Isu MB Selangor: Pakatan sama sekali tidak akan berpecah – Anwar
Banyak telah diperkatakan semenjak beberapa minggu lalu akan
kemungkinan pecahnya Pakatan Rakyat akibat pergeseran di antara KEADILAN
dan PAS berkenaan dengan pilihan calon Menteri Besar Selangor.
Ingin saya menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berpecah
semata-mata kerana pilihan calon Menteri Besar. Sebaliknya, PR boleh dan
akan hanya berpecah sekiranya ada parti komponennya yang sanggup
berkompromi dalam prinsip-prinsip dasar seperti kewibawaan, ketelusan
dan kebertanggungjawaban di dalam pengurusan kerajaan.
Atas prinsip-prinsip inilah Pakatan Rakyat dizahirkan sebagai sebuah
kerajaan alternatif untuk rakyat. Prinsip-prinsip ini juga telah
dicabuli oleh kerajaan BN ketika ianya berkuasa pada lima dekad yang
lalu.
Keputusan
PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 telah menunjukkan dengan jelas bahawa
perjuangan PR yang berpaksikan di atas prinsip-prinsip ini telah
diterima baik oleh rakyat yang rata-ratanya mengharapkan sebuah kerajaan
yang bersih, berprinsip dan bersungguh-sungguh dalam membela
kepentingan rakyat.
Dalam usaha murni ini, gabungan Pakatan bersama dengan semua yang
menyokong usaha ini telah bersama-sama menggembleng tenaga pada PRU
ke-13 dalam menghadapi cabaran amat hebat untuk terus memberikan harapan
kepada rakyat Malaysia. Usaha kita tidak sia-sia, kerana kita telah
memenangi jiwa dan minda majoriti pengundi Malaysia walaupun kita
dihalang daripada membentuk sebuah kerajaan.
Perkara penting yang perlu difahami adalah sebuah pakatan pembangkang
yang kuat telah berjaya menekan kerajaan untuk menjadi lebih
bertanggungjawab dan mengekang sebahagian daripada keborosan mereka.
Bagaimanapun, perjuangan untuk sebuah kerajaan yang benar-benar bersih
dan telus masih perlu diteruskan.
Kekuatan ini tidak boleh dibina atas dasar keinginan dan impian
semata, lebih bahaya lagi sekiraya kekuatan ini dilandaskan dengan
perasaan curiga, dendam dan irihati. Ianya perlu dibina atas iltizam dan
kenyakinan, dan inilah kekuatan yang telah mendorong rakan kongsi PR
untuk berjuang bersama-sama pada PRU 13 yang lalu.
Justeru, kita perlu menyatukan kekuatan ini untuk terus kekal bersama
dan terus menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan kita. Setiap
parti di dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang
dicapai selepas rundingan bersama. Kegagalan untuk menghormati dan
menunaikan kewajipan ini bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan
yang sukar.
Persefahaman akan hak lantikan MB Selangor telahpun wujud di kalangan
pimpinan PR, sepertimana KEADILAN juga telah bersetuju akan hak
parti-parti lain dalam membuat keputusan yang sama di negeri-negeri
lain. Persefahaman ini wajib dipatuhi.
Kita yakin bahawa isu MB Selangor ini akan diselesaikan dengan baik
sesuai dengan semangat Pakatan Rakyat, samada diselesaikan melalui
proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihanraya.
Namun begitu, tidak ada sebarang keperluan untuk
mengadakan
pilihanraya kerana Barisan hanya ada 12 kerusi di kalangan 56 kerusi
DUN dan PRU-13 hanya diadakan kira-kira 15 bulan yang lalu.
Walaubagaimanapun, sekiranya pilihanraya terpaksa dilakukan, Pakatan
telah bersedia untuk menghadapi para pengundi dan berkeyakinan penuh
bahawa rakyat Selangor akan sekali lagi menyokong kita.
Kita juga bimbang akan nada perkauman dan perpecahan yang disuarakan
oleh segelintir pimpinan kecil Pakatan yang jelasnya mencabuli
nilai-nilai asas PR. Kami berpendapat bahawa tindakan disiplin yang
sewajarnya perlu diambil ke atas golongan ini.
Rakyat perlu diyakinkan bahawa sekiranya beberapa keputusan sukar
perlu dibuat, ianya akan dibuat hanya setelah mengambilkira kepentingan
rakyat dan dibuat untuk maslahah atau kepentingan rakyat. Samada kita
hilang sokongan akibat pendirian yang kita ambil, kita akan terus
beristiqamah dan komited dengan matlamat untuk membentuk Malaysia yang
lebih adil, bebas korupsi dan benar-benar demokratik.
Jaminan kita adalah bahawa kita tidak akan sesekali menyimpang
daripada nilai-nilai asas dan kita akan terus memastikan kepentingan
rakyat tetap didahulukan.
Kita yakin dan percaya bahawa peristiwa ini akan terus mematangkan
dan memperkasakan kita. Rakyat telah menaruh kepercayaan kepada kita dan
kita wajib memastikan kita wajar dipercayai dan kepercayaan rakyat
jangan kita khianati.
Walau apapun yang bakal berlaku, Pakatan, bersandarkan tekad rakyat, akan terus bertahan! Insya Allah!
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN