Guru ada hak sokong parti pilihan mereka, kata NGO
OLEH ELIZABETH ZACHARIAH
Published: 4 June 2014 | Updated: 4 June 2014 2:07 PM
Kumpulan
pendidik tidak bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk
Seri Tengku Adnan Mansor yang menyeru guru menyertai politik di bawah
Barisan Nasional. Gambar fail The Malaysian Insider.
Guru
tidak sepatutnya dipaksa untuk hanya menyertai Barisan Nasional (BN)
tetapi sebaliknya perlu diberi kebebasan untuk menggunakan hak mereka
sebagai warganegara untuk menyokong mana-mana parti politik yang mereka
pilih, kata kumpulan pendidik, hari ini.
Mereka berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung
Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyeru guru kembali
kepada politik di bawah sayap BN selepas mengakui tindakan melarang guru
menyertai politik sebelum ini adalah satu kesilapan.
Kumpulan pendidikan, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik cadangan membenarkan guru
menyertai politik, tetapi mengkritik tindakan Tengku Adnan itu dan
berkata mereka mempunyai hak untuk memilih mana-mana parti politik yang
mereka mahu.
“Guru sama seperti rakyat lain dalam negara. Seperti profesional lain, mereka mempunyai pendapat politik juga.
“Mereka patut diberi kebebasan untuk menggunakan hak masing-masing,” kata Presiden NUTP, Hashim Adnan.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan Tengku Adnan
itu dilihat sebagai langkah untuk menggunakan guru bagi kepentingan
politik sempit dan bagi mempolitikkan pendidikan.
“Kenyataan Tengku Adnan tidak lebih daripada untuk membuat guru sebagai
ahli propaganda Umno-BN. Ini adalah perkembangan tidak sihat untuk masa
depan pendidikan negara, dan ia bertentangan dengan asas falsafah serta
Pelan Pembangunan Pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian
Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Suara Guru Masyarakat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd Johari,
berkata Malaysia pada dasarnya adalah negara yang mengamalkan demokrasi
tetapi realitinya, ia tidak begitu.
“Kita lihat banyak bentuk sekatan terutama membabitkan politik dan
guru, jika seseorang itu bergerak walau hanya jauh sedikit daripada BN,”
katanya kepada The Malaysian Insider.
“Perkara ini sudah lama berlaku, bila ada guru menunjukkan minat dalam
politik yang bukan BN, mereka akan dipindahkan serta-merta,” katanya.
Nor Izzat, yang juga pernah menjadi mangsa dipindahkan selepas
menentang Putrajaya berhubung sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS), mendakwa kerajaan kini bimbang kerana semakin ramai guru
kelihatan seperti menyokong pembangkang.
“JIka kerajaan lebih terbuka mengenai perkara ini, saya pasti guru akan
kembali menyokong mereka tetapi dengan semua sekatan ini, kami sudah
bosan,” katanya.
Pada Februari, Nor Izzat dipindahkan ke sekolah luar bandar di Pahang,
kira-kira 80km daripada sekolah tempatnya mengajar di Jerantut, selepas
merancang mengadakan perhimpunan untuk membantah pelaksanaan PBS.
Gagal dalam rayuannya membatalkan perintah pemindahan itu, Nor Izzat
kini mengajar di sekolah baru, berulang-alik hampir 200km setiap hari
dari rumahnya.
Beliau juga mengkritik Kementerian Pendidikan yang menggunakan kuasa
sama terhadap seorang guru yang diarahkan menutup laman Facebooknya
selepas beliau meletakkan poster kempen calon DAP di Teluk Intan, Dyana
Sofya Mohd Daud.
“Ini perkara yang sama. Ia adalah persekitaran yang tidak sihat. Apa
yang mereka lakukan sekarang tidak akan membuat guru menyokong mereka.
“Kami juga sebagai warganegara mahu kebebasan untuk memilih parti
politik mana untuk disokong dan kami marah kerana tidak diberi kebebasan
itu,” katanya.
Semalam dilaporkan, pegawai peringkat tinggi dalam Kementerian
Pendidikan menghubungi guru berkenaan sejak minggu lalu, “menasihatkan”
beliau untuk memadam gambar Dyana Sofya yang diletak di akaun Facebook
kerana ia dilihat sebagai “anti kerajaan”.
Guru itu memberita satu portal berita, seorang pegawai khas ketua
pengarah Kementerian Pendidikan memberitahunya supaya menutup laman
Facebooknya dan dia sedang “diperhatikan”.
Sementara itu, Hashim berkata, guru dibenarkan menyertai politik adalah
tindakan yang baik, namun, pendidik perlu memastikan mereka tidak
membawa pandangan politik masing-masing ke dalam bilik darjah.
“Bagus jika mereka mahu menyertai politik. Tetapi mereka perlu tahu
bagaimana untuk membahagikan masa mereka dan perhatian. Bilik darjah
tidak boleh dikaitkan dengan politik.
“Mereka tidak boleh membawa masuk politik ke dalam bilik darjah dan
mempengaruhi pelajar. Mereka juga perlu menjamin idea politik mereka
tidak disebarkan kepada pelajar yang boleh menyebabkan kebencian di
kalangan mereka,” katanya. – 4 Jun, 2014.