Ahli Parlimen PN Padang Serai Didakwa Subahat Kes Rasuah RM400,000

 


Azman Nasrudin (kot kelabu) bersama pegawai SPRM dan peguamnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 8 Disember 2025.

SHAH ALAM, 8 Dis – Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan bersubahat berhubung kes rasuah RM400,000 dalam projek penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah, lima tahun lalu.

Azman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk melakukan kesalahan menerima satu suapan, RM400,000 daripada Mohd Hassanaim Fauzi, 39.

Azman Nasrudin mengesahkan ditahan SPRM dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 8 Disember 2025.

Ia sebagai upah membantu Mohd Hassanaim mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Kesalahan tersebut telah dilakukan hasil persubahatannya dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB untuk mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd Hassanaim bagi projek tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan pejabat sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi jam 5 petang 23 Jun 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Nizamuddin Abdul Hamid, N Surendran, Sasha Lyna Abdul Latif dan Shahid Adli Kamarudin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM telah menahan ahli Parlimen terbabit Khamis lalu bagi tujuan pertuduhan yang melibatkan satu kes usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah manakala ahli perniagaan tersebut telah ditangkap pada Mac lalu dan dilepaskan dengan jaminan.

Siasatan yang dijalankan sejak bulan Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.



No comments: