Berikutan keputusan kabinet sebagaimana
diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa lantikan
penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini tidak lagi menikmati skim
pencen, libasan paling popular untuk menghentam kerajaan yang kedengaran ialah
kenapa pencen untuk menteri dan wakil rakyat tidak dihapuskan terlebih dahulu?
Yang turut bersuara sedemikian, selain
sebahagian besar netizen melalui pelbagai platform media sosial, adalah
Pergerakan Pemuda UMNO sendiri.
Secara logiknya, walaupun keputusan kabinet
itu atas alasan kerana beban kewangan yang makin menggunung terpaksa ditanggung
kerajaan, ditambah kedudukan ekonomi dan pendapatan negara yang tidak bertambah
baik, ia bagaimanapun adalah jelas suatu keputusan yang berat sebelah, sambil
tidak malu untuk mengekalkan kepentingan bagi diri sendiri.
Ini kerana kabinet yang terdiri daripada
orang-orang politik dilihat hanya membuat keputusan yang menjejaskan pihak
lain, tetapi tetap menguntungkan masa depan mereka.
Sepatutnya, jika benar beban kewangan yang
menjadi kekangan, sementara pencen untuk penjawat awam pengambilan baharu
dilihat wajar untuk dimansuhkan, ia perlu didahului dengan penghapusan semua
pencen untuk orang-orang politik, merangkumi Perdana Menteri, Timbalan Perdana
Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan
Negara, Adun, Menteri Besar/Ketua Menteri, Exco kerajaan negeri dan juga
Setiausaha-Setiausaha Politik.
Lagi pun, syarat untuk penjawat-penjawat
politik berkenaan dibolehkan menikmati pencen hanya dengan berkhidmat
sekurang-kurangnya tiga tahun saja berbanding penjawat awam yang kena
berkhidmat berpuluh-puluh tahun sehingga bersara dan hanya selepas itu barulah
ada pencen untuk kehidupan selepas bersara.
Jika kerajaan bertukar setiap lima tahun
sekali, begitu juga kiranya setiap kali pilihan raya diadakan, Ahli Parlimen
dan Adun yang menang sentiasa bersilih ganti – bayangkan berapa banyak wang
negara perlu dibelanjakan untuk membayar pencen orang-orang politik?
Lebih parah, termasuk yang kaki tidur, kaki
ponteng dan tidak pernah bercakap walau sepatah pun sepanjang lima tahun sidang
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diadakan, di sebalik mereka itu tetap megah
membawa gelaran Yang Berhormat ke sana sini, tetapi turut sama beroleh pencen
juga.
Bukankah golongan ini yang patut terlebih
dahulu dimansuhkan pencennya?
Sebab itu, jika kerajaan benar-benar mahu
dilihat bersikap adil dalam penghapusan pencen kakitangan awam ini, tiada
pilihan melainkan ia mesti dimulakan dengan memansuhkan pencen orang politik
terlebih dahulu.
Dalam hal ini, adalah amat mulia dan terpuji
jika Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri dapat mengetuai semua penjawat
politik yang dilantik selepas PRU15 lalu untuk tampil secara sukarela memulai
persetujuan menolak pencen masing-masing sebagai tanda prihatin kepada
kedudukan kewangan negara.
Jika ini dapat dilakukan, diikuti dengan
keputusan tiada sama sekali nikmat pencen untuk orang politik adalah kekal
selama-lamanya selepas ini, maka barulah keputusan kerajaan mahu menghapuskan
pencen untuk pengambilan baharu penjawat awam itu boleh diterima dengan senang
hati.
Ini tidak, pencen untuk penjawat awam hendak
dihapuskan, tapi pencen bagi diri sendiri sentiasa dikekalkan?
Tambahan lagi, buruk benar wajah masa depan
negara kita jika orang politik terus menikmati pencen, sedangkan penjawat awam
tidak lagi menikmatinya.
Selain itu, yang pasti juga, tindakan
memansuhkan pencen untuk pengambilan baharu kakitangan awam ini turut memberi
kesan berangkai kepada kerajaan semasa.
Disamping kerajaan menjadi tidak popular dan
perkhidmatan awam bukan lagi suatu tarikan untuk rakyat bekerja, pasti juga
wujud tohmahan bahawa kerajaan yang ada ini tidak lagi berpihak kepada orang
Melayu.
Tidak dinafikan bahawa lebih 95 peratus
daripada kakitangan awam dalam pelbagai sektor adalah terdiri daripada
orang-orang Melayu.
Bahkan, dalam banyak keadaan, sektor awamlah
satu-satunya lapangan kerja yang dilihat sebagai tempat orang Melayu mencari
rezeki yang boleh menjamin urusan kehidupan mereka sehingga ke liang kubur.
Bersediakan gabungan parti dalam kerajaan
sekarang menghadapi hambatan politik daripada parti lawan jika mereka memainkan
isu tersebut mulai sekarang sehingga PRU16 akan datang?
Lebih buruk jika ada parti pembangkang pula
tampil dengan ketegasan untuk terus mempertahankan pencen kakitangan awam jika
mereka diberi kuasa selepas PRU akan datang?
Mampu lagikah PH/BN mengekalkan kuasa
pemerintahan yang ada ini? – ShahbudinHusin 25/01/2024.