KEMBALIKAN RAFIZI UNTUK PRU 16




 SELEPAS LIMA CALON BEBAS MENANG DI SABAH, MUNGKINKAH POTENSI YANG SAMA BERLAKU PADA PRU16?


3 December 2025


Selain DAP yang tidak menang walau satu kerusi dan PKR yang menang cuma satu kerusi (itu pun melalui calon yang diterjunkan daripada GRS) yang dianggap sebagai keputusan mengejutkan dalam PRN Sabah baru-baru, kemenangan lima calon Bebas juga sesuatu memeranjatkan.


Meskipun calon Bebas boleh dikira pernah menang di Sabah dan Sarawak sebelum ini, tetapi sehingga lima orang calon Bebas mampu menang tentu saja sesuatu yang luar biasa.


Apakah rahsia mereka?


Yang nyata, dengan kemenangan itu, nama dan kekuatan parti bukan lagi ukuran untuk seseorang calon itu beroleh kemenangan.


Jika mereka dikenali sebagai pemimpin yang baik, berkhidmat dengan cemerlang, mesra rakyat dan diyakini kemampuannya berperanan sebagai wakil rakyat – tanpa parti, tanpa naungan kerajaan, tanpa dikempen oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri atau menteri-menteri, tanpa manifesto, tanpa jentera kerajaan dan tanpa Jkom – kemenangan tetap boleh diperolehi.


Kelima-lima calon Bebas di Sabah itu memilih untuk terus bertanding kerana diketepikan sebagai calon oleh parti mereka.


Logiknya, jika parti tersebut benar-benar diyakini dan  seseorang pemimpin itu kononnya tidak mampu berkhidmat dengan baik tanpa parti yang menaunginya, tentunya mustahil pemimpin yang bertanding atas tiket Bebas mampu mencapai kemenangan.


Di Semenanjung sebelum ini, Shahrir Samad pernah mencipta kejutan dan diperkatakan sekian lama kerana menang atas tiket Bebas di Parlimen Johor Bahru.


Tetapi selepas itu, tidak pernah lagi ada pemimpin lain mampu mengikut jejak langkahnya.


Dengan kemenangan lima calon Bebas di Sabah dan persekitaran politik di Semenanjung ketika ini yang memperlihatkan ada sejumlah personaliti politik diketepikan oleh parti masing-masing, ada baiknya jika mereka mula meneroka kemungkinan yang sama.


Rafizi Ramli beberapa Ahli Parlimen PKR dan Hishammudin Hussein serta Khairy Jamaluddin (UMNO) adalah antara personaliti politik yang tidak mungkin dicalonkan lagi oleh parti masing-masing pada PRU16 akan datang.


Kecuali Hishammuddin yang agak mendiamkan diri, Rafizi dan beberapa pemimpin kumpulannya serta KJ sebaliknya terus popular di mata rakyat melalui pendekatan dan cara mereka yang tersendiri.


Melihat kepada populariti dan rakyat lebih ramai yang “like” kepada mereka berbanding sesetengah menteri, potensi untuk mereka menang jika bertanding Bebas jangan ditolak ke tepi.


Pastinya lebih menarik dan menggerunkan, baik kepada kerajaan atau parti yang berhasrat untuk menjadi kerajaan kiranya diwujudkan kesepakatan dengan personaliti-personaliti laon yang popular di sisi rakyat untuk sama-sama bersedia  bertanding sebagai calon Bebas.


Katalah dapat dikumpulkan dalam 30 orang dan kiranya 20 atau 25 orang daripadanya beroleh kemenangqn, kumpulan Bebas itu dengan sendirinya mampu menjadi “king maker” selepas PRU16 akan datang.


Mungkin bagi sesetengah orang, perkara itu mustahil menjadi kenyataan, tetapi melihat kepada kedudukan kerajaan dan blok pembangkang yang sama-sama kurang diyakini ketika ini, Bebas mungkin menjadi pertimbangan.


Jika tidak dicuba, tembok kemustahilan itu tidak dapat dirobohkan.


Sama seperti lima Adun Bebas yang menang di Sabah baru-baru ini, barangkali ramai juga yang mengatakan mustahil mereka akan beroleh kemenangan.


Hakikatnya, empat daripada Adun Bebas Sabah itu sekarang ini sudah bergelar pembantu menteri. – ShahbudinHusin 03Disember2025.


https://shahbudindotcom.net/2025/12/calon-bebas-juga-ada-potensi-di-semenanjung/




No comments: