PEMIMPIN UMNO DIGANTUNG KEAHLIAN ENGGAN BUAT RAYUAN




Penggantungan keahlian dan pemecatan ahli Umno dibuat tanpa mengikut prosedur jadi mengapa perlu merayu? soal bekas ketua Umno bahagian Tebrau Maulizan Bujang.

Maulizan turut mempersoal keterbukaan Umno menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.

Bekas Adun Tiram itu menegaskan, rayuan yang perlu dibuat seakan tidak wajar memandangkan proses penggantungan yang dibuat ke atasnya sebelum ini tidak dibuat mengikut prosedur.

“Kenapa perlu buat rayuan jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut prosedur?,” Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti sebelum digantung.

“Saya menjadi ahli Umno dan aktif semenjak umur saya 17 tahun dan amat menyayangi parti Umno yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.

Maulizan berkata, beliau juga tidak pernah mengkhianati atau melakukan sabotaj parti malah bertungkus lumus nak memenangkan parti dalam setiap PRK, PRU dan PRN.

Pada 27 Jan lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan menggantung keahlian Maulizan selama enam tahun serta tiga lagi pemimpin.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan ketua Umno Bahagian Jempol, Mohd Salim Sharif.

Sementara, bekas ketua Umno Selangor,Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut dipecat Umno berikutan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.

Maulizan berkata, kebanyakan nama besar yang dipecat dan digantung adalah kerana tidak sehaluan dengan Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Pemecatan serta penggantungan adalah untuk membolehkan presiden Umno, menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk menyokong hasrat presiden.

“Bagaimanapun, isu pokok yang melanda Umno masa kini ialah soal kepimpinan yang ditolak rakyat dan majoriti ahli Umno serta orang Melayu ekoran keputusan keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak mereka,” katanya.

Katanya, kepimpinan Umno juga dilihat gembira dengan terus menjadikan parti itu sebagai penumpang dalam kerajaan apabila presiden menyokong kerajaan yang terdiri daripada DAP dan PKR yang lebih dominan.

“Sebilangan besar orang Melayu juga tidak boleh menerima kehadiran DAP yang masih angkuh apabila tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu atas apa yang dilakukan sepanjang lebih 60 tahun terutamanya peristiwa 13 Mei 1969 apatah lagi perjuangan menuntut hak kesamarataan yang masih didokong hingga sekarang.

“Saranan Pemuda Umno juga ditolak mentah mentah oleh presiden kerana beliau seolah olah menjadi jurucakap DAP,” jelasnya.

Maulizan berkata, Umno kini menjadi semakin lemah apabila orang Melayu mula merasakan parti itu kehilangan identiti sebagai parti yang asas perjuangannya ialah untuk membela agama, bangsa dan negara.

“Umno di bawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan Umno yang dahulu. Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar. Amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah,” katanya.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata, parti itu Umno sedia untuk menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.