad agar kembali ke haluan yang dietapkan oleh datuknya, Allahyarham Tun Razak iaitu mempertahankan UMNO dan bukan menghancurkannya.

Kata beliau, Tun Razak membawa kembali Tun Mahathir menyertai UMNO setelah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sebelum itu ialah untuk mengukuhkan dan mempertahankan parti itu, bukan bertindak sebaliknya.

Tun Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan iaitu laluan yang Tun Razak telah rintis untukmu menjadi insan keempat berpeluang menjadi Perdana Menteri, kata Nazifuddin dalam catatan di Facebook miliknya.

Siapa pun yang membaca tulisan seorang anak ini pasti menyedari betapa terdesaknya Najib sekarang untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Tidak cukup dengan Najib sendiri membelasah dan menyindir Tun Mahathir, sekarang anak pula muncul meraih simpati dengan memainkan sentimen Tun Razak.

Bukan saja Najib sedar kuasanya sedang berada di hujung tanduk, malah anaknya sendiri seolah-olah dapat merasakan awan mendung sedang menyelubungi seluruh kepimpinan bapanya.

Bila pula Riza Aziz mahu tampil mempertahankan Najib?

Malangnya, sang anak ini terlalu naif agaknya untuk melihat realiti yang ada di depan matanya sendiri.

Kerosakan UMNO dan kerajaan hari ini seratus-peratus berpunca daripada bapanya sendiri, bukan disebabkan oleh Tun Mahathir.

Jika bapanya tidak dikuasai oleh Jho Low, tidak tebabit dalam skandal 1MDB, tiada kemasukan beribu-ribu juta ringgit wang ke dalam akaun peribadinya, saudara tirinya, Riza Aziz tidak tiba-tiba kaya dengan mampu menerbitkan filem dan membeli pelbagai hartanah mewah di luar negara, ibu tirinya Rosmah Mansor tidak bermewah dan membazir di sana sini, bukan saja Tun Mahathir, malah majoriti rakyat masih lagi menyokong UMNO dan kerajaan hingga ke hari ini.

Bapa kamulah Nazifuddin yang telah merosakkan UMNO dan negara ini.

Bapa kamu jugalah yang sebenarnya melencong jauh daripada asas dan laluan yang telah dibina oleh Tun Razak, manakala Tun Mahathir terpaksa bangkit semula daripada persaraannya semata-mata untuk menyelamatkan negara.

Malah, apa yang dibina oleh Tun Mahathir selama 22 tahun sehingga nama Malaysia harum di seluruh dunia, kini telah bertukar busuk dan bernanah akibat kerakusan bapa kamu itu.

Tun Razak diketahui umum hidup sederhana dan tidak bermewah, jauh sekali membazir, tetapi bapa kamu dengan keluarganya sekarang hidup ibarat langit dengan bumi daripada teladan yang pernah ditunjukkan oleh bapanya sendiri.

Dalam hal ini, jika Tun Razak masih hidup, adakah beliau gembira dengan kehidupan dan kelakuan anaknya itu atau akan menangis melihatnya?

Kepada Nazifuddin, sebelum kamu pergi terlalu jauh mahu menasihatkan Tun Mahathir agar kembali ke laluan yang pernah ditetapkan oleh Tun Razak, eloklah kamu nasihatkan bapa kamu sendiri terlebih dahulu.

Ingatkanlah bapa kamu tentang etika dan cara hidup Tun Razak sebelum meminta Tun Mahathir melakukannya.

Najib adalah darah daging Tun Razak, berapa peratus ciri-ciri kepimpinan dan gaya hidup Tun Razak masih mengalir dalam tubuhnya sejak beliau menjadi Perdana Menteri dan sejak berkawan dengan Jho Low?

Kepada Nazifuddin, pergilah ke Seri Perdana dahulu dan nasihatkanlah bapa kamu yang sedang menghancurkan UMNO dan negara ini agar kembali ke pangkal jalan dan banyak ingatkan Tuhan.

Jika kamu tidak berupaya pergi ke Seri Perdana untuk menyampaikan nasihat itu, tulis saja di Facebook atau Twitter, sama seperti kamu nasihatkan Tun Mahathir ini. (ShahbudinHusin 19/01/2018)

AZMIN BERMASALAH KEKAL MB SELANGOR JIKA LEWAT BAHAGI KERUSI DUN

‘SONANG JO, SEMUA UNDI PEMBANGKANG MENTERI HILANG KERJA’

GAGAL DAFTAR PH, PILIHAN B GUNA LOGO PARTI DIKENALI

JIKA BN 95, PH 105 DAN PAS 22 - SIAPA HADI SOKONG UNTUK JADI PM?


Pas masih lagi mahu berdolak-dalik berhubung cabaran yang dilontarkan oleh Tun Mahathir Mohamad, baik mengenai siapa calon Perdana Menteri bagi Gagasan Sejahtera mahu pun siapa yang bakal disokongnya.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya hanya akan berbuat demikian apabila tiba waktunya nanti.
Namun yang pasti, Pas tidak akan memilih sama ada Najib Razak atau pun Tun Mahathir, ujar Takiyuddin lagi.
Dalam hal ini, tegas beliau, Pas berpegang kepada hadis Rasulullah yang bermaksud, “Kepimpinan itu adalah milik Allah, Dia yang akan menentukan siapa yang dikehendakiNya.”
Meskipun cuba berpegang kepada Hadis Rasulullah untuk mengukuhkan hujahnya, Pas nampaknya masih mahu bermain politik di sebalik kata-katanya itu.
Kenapa susah sangat mahu berterus-terang?
Cuba kita ambil suatu sifir mudah berhubung keputusan PRU 14 akan datang.
Daripada 222 kawasan Parlimen seluruh Malaysia, katalah BN menang cuma 95 kerusi, PH menang 105 kerusi, manakala Pas akan beroleh 22 kerusi.
Dalam kedudukan itu, siapakah yang akan Pas sokong untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri?
Masihkah Pas berpegang kepada pendirian tidak menyokong sama ada Najib mahu pun Tun Mahathir atau ia akan berubah ketika itu?
Adakah pilihan yang dibuat Pas ketika itu merupakan keputusan yang benar-benar dikehendaki Allah?
Atau kita sudah boleh meneka siapa yang akan Pas sokong ketika itu?
Bolehkah Takiyuddin atau mana-mana pemimpin Pas memberikan jawapan tepat mengenainya? (ShahbudinHusin 17/01/2018)

PAS SOKONG MANA, SIAPA CALON PM?

PRU 14 SEBELUM 11 JUN?



Menurut Dr. Wan Azizah Wan Ismail, suaminya iaitu Anwar Ibrahim akan dibebaskan pada 11 Jun depan - lima bulan daripada sekarang.

Insya Allah, kalau diizinkan Tuhan, mengikut lunas undang-undang, pada 11 Jun ini Anwar akan dibebaskan, ujar beliau.

Pada PRU 13 lalu, Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya menumbangkan UMNO dan BN dengan perbezaan kerusi 133-89, suatu rekod paling buruk dan kekal tiada majoriti 2/3 sejak 2008.

Meskipun demikian, Pakatan Rakyat meraih undi popular yang lebih tinggi ialah hampir 52 peratus berbanding BN yang cuma 48 peratus.

Ketika itu, Tun Mahathir Mohamad masih bersama dengan UMNO dan turut berkempen ke beberapa negeri untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN.

Tetapi kini, Tun Mahathir sudah keluar UMNO dan menubuhkan Bersatu serta mengetuai gabungan Pakatan Harapan serta sedang bekerja kuat untuk menyingkirkan Najib yang digelarnya sebagai kleptokrat, pencuri serta penyamun.

Dengan bebasnya Anwar pada 11 Jun, apakah ini bermakna pilihanraya umum akan diadakan sebelum tarikh pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu?

Beranikah Najib mengadakan PRU 14 selepas tarikh 11 Jun dan membiarkan Tun Mahathir dan Anwar bebas duduk sepentas dalam kempen dan ceramah pilihanraya yang bertujuan mahu menjatuhkannya? (ShahbudinHusin 06/01/2018).

ANWAR BEBAS 11 JUN – DR WAN AZIZAH

ISU CALON PM SELESAI

AMARAN: PEMUDA PH TOLAK PEMIMPIN KERJASAMA DENGAN PAS

ADAKAH HARAKAH BAKAL DILETAKKAN DI BAWAH UTUSAN?



Media mana yang melaporkan Tun Mahathir Mohamad akan kembali menyertai UMNO?

Utusan, Berita Harian, TV3 atau RTM?

Atau oleh portal yang dibayar dan dibiayai UMNO serta kerapkali sebelum ini menyiarkan berita-berita palsu?

Bukan...ia dilaporkan oleh Harakah, media rasmi milik parti Islam, Pas!

Apa...? Harakah...? 

Terkejutlah segala beruk, kera dan monyet di hutan mendengarnya kerana biasanya berita-berita seumpama itu hanya mainan akhbar yang tidak laku atau portal yang dibayar tunai saja.

Akhbar parti, lebih-lebih lagi milik sebuah parti Islam tentu saja akan menjauhi laporan sedemikian kerana ia tiada asas dan kebarangkalian sama-sekali untuk menjadi kenyataan berdasarkan tindakan-tindakan Tun Mahathir berlawan dengan Najib Razak sejak 2015 yang lalu yang begitu mudah untuk difahami.

Tetapi, kenapa Harakah menyiarkan laporan sedemikian?
Sejak bila akhbar parti Islam pandai membuat spekulasi sampah?

Itukah yang yang menjadi sebab mengapa Harakah semakin tidak laku kebelakangan ini, membuang ramai pekerjanya  dan menawarkan gaji bulanan hanya RM1000 sahaja kepada wartawannya?

Mungkinkah  juga ini petanda bahawa Harakah akan berada di bawan naungan Utusan atau Media Prima tidak lama lagi?

Gerrymandering mungkin boleh dikalahkan, bagaimana pula dengan ‘pengundi hantu’?






Gerrymandering adalah amalan di mana sempadan sesebuah kawasan pilihan raya dilukis bagi menjadikan kawasan itu didominasi sesuatu kaum atau segerombolan penyokong bagi memberi kelebihan kepada si pelukis sempadan.
Ini terbukti pada tahun apabila Perikatan yang kemudiannya Barisan Nasional (BN) mengukuhkan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1959, 1974, 1986, 1995 dan 2003 setelah persempadanan semula dilaksanakan setahun sebelum PRU dilangsungkan.
Menurut Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dalam pembentangannya di Institut Darul Ehsan baru-baru ini, persempadanan semula adalah ‘rahsia di sebalik kemenangan besar BN’.
Namun, dinamik baru politik negara seperti dialami saat ini memberi kesan terhadap langkah great design BN ini.
“Apa yang berlaku, design 2004 ternyata menjadi, tapi tidak bagi pilihan raya 2008,” kata Prof Redzuan.
Keputusan PRU tahun 2008 menjadi bukti kukuh bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya bukan lagi azimat kepada UMNO-BN untuk kekal di tampuk kuasa. Pemerintahan UMNO-BN boleh tumbang mudah dalam pilihan raya akan datang melalui kesedaran politik yang sedang rancak berlaku dari kota hingga ke desa.
Bagi bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman beranggapan persempadanan semula yang sedang dilakukan saat ini merupakan satu ‘tindakan bodoh’.
“Dia longgok Melayu 75%, 80% dia ingat Melayu bodoh sekarang. Melayu sudah dewasa, Melayu sudah cerdik, Melayu sudah tahu apa yang telah dilakukan,” tegasnya.
Pengundi hantu
Namun, apa yang menjadi kegusaran saat ini ialah mengenai lambakan ‘pengundi hantu’ yang muncul tiba-tiba dengan nama dan alamat yang meragukan sebagaimana yang dilaporkan media di seluruh negara.
Cerita pengundi hantu yang mendiami tanah-tanah lot kosong atau rumah tidak berpenghuni bukan dongeng. Ia benar-benar terjadi dan telah dibuktikan.
Terbaru, seramai 782 ‘pengundi hantu’ yang berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai berjaya dihalau’ dari kawasan itu setelah sesi pendengaran semula SPR dijalankan.
Tangan-tangan ghaib BN juga jelas wujud apabila sebahagian mereka juga didaftarkan di beberapa premis milik pemimpin MCA tempatan terdiri daripada pengundi berketurunan India dan Melayu.
Meskipun kes ini mencatatkan kejayaan kepada HARAPAN, bagaimana pula dengan kawasan lain yang turut dilanda gelombang pengundi meragukan ini?
Jika pada PRU13 kita dikejutkan dengan pengundi hantu dari kalangan warga asing, pada kali ini – hantu itu mungkin jiran sebelah rumah anda.
Jika ia tidak ditangani dengan baik, hantu-hantu ini akan terus beranak-pinak dan merampas segala kebahagian masa hadapan yang bakal kita kecapi – sebuah harapan dan kerajaan baru!
Maka, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat yang cintakan tanah air untuk membanteras segala ‘hantu’ dan ‘bapak hantu’ yang cuba merampas kedaulatan negara ini.