Jika kita mengingati semula ucapan-ucapan dalam perutusan khas Muhyiddin Yassin sepanjang pandemik Covid19 melanda negara, semuanya nampak indah-indah belaka.
Rata-rata ucapannya mengandungi janji untuk berbuat yang terbaik, memahami susah derita rakyat, tidak ada sesiapa terpinggir, tidak berpolitik dan sentiasa mengutamakan keperluan mereka.
Pendek kata, segala-galanya janji syurga belaka.
Tetapi, apakah itu yang dilakukannya?
Walaupun di peringkat permulaan Covid19 melanda pada Mac lalu, ramai yang berasa selesa dengan pelaksanaan moratorium pinjaman bank selama enam bulan serta bantuan tunai yang diberikan kerajaan, malangnya kemudian ramai juga yang gagal hanya kerana alasan remeh seperti pernah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau SSM misalnya.
Apabila banyak rungutan dan ramai yang mengeluh berkenaan isu tersebut, Muhyiddin akhirnya gagal menangani isu tersebut dengan sewajarnya, malah seolah-olah lepas tangan begitu saja.
Desakan pelbagai pihak berkenaan isu pernah berdaftar dengan SSM langsung tidak dipedulikan, walau dijelaskan perkara itu tidak bermakna seseorang itu ada perniagaan.
Maknanya, mereka yang tidak berjaya memperolehi bantuan sara hidup, tetap gagal sehingga ke sudah di sebalik kehidupan jadi bertambah sudah, hilang kepercayaan dan tiada pendapatan.
Seterusnya, apabila Covid19 terus berpanjangan melanda dan kerajaan pimpinannya perlu membentangkan Belanjawan 2021, sepatutnya fokus perbelanjaan adalah semata-mata untuk menolong rakyat dan memulihkan ekonomi negara.
Malangnya, walaupun banyak desakan agar pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP sehingga RM10 ribu dibenarkan dan moratorium pinjaman bank dilanjutkan enam bulan lagi, Muhyiddin nyata hanya buat tak tahu saja mengenainya.
Beliau bukan saja tidak memasukkan perkara tersebut dalam Belanjawan 2021, malah sebelumnya cuba mencari jalan pintas dengan memohon darurat daripada Yang Dipertuan Agong agar Parlimen dapat digantung dan perbelanjaan wang negara tidak dibahas atau dipersoalkan untuk dibelanjakan.
Hanya apabila darurat ditolak, maka terpaksalah Belanjawan 2021 dibentang, dibahas dan perlu diundi untuk kelulusan.
Dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz itu, jelas tidak menampakkan ia suatu belanjawan Covid19, selain kerana tidak dimasukkan kebenaran mengeluarkan wang KWSP dan lanjutan moratorium yang merupakan keperluan rakyat di waktu susah ini, bahkan dimasukkan pula dana RM85.5 juta untuk propaganda Jasa, RM8.5 juta untuk NGO politik di bawah Zuraida Kamaruddin, pertambahan lumayan untuk perbelanjaan Pejabat Perdana Menteri, pembinaan pejabat kementerian yang tidak perlu dan pelbagai lagi.
Jadi, kalau sudah begitu bentuk belanjawan yang dibentangkan, di mana janji-janji manis Muhyiddin sewaktu menyampaikan perutusan khas sebelum ini kononnya beliau mengutamakan rakyat dan memahami susah derita mereka?
Kalau PKPB boleh disambung beberapa kali, kenapa susah sangat untuk melanjutkan moratorium dan memberi kebenaran wang KWSP dikeluarkan secara one-off?
Dan cuba bayangkan apakah bentuk perbelanjaan wang rakyat oleh Muhyiddin andai kata darurat dibenarkan?
Sebab itu, tindakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Pengerusi BNBBC, Najib Razak yang menyatakan mereka hanya akan menyokong Belanjawan 2021 jika kerajaan sedia melakukan pindaan berkaitan KWSP dan moratorium, adalah sesuatu yang sangat wajar.
Tanpa pindaan dua perkara tersebut, di samping perlu juga dibatalkan peruntukan untuk Jasa dan NGO politik, Belanjawan 2021 adalah belanjawan politik untuk kepentingan Muhyiddin mengekalkan kuasanya dengan memperalatkan derita rakyat akibat Covid19.
Sebagaimana PH dan BN berjanji tidak akan memberi sokongan jika tiada pindaan, mereka harus membuktikan ketegasan tersebut dalam pengundian peringkat dasar pada 26 November ini.
Tidak harus ada kompromi dan tolak ansur lagi dalam hal ini – sekecil mana sekali pun syarat yang telah dituntut, jika tidak dipenuhi, jangan sesekali undi diberi.
Yang nyata, dalam bentuknya yang ada sekarang, Belanjawan 2021 sudah dikecam dan ditolak oleh hampir 80 peratus rakyat yang waras.
Tindakan mana-mana pihak menyokong belanjawan yang tidak disenangi rakyat adalah suatu bentuk pengkhianatan yang nyata kepada rakyat sendiri.
Gunalah naluri dan bahasa hati untuk membela rakyat di waktu susah ini, lebih-lebih lagi buat UMNO dan BN, ketegasan pendirian mereka adalah bonus untuk memastikan Muhyiddin tidak sesuka hati lagi membuli.
(Shahbudindotcom 22/11/2020)