“Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat”
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Ramai yang percaya bahawa sebabnya Anwar tidak dapat jadi
Perdana Menteri ialah kerana saya menghalang.
Benar dahulu saya berpendapat bahawa kerana sebab tertentu dia
hilang kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tetapi apabila Najib
menjadi kleptokrat, saya sanggup bekerjasama dengan Anwar untuk jatuhkan Najib.
Saya tidak menentang cadangan Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar akan mengganti
saya apabila saya letak jawatan. Tetapi belum pun sampai masanya konco-konco
Anwar mendesak supaya saya letak jawatan.
Pada 21hb Februari, 2020, saya diberitahu oleh Muhyiddin dan
beberapa pemimpin Bersatu bahawa pada malam itu Mesyuarat Majlis Presiden
Pakatan Harapan akan mendesak supaya saya letak jawatan untuk Anwar dilantik
sebagai Perdana Menteri. Kononnya saya akan dipaksa lantik Anwar sebagai
Timbalan Perdana Menteri dengan segera.
Tujuan Muhyiddin ialah supaya saya setuju Bersatu keluar dari
Pakatan Harapan untuk jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Muhyiddin, Azmin dan
Hamzah sudah rancang untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional untuk tubuh
Kerajaan baru mengganti PH.
Azmin Ali pula telah sahkan bahawa apabila cadangan yang
tersebut di atas dibuat dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, beliau akan walk
out.
Tetapi pada malam itu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan,
setelah berbincang dengan panjang lebar, bersetuju supaya saya diberi kuasa
untuk letak jawatan bila-bila masa yang saya pilih. Ini bermakna Pakatan
Harapan masih sokong saya. Pakatan jahat untuk tolak saya tidak menjadi
kenyataan seperti yang didakwa oleh Muhyiddin dan konco-konconya. Saya
berpendapat tidak ada sebab kenapa saya perlu bersetuju untuk Bersatu keluar
dari PH.
Pada 23hb Februari saya telah beritahu kepada Muhyiddin bahawa
perancangannya untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan perlu ditangguh kerana
PH masih sokong saya sebagai Perdana Menteri.
Apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersidang selepas
pertemuan saya dengan Muhyiddin dan rakan-rakannya, saya merayu supaya
ditangguh cadangan Bersatu untuk keluar dari PH. Saya syor supaya Bersatu
tunggu dan lihat akan perlakuan PH.
Pendek cerita Majlis tolak syor saya dan setuju Bersatu keluar
dari Pakatan Harapan dengan serta-merta. Ada yang tumbuk meja dan dengan
lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH.
Bagi saya ini adalah keputusan muktamad. Ia merupakan
kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi parti sudah tidak ada. Keputusan itu
juga bermakna Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan dan Kerajaan PH sudah
jatuh.
Sepanjang malam itu saya memikir akan kedudukan saya. Kehilangan
kepercayaan kepada saya bermakna saya tidak lagi boleh menjadi Pengerusi
Bersatu. Jika saya tidak lagi Pengerusi Bersatu dan PH tidak lagi Kerajaan,
saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Pada malam itu Muhyiddin Yasin bersama pemimpin-pemimpin Umno
dan Pas telah berada di Hotel Sheraton. Kesanggupan Muhyiddin sebagai Presiden
Bersatu berada bersama dengan musuh Pakatan Harapan bermakna bahawa rancangan
menubuh Kerajaan Perikatan Nasional sudah jadi kenyataan.
Saya buat keputusan untuk isytihar bahawa saya sudah letak
jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri. Walaupun ada ura-ura
bahawa saya akan diterima oleh gabungan Muafakat dan Bersatu sebagai Perdana
Menteri, saya tidak dapat terima kerana penjenayah-penjenayah Umno akan menjadi
sebahagian daripada Kerajaan yang saya akan pimpin.
Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh saya tidak ada kena
mengena dengan cadangan Pakatan Harapan supaya Anwar ambil alih jawatan Perdana
Menteri selepas saya letak jawatan. Dengan Bersatu dan puak Azmin Ali keluar
dari Pakatan Harapan, Pakatan Harapan sudah tidak lagi jadi Kerajaan dan saya
tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Yang akan jadi Perdana Menteri ialah orang yang dapat majoriti
apabila pengakuan oleh ahli Yang Berhormat dihadapan Yang di-Pertuan Agong
diadakan.
Apabila pengakuan ini dibuat 92 ahli dari Keadilan, Amanah dan
DAP menamakan Anwar sebagai pilihan mereka. PH sudah tolak saya sebagai Perdana
Menteri.
Saya hanya dapat 66 ahli.
Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya
sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli
yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan
Anwar juga gagal.
Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan
Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan
Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri
mengikut perancangan Pakatan Harapan.
Setelah pencalonan Anwar gagal, Pakatan Harapan ingin kembali
sokong saya sebagai calon Perdana Menteri. Anwar juga bersetuju tetapi dengan
syarat dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Saya tidak bersetuju kerana ingin kekal kabinet lama.
Akhirnya Anwar bersetuju dan usaha dibuat untuk dapat jumlah
yang cukup untuk Pakatan Harapan kembali jadi Kerajaan. Dengan sokongan dari
ahli parti Sabah, jumlah meningkat kepada 114.
Malangnya Muhyiddin sudah berjaya mendapat persetujuan Yang
di-Pertuan Agong untuk dia dilantik sebagai Perdana Menteri.
Tetapi usaha untuk tumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional
diteruskan oleh Pakatan Harapan. Pihak saya dan penyokong saya bersetuju untuk
menyertai usaha ini.
Tetapi Anwar tolak sama sekali penyertaan saya. Jika saya
ditolak, penyokong saya tidak akan menyertai cadangan ini. Dan kita tidak akan
dapat tiga orang ahli Dewan Rakyat (DR) untuk mencukupi bilangan.
Telah dicadangkan supaya saya akan pegang jawatan Perdana
Menteri selama 6 bulan sebelum menyerah kepada Anwar. Amanah dan beberapa ahli
DAP bersetuju.
Tetapi Anwar tolak. Anwar tidak mahu saya terlibat sama sekali.
Tetapi jika saya tidak diberi tempat, penyokong saya tidak akan sokong cadangan
Pakatan Harapan. Lagi pun agak sukar mencari tiga orang lagi untuk mendapat
majoriti.
Pengakuan saya untuk serah jawatan kepada Anwar selepas 6 bulan
tidak diterima atau dipercayai oleh Anwar.
Rancangan yang munasabah ialah apabila Dewan bersidang, jika
Pakatan Harapan mempunyai cukup bilang, Muhyiddin boleh dikalahkan semasa belah
bahagi dengan pembangkang mempunyai 114.
Apa yang berlaku ialah Muhyiddin masih dapat 112 dan tidak dapat
dijatuhkan semasa perbahasan berkenaan perlucutan jawatan Yang di-Pertua Dewan.
Ini bermakna Muhyiddin menang dan kekal sebagai PM. Anwar kalah dan tidak jadi
PM.
Kemudian Anwar isytihar dia sudah dapat cukup bilang dan
Muhyiddin sudah tidak jadi Perdana Menteri.
Saya dan kumpulan saya ditolak oleh Anwar kerana dia sudah dapat
jumlah sokongan yang mencukupi.
Tetapi kita semua tahu bahawa Anwar masih tidak dapat jadi
Perdana Menteri. Kenyataan Anwar bahawa dia mempunyai cukup bilang didapati
tidak benar. Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah
ketepikan saya pun Anwar tidak menang.
Pada tahun 2008 pun, Anwar gagal. Apakah saya juga yang
menghalang Anwar.