Menteri sumber manusia campur tangan masalah Foodpanda
Mogok pekerja Foodpanda akan diselesaikan oleh Kementerian Sumber Manusia
Menterinya, M Kula Segaran berkata akan membantu mencari formula bagi menyelesaikan bayaran yang didakwa tidak adil oleh para pekerja syarikat penghantar makanan berkenaan.
“Perkara ini akan dibangkitkan oleh menteri sumber manusia dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian juga berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian dan penekanan khusus terhadap kebajikan dan perlindungan terhadap golongan yang berada dalam ‘gig economy’, iaitu istilah bagi pekerjaan sambilan dan berpendapatan tidak tetap.
“Kementerian melalui Jabatan Perhubungan Perindustrian telah mengambil maklum isu yang sedang tular di antara penunggang Foodpanda dan pihak pengurusan syarikat terbabit sedang dalam proses siasatan mengenai perkara tersebut.
“Laporan awal yang diterima oleh pihak kementerian menyebut perkara ini berpunca daripada penunggang Foodpanda yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak syarikat yang mengambil langkah menukar skim ‘yuran perkhidmatan’ yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru kementerian telah berjumpa dengan beberapa penunggang Foodpanda bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu berkenaan.
Dilaporkan kira-kira 200 penunggang ‘Foodpanda’ mengadakan mogok membantah skim pembayaran baru yang didakwa tidak adil semalam di luar ibu pejabat syarikat itu di Jalan Dua, Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Manakala malam tadi, ratusan penghantar Foodpanda membanjiri kediaman Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas diundang untuk dialog membincangkan masalah mereka susulan tunjuk perasaan ekoran skim pembayaran baru.
Penunggang Foodpanda mendakwa skim baru itu, yang berkuat kuasa semalam mengurangkan pendapatan mereka.
Mereka datang ke kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya seawal 8 malam walaupun hujan renyai.
“Saya ingin dengar suara anda supaya isu ini dapat dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada Rabu,” kata Syed Saddiq di Facebook hari ini.
Pada 28 Sept lalu, Foodpanda mengumumkan keputusan pihaknya menaikkan upah setiap pesanan bagi penunggangnya dalam skim bayaran baru.
Skim bayaran baru itu juga memperkenalkan bonus untuk jam bekerja dalam seminggu, dan upah tambahan untuk setiap pesanan bagi penghantaran dalam masa tertentu sehari. – RF8 Media