CUBA KERAJAAN SIASAT. ATAU SPRM SIASAT. ADA JUGA YANG BAGI PERUNTUKAN MELALUI NGO BELAAN.

 

Masyuk! NGO kaut keuntungan 30 peratus kutipan sumbangan orang ramai

Masyuk! NGO kaut keuntungan 30 peratus kutipan sumbangan orang ramai

Semakin ramai mengambil kesempatan dan ‘berselindung’  di sebalik tujuan asal menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan kebajikan, tetapi pada masa sama ‘terselit’ niat mahu mendapatkan ‘duit poket sendiri’.

Buktinya, sejak beberapa tahun ini, ada ‘lambakan’ NGO ditubuhkan umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Pengasas bersama Scrut, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin membongkar rahsia NGO yang tidak diketahui umum.

Katanya, NGO kini menjadi lubuk menjana wang oleh segelintir individu untuk memperoleh kesenangan hidup.

“Lebih-lebih lagi apabila Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan mana-mana NGO mengutip sumbangan awam boleh mengambil sehingga 30 peratus daripada dana itu sebagai caj pengurusan.

“Caj ini biasanya digunakan membayar gaji kumpulan NGO termasuk pengerusinya dan menampung kos operasi pertubuhan terbabit.

“Contoh, jika NGO berkenaan berjaya mengumpul dana RM100,000, maka RM30,000 digunakan untuk tujuan itu (membayar gaji dan menampung kos operasi),” katanya.

Menurut beliau, dalam erti kata mudah, ahli NGO ini seperti dibayar untuk melakukan kerja kebajikan dengan menggunakan wang orang ramai atau penyumbang lain.

Ahmad Aliff berkata, disebabkan peluang itu, ada yang  mampu hidup senang lenang  walaupun terbabit dalam NGO secara sambilan.

“Tidak kurang juga, ada yang sanggup berhenti kerja dan memilih melakukan aktiviti kebajikan NGO sepenuh masa. Kehidupan mereka lebih senang daripada ketika makan gaji.

“Ada kawan saya yang sebelum ini hidupnya agak susah, tetapi kehidupannya sekeluarga berubah selepas menubuhkan NGO. Tidak kurang juga ada yang mampu berpoligami,” katanya.

Menurut Ahmad Aliff, kebiasaannya, mereka yang menubuhkan NGO akan melantik diri sendiri sebagai ketua dan rakan-rakannya sebagai ahli jawatankuasa.

Katanya, ini memudahkan mereka menguruskan kewangan NGO itu mengikut citarasa sendiri.

“Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila ada NGO ketika ini sanggup menggunakan wang sumbangan untuk membeli iklan sama ada di media digital, papan iklan, televisyen dan akhbar, bagi mempromosikan aktiviti pertubuhan serta mendapatkan sumbangan yang lebih banyak,” katanya.

Menurut beliau, matlamat penubuhan NGO oleh segelintir pihak kini sudah berbeza. Dahulu, NGO ini dikenali sebagai tempat aktiviti sukarelawan dan kebajikan.

“Kebiasaannya, NGO yang mahu membantu pihak memerlukan ini  hanya bergerak menerusi sumbangan daripada ahli-ahlinya,” katanya.

Menurut Ahmad Aliff, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) perlu meletakkan syarat tegas iaitu tidak semua NGO boleh melakukan tugasan mengutip dana awam.

“Sebelum ini, saya dibesarkan dalam keluarga yang menyokong NGO sebuah parti politik dan melihat banyak kecacatan dalam pengurusan.

“Ada NGO diragui ketelusannya terutama berkaitan pengurusan dana,” katanya.

Menurut Ahmad Aliff, semua NGO seharusnya berani menerbitkan laporan audit NGO mereka secara terbuka di laman web rasmi masing-masing.

Begitu juga dokumen pengurusan akaun (MA), penyata bank dan laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Semua dokumen ini membolehkan masyarakat melakukan semak dan imbang terhadap penggunaan dana awam terutama bayaran gaji pengurusan atasan,” katanya.

Namun, katanya, ada banyak juga NGO yang sangat telus dan mengekalkan prinsip kesukarelawanan tanpa sebarang agenda peribadi.

“Biasanya NGO ini ditubuh dan dikendalikan oleh mereka yang sudah berjaya dalam karier, kehidupan dan perniagaan.

“Mereka menggunakan wang sendiri untuk pengurusan NGO yang ditubuhkan itu, tanpa mengambil dana awam,” katanya.

Ketelusan elemen terpenting

“Setiap NGO (pertubuhan bukan kerajaan) perlu menghantar semakan perbelanjaan tahunan yang disahkan oleh mana-mana pertubuhan juruaudit bertauliah.

“Kita di Muslim Care (Muslim Care Malaysia) juga terbitkan buku laporan aktiviti setiap tahun sekali gus mengamalkan prinsip pengurusan yang telus.”

Itu jelas Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan berhubung pengurusan perbelanjaan dana diperoleh.

Zulkifli turut mahu memaklumkan elemen ketelusan sangat penting berkaitan kegiatan serta pengurusan kewangan MCM.

Pada masa sama, beliau mengakui kewujudan beberapa NGO yang melaksanakan kutipan derma daripada orang awam, tetapi tiada aktiviti dilakukan.

Kegiatan itu menimbulkan 1,001 persoalan berhubung ke manakah wang kutipan berkenaan disalurkan atau ia digunakan untuk tujuan peribadi.

Zulkifli berkata, setiap NGO perlu mengemukakan laporan kewangan hasil daripada aktiviti tahunan dengan pengesahan mana-mana badan juruaudit bertauliah.

“ROS tidak menerima laporan kewangan sesebuah NGO yang tidak mendapat pengesahan juruaudit, ia sebahagian prosedur tahunan dan MCM tidak pernah gagal menghantar laporan kewangan berkenaan.

“Saya sendiri tahu ada beberapa NGO melakukan kutipan derma, tetapi tiada aktiviti dibuat dan keadaan itu memberi tempias kepada pertubuhan lain yang jujur.

“Kita di MCM melakukan kutipan derma berasaskan projek tertentu. Contoh, jika kita ingin memberi bantuan kepada asnaf, kita akan war-warkan di laman Facebook (FB) kami,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan MCM termasuk mengajak pihak berkepentingan yang menyalurkan bantuan dengan dana besar untuk bersama-sama turun padang merealisasikan sesebuah projek kemanusiaan.

Katanya, NGO berasaskan kepada misi bantuan ini memerlukan keyakinan orang awam dan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah NGO hanya akan menghilangkan keyakinan masyarakat.

Pantau NGO tak berdaftar

“Saya belum pernah dengar ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil sehingga 30 peratus daripada sumbangan awam untuk caj pengurusan,” kata pengasas NGO The 3rd Force, Raja Shamri Raja Husin.

Beliau berkata, semua NGO berdaftar dikawal selia perlembagaan dan undang-undang tubuh yang dipantau ketat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Katanya, namun ada klausa dalam perlembagaan tubuh NGO membolehkan mereka menggunakan sumbangan awam untuk pengurusan seperti yang diluluskan.

“Selagi NGO itu beroperasi dalam ruang lingkup perlembagaan dan undang-undang tubuhnya, maka Insya-Allah tak ada apa yang nak dirisaukan.

“Cuma apabila ada yang mengaku NGO tapi hakikatnya mereka tak berdaftar dan ambil kesempatan, contohnya ambil 30 peratus daripada sumbangan awam sesuka hati maka itu perlu dipantau,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan bahawa NGO boleh mengambil 30 peratus itu terlalu melampau.

“Sebagai NGO berdaftar, kita tetapkan klausa hanya boleh ambil RM10,000 untuk pengurusan. Itupun perlu melalui kelulusan jawatankuasa terlebih dahulu dan prosesnya bukan semudah yang disangka.

“Ada kalanya kita tidak ambil pun RM10,000 itu kerana sudah menerima sumbangan daripada pihak korporat atau usahawan dalam The 3rd Force sendiri. Kami juga gunakan wang poket sendiri sebagai penceramah dan syarikat perunding, juga untuk menampung kos pengurusan The 3rd Force,” katanya.

Malah, katanya, setiap tahun, semua audit dibuat juruaudit bertauliah akan diserahkan kepada RoS.

Jelasnya, sumbangan yang diamanahkan untuk diserahkan sepenuhnya kepada asnaf akan ditunaikan berdasarkan permintaan penyumbang.

“Adakalanya, penyumbang turut berniat menyediakan peratusan tertentu daripada jumlah keseluruhan sumbangan untuk sukarelawan. Ini kerana bukan semua sukarelawan ini orang senang.

“Ada situasi apabila NGO perlu keluarkan wang sendiri atau dapatkan bantuan rakan apabila sumbangan awam diterima tidak mencukupi bagi membantu pihak memerlukan,” katanya. .