AMK desak AS terima gencatan senjata di Palestin


 Oleh: Abdullah Zaid


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia hadir dalam perhimpunan anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) malam tadi di luar bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi mendesak kuasa besar dunia itu menerima gencatan senjata di Palestin.


Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perhimpunan itu bertujuan menghantar mesej solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin selain mendesak pembunuhan penduduk Gaza dihentikan.


"Kita mahu menyampaikan mesej bahawa penindasan dan pembunuhan besar-besaran yang dilakukan oleh rejim Zionis perlu segera dihentikan.


"Selain itu, pendirian kita jelas bahawa kita menolak tindakan AS yang menolak gencatan senjata dianjurkan PBB (resolusi Majlis Keselamatan) mengenai kemanusiaan di Gaza.


"Justeru, kita berharap isu Palestin terus dizahirkan oleh semua rakyat Malaysia tidak kira agama mahupun bangsa," katanya kepada Suara Keadilan.

Mohd Izuan Ahmad Kasim

Sementara itu, Ketua AMK Selangor Mohd Izuan Ahmad Kasim yakin penganjuran piket yang bermula malam tadi hingga 31 Disember ini bakal mendapat sambutan orang ramai terutama golongan muda.


Hal itu katanya, selain mendirikan khemah, acara-acara solidariti yang lain juga mampu mengisi kemeriahan penganjuran itu.


"Jika kita lihat pada malam ini pun, ramai anak-anak muda turun bagi memberi sokongan dan solidariti kepada rakyat Gaza.


"Oleh itu, saya yakin penganjuran selama enam hari ini akan lebih ramai yang menyertai terutama anak muda bagi menyatakan solidariti mereka kepada rakyat Palestin," ujarnya lagi.

No comments: