


Ketua Wanita KEADILAN di peringkat nasional mahu pun cabang yang telah diumum secara tidak rasmi perlu mula memikirkan persiapan gerak kerja untuk peringkat cabang dan ranting masing masing.
Calon Ketua Wanita KEADILAN pusat, Rodziah Ismail berkata, wanita perlu bersiap sedia mulai sekarang tanpa menunggu keputusan rasmi parti memandangkan Pilihan Raya Umum ke 15 boleh diadakan pada bila bila masa.
“Saya nampak kita sudah boleh mula kerja. Yang menang sebagai Ketua Wanita Cabang, timbalan, naib boleh mula fikirkan. Wanita perlukan pemimpin yang boleh merencana.
“Kemenangan ini bukan sekadar memegang jawatan tetapi merencanakan apakah yang perlu dilakukan setelah jawatan itu diduduki,” katanya dalam siaran media.
Rodziah juga menegur pemimpin wanita yang mempunyai berpendapat perlu berehat seketika selepas Pemilihan kerana katanya dalam politik tiada sehari pun pemimpin boleh berehat apabila mendekati tarikh pilihan raya.
Katanya, pemimpin yang serius untuk bertanding merebut jawatan perlulah serius berkerja untuk memenangkan parti dalam PRU
“Contohnya ketika ini Wanita boleh bersiap sedia memikirkan di cabang nak buat macam mana, cari anggota kita, putihkan data yang ada. Kita perlu bersiap sekarang untuk memulakan kerja, wujudkan sebanyak mungkin ranting. Ranting amat penting kerana paling dekat dengan akar umbi.
“Kita dapatkan data, kenal pasti siapa aktivis yang boleh bersama kita, boleh berperanan dan menyumbangkan kemenangan.
“Perkata pertama ialah jumlah yang keluar mengundi. Tidak sampai 20% ahli, mungkin 13%. Apa patut kita mulakan dengan 13% ini? Kita boleh kenal pasti mereka dan gunakan untuk jentera,” katanya.
Selepas fasa merencanakan, tambah Rodziah, pemimpin perlu merancang untuk melaksanakan aktiviti.
Rodziah juga mencadangkan agar sekolah politik diwujudkan bagi pemimpin peringkat akar umbi diberi latihan dalam membentuk minda politik bagaimana merancang dan melaksanakan aktiviti politik.
“Jika buka ranting perlu ada kerja yang perlu dikongsikan kepada mereka.
“Kita perlu buat latihan aktiviti politik. Ramai yang tidak tahu aktiviti politik sebenar.
“Saya telah memikirkan bagaimana kita boleh mewujudkan sekolah politik. Bagaimana kempen kita buat tetapi tidak gunakan kewangan yang banyak.
“Kehadiran kita dalam politik ini didasarkan harapan oleh rakyat untuk menjadi orang tengah menyampaikan pandangan mereka.
“Kita bermula dengan idea itu. Saya gerakan DUN saya dangan gunakan peruntukan sedia ada sahaja. Tidak perlu guna dana besar menggerakkan ahli di kawasan saya,” katanya lagi.
Bekas perdana menteri Najib Razak diberikan peluang menaiki MRT laluan Putrajaya sehari sebelum pelancaran rasmi kerana dia memohon perkara itu, kata Mohd Zarif Hashim.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) MRT Corp berkata undangan diberikan selepas Najib meluahkan keinginannya melalui “Twitter”.
“Oleh kerana tweet itu, kami balas,” kata Zarif yang enggan menjawab kecaman bahawa Najib diberikan layanan istimewa.
Sementara itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang melancarkan laluan itu hari ini enggan mengulas panjang dan hanya berkata MRT Corp berhak berbuat demikian.
“Saya tak nak komen dari segi niat MRT jemput. Hari ini saya baru lancarkan dan semalam MRT jemput (Najib).
“Itu hak MRT,” katanya.
Najib menyuarakannya keinginan itu pada 21 Mei di media sosial. Bagaimanapun ia dinyatakan di Facebook, bukan Twitter.
Projek MRT diilhamkan semasa Najib menjadi perdana menteri.
Setakat ini, hanya Fasa 1 MRT Putrajaya beroperasi yang menghubungkan Sungai Buloh dan Batu, Kuala Lumpur.
Pada Fasa 2, ia akan mellaui Tun Razak Exchange–satu lagi projek era Najib yang dinamakan sempena bapanya yang juga perdana menteri kedua.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/624918


Kerajaan India digesa lebih bertanggungjawab menghentikan keganasan berunsur agama dan Islamophobia di negara itu.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata tindakan beberapa wakil parti Bharatiya Janata Party (BJP) yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad s.a.w tidak sewajarnya berlaku di negara majmuk seperti India.
“Majlis Presiden PH meneliti perkembangan isu beberapa wakil parti BJP di India minggu lalu yang telah mengeluarkan kenyataan berhubung Nabi Muhammad SAW yang telah mengguris hati serta menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
“Kami menyeru agar Kerajaan India yang dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi menjaga keharmonian serta kesederhanaan kehidupan beragama di India,” kata kenyataan Majlis Presiden.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan penindasan dan penghinaan seharusnya diberhentikan bagi mengelakkan keganasan antara agama di negara itu memuncak.
“Kami menyeru agar tindakan-tindakan kezaliman dan penghinaan terhadap mana-mana penganut agama di India termasuk Kristian, Budha, Muslim serta kasta seperti Dalit dihentikan.
“Pakatan Harapan juga akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia untuk memberi penegasan terhadap isu ini,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.

Orang kata hanya penggemar air putih sahaja yang akan tahu beza rasa air pada setiap jenis botol mineral. Tapi tahukah anda, setiap botol mineral ada dilabelkan sebagai air mineral semula jadi, air minuman, air osmosis berbalik dan sebagainya.
Tahukah anda cara paling mudah membezakan dua jenis air minuman sama ada air mineral semula jadi atau air minuman berbungkus hanyalah dengan melihat warna yang digunakan pada penutup botol.
Penutup botol berwarna putih untuk air minuman berbungkus manakala pelbagai warna untuk air mineral semula jadi, selain berpandukan label botol minuman.
Jom kita semak perkongsian dari Harian Metro yang memetik sumber dari myhealth.gov.my
Punca sumber: Diperoleh daripada strata kandungan air bawah tanah melalui mata air, gerekan dan lain-lain jalan keluar. Punca perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Penambahan mineral: Tidak boleh diperkaya atau diperkuat atau ditambah dengan vitamin atau mineral. Penambahan karbon dioksida dibenarkan
Rawatan:
1. Tertakluk pada satu atau beberapa rawatan berikut dengan syarat kandungan air atau mineral tidak terubah suai/berubah
2. Penapisan
3. Pengklorinan diikuti pendeklorinan
4. Pengudaraan diikuti pendeudaraan
5. Pengkarbonan/pendekarbonan
6. Pensterilan ultra ungu
7. Pelakuan ozon
8. Pempasteuran
9. Perlu mematuhi standard ditetapkan
Pada label perlu ada: Perlu dilabel sebagai ‘Air Mineral Semula Jadi’ atau ‘Air Mineral Semula Jadi Berkarbonat’ sekiranya mengandungi karbon dioksida:
1. Amaun jumlah pepejal terlarut
2. Nama kandungan mineral yang ada
3. Nilai pH
4. Lokasi punca
5. Jenis punca
6. Nombor kelulusan KKM
7. Punca diluluskan oleh KKM’
8. Nama dan alamat lengkap pengeluar
9. Buatan Malaysia’ atau buatan negara asal pengeluar
Pembungkusan/Botol:
1. Penutup botol pelbagai warna
2. Botol digunakan mestilah berkeadaan telus dan lut sinar

Punca sumber: Diperoleh dari semua punca air yang selamat seperti dari sistem bekalan air awam atau air paip, air permukaan (sungai, kolam, tasik) dan air tanah (telaga tiub, mata air)
Tetapi perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada KKM
Penambahan mineral: Boleh mengandungi tambahan garam klorida, bikarbonat dan sulfat bagi kalsium, magnesium, kalium dan sodium serta karbon dioksida
Rawatan:
1. Semua jenis rawatan boleh digunakan asalkan standard air mematuhi standard ditetapkan. Jenis rawatan ke atas air minuman.
2. Penurasan – untuk menghilangkan bau, rasa, kandungan organik atau klorin
3. Penyulingan
4. Osmosis berbalik
5. Elektrodialisis
6. Penukaran ion
7. Disinfeksi menggunakan ozon atau sinaran ultra ungu
8. Menurunkan keliatan air pelembut air, penukaran ion, osmosis berbalik, penyulingan
Pada label perlu ada: Perlu dilabel sebagai ‘Air Minuman’ atau ‘Air Minuman Berkarbonat’ jika mengandungi karbon dioksida
1. Selain itu perlu mempunyai amaun mineral atau garam tambahan sekiranya ada
2. Jenis punca air
3. Nombor kelulusan KKM
4. ‘Punca diluluskan oleh KKM’
5. Nama dan alamat lengkap pengeluar
6. ‘Buatan Malaysia’ atau buatan negara asal pengeluar
Pembungkusan/Botol: Penutup botol berwarna putih. Botol yang digunakan mestilah berkeadaan telus dan lut sinar.
Pengguna sering keliru dengan penyataan osmosis berbalik, osmosis songsang, air R.O, air suling dan air ozon. Ini sebenarnya adalah penyataan jenis proses rawatan ke atas air dilakukan untuk air minuman berbungkus.
Secara amnya, proses rawatan bertujuan menghilangkan bau, rasa, kandungan organik dan klorin.
Rawatan seperti penyulingan dan osmosis berbalik adalah untuk membuang atau mengurangkan mineral, manakala ozon digunakan untuk membunuh kuman.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mengucapkan terima kasih kepada sepanduk yang menyindirnya, semasa perlawanan bola antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Tulisan yang tertera di sepanduk, yang berada di bahagian penonton skuad Harimau Malaya itu menyatakan, “Peja jangan hisap gam.”
Menerusi Twitternya, Ahmad Faizal memuat naik gambar suasana di stadium itu yang tertera sepanduk berwarna kuning berkenaan, dengan kapsyen:
“Nasihat yang amat baik kepada saya dan kepada semua! Terima kasih! Semoga Allah berkati segala kebaikan kita,” lapor Malaysiakini.
Ciapannya itu hadir selepas dia mencetuskan kontroversi yang menyalahkan penonton dengan mengatakan sorakan ‘pemain ke-12’ skuad Harimau Malaya menjadi punca kekalahan Malaysia di tangan Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023, Sabtu lepas.
Dia bagaimanapun memohon maaf setelah menerima kecaman pelbagai pihak terutamanya di media sosial.
Pada, 13 Jun, kenyataan Faizal tular di media sosial selepas dia membela penjaga gol Farizal Marlias susulan kesilapan yang menyebabkan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada Bahrain.
atanya, faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung juga harus diambil kira.

Katanya, sorakan mereka secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan.
Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, dia mengakui sokongan padu penyokong menyuntik semangat Harimau Malaya untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023, malam tadi.
“Terima kasih pemain ke-12! Kehadiran para penyokong memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil pada malam ini, cukup jelas memberi impak dalam menyuntik semangat kepada pemain-pemain negara.
“Sorakan tanpa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana stadium dan telah berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang! Teruskan sokongan padu anda!,” katanya.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia malam tadi, Malaysia mencatat kemenangan selesa untuk mengumpul enam mata bagi tempat kedua di belakang Bahrain seterusnya menempah tiket ke kejohanan itu selaku lima pasukan naib juara terbaik.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

Kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein baru baru ini berkenaan isu pencen dan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat mengecewakan
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, nasib golongan veteran ATM yang sejak sekian lama terabai mendorong mereka menganjurkan tunjuk perasaan di Tugu Negara, Kuala Lumpur baru baru ini.
Katanya, demonstrasi seumpama itu tidak akan berlaku seandainya kerajaan Malaysia mengambil berat rintihan golongan veteran.
“Ia amat menyedihkan melihat para veteran tiada pilihan melainkan berdemonstrasi kerana mereka dinafikan kehidupan bermaruah selepas pengorbanan sekian lama.
“Hishamuddin berkata isu ini tidak boleh diselesaikan oleh Kementerian Pertahanan secara sendirian, kerana ia ada kaitan dengan kemampuan kewangan negara.
“Jelas ia adalah jawapan untuk lari daripada persoalan ini. Benar, kebajikan veteran, termasuk isu pencen, merentas tanggungjawab pelbagai Kementerian lain.
“Namun, siapa lagi kalau bukan Kementerian Pertahanan harus menjuarai soal kebajikan veteran?
“Tidak seperti sesetengah negara lain seperti Australia, Kanada, China dan Amerika Syarikat, Malaysia tidak mempunyai Kementerian Hal Ehwal Veteran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nik Nazmi lagi, Hishamuddin seharusnya memberi respons yang lebih berhemah seperti memanggil golongan veteran dan mengambil tahu keperluan mereka
Juga, katanya, Menteri Pertahanan itu perlu memulakan usaha bersama kementerian lain bagi merealisasikan sebahagian tuntutan veteran setakat yang termampu dilakukan Kerajaan.
“Para veteran yang turun ke Tugu Negara tidak meminta Hishammuddin mengibaskan tongkat sakti untuk menyelesaikan masalah mereka, sebaliknya, menunjukkan rasa prihatin dan lebih penting inisiatif dan kepimpinan.
“Sekurang-kurangnya Hishammuddin perlu berbincang, menggalakkan dan mendesak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk memberi tumpuan merumus dan kemudian melaksanakan penyelesaian kepada cabaran getir yang dihadapi veteran Malaysia.
“Jika bukan Menteri Pertahanan yang sanggup mengetuai usaha mendesak bagi membantu bekas-bekas perajurit kita, siapa lagi?” katanya.
Calon Naib Presiden KEADILAN itu mengingatkan Hishamuddin bahawa beliau merupakan antara Menteri Pertahanan yang lama memegang jawatan dan dengan mudah boleh memulakan sebarang usaha memperbaiki kehidupan golongan veteran sekiranya ada keazaman berbuat demikian
“Beliau telah menjadi Menteri yang telah memegang portfolio ini dari 2013 – 2018 dan sekali lagi dilantik pada tahun 2021.
“Beliau telah menjadi Menteri penuh sejak 1999 (kecuali tempoh pendek 2018-2020), maka sepatutnya masak dan mengerti dengan proses kerajaan,” katanya.
Nik Nazmi juga membariskan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak lama selepas menjadi PM yang berjanji akan mengkaji cadangan bagi memastikan semua veteran mendapat pencen.
Begitu juga Hishammuddin menjanjikan “berita baik” tentang pengampunan kesalahan tentera dan penambahbaikan pencen kepada balu tentera pada Mei 2021.
“Apa terjadi kepada kajian dan berita baik yang diuar-uarkan ini?
“Hari, minggu dan bulan berlalu dan penderitaan veteran kita berterusan.
“Di mana rasa mustahaknya? Di mana kepimpinannya? Tidak hairanlah veteran kita berasa terabai dan tidak berpuas hati,” kata Nik Nazmi lagi.
