Pemecatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli MT UMNO di saat-saat parti itu makin meningkatkan tekanan agar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob segera membubarkan Parlimen, isyarat paling mudah difahami daripadanya ialah perpecahan lebih besar kian hampir mendekati ambang pintu.
Tindakan Zahid Hamidi memecat Ahli Parlimen Pasir Salak dan Duta Besar ke Indonesia hanya beberapa jam sebelum mesyuarat MT UMNO malam Jumaat lalu, sekaligus mengundang kaitan dengan ketidakhadiran Ismail Sabri dalam mesyuarat itu.
Sebagaimana yang diketahui dan bukan lagi rahsia, Tajuddin adalah penyokong kuat Ismail Sabri yang secara terbuka berani menunjukkan pendirian tidak setujunya terhadap kepimpinan Zahid Hamdi dalam beberapa isu.
Keputusan Ismail Sabri tidak hadir dalam mesyuarat itu tentu saja kerana beliau ingin meredakan keadaan berhubung desakan kluster mahkamah mahu PRU diawalkan, tambahan lagi Isham Jalil yang merupakan pendokong kuat Najib Razak diumumkan sebagai pengganti Tajuddin.
Jika pemimpin lain, misalnya yang berjawatan Ketua UMNO Bahagian dilantik menggantikan Tajuddin dan bukan Isham Jalil yang diketahui seorang yang totok Najib serta tiada sebarang jawatan dalam mana-mana hireaki kepimpinan, kebarangkalian untuk Ismail Sabri hadir mesyuarat MT mungkin masih ada.
Begitu pun, tidak hadir dan tidak melayan buat seketika desakan PRU awal di ketika rakyat sedang terbeban dan merungut dengan pelbagai perkara berkaitan kos sara hidup, ini boleh dikira tindakan bijaksana telah ditunjukkan oleh Perdana Menteri.
Di waktu yang sama, pemecatan Tajuddin bukan saja memberi isyarat bahawa Zahid Hamidi sedia memecat lebih ramai lagi mereka yang bersikap menentang dan tidak sebulu dengan kemahuan kepimpinan sedia ada, bahkan ia juga tidak lari daripada petunjuk semua penentang itu bakal digugurkan sebagai calon dalam PRU15 akan datang.
Dalam keadaan sekarang, jika PRU15 diadakan di ketika Zahid Hamidi masih Presiden UMNO dan Najib pula kekal sebagai “de facto” yang menguasai parti, sudah hampir pasti Tajuddin tidak akan dicalonkan lagi.
Bersamanya, tidak mustahil Annuar Musa, Shahidan Kassim, Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin UMNO lain yang sealiran dengan Tajuddin dan pro Ismail Sabri, akan turut menerima nasib yang sama.
Adalah dijangkakan Zahid Hamidi akan memilih hanya mereka yang sehati sejiwa dengannya saja sebagai calon, manakala yang menentang semuanya bakal diketepikan.
Ia tidak lain, walaupun UMNO telah bersetuju meletakkan Ismail Sabri sebagai “poster boy” dalam PRU15 akan datang, Zahid Hamidi tetap mahu meletakkan dirinya lebih kukuh dan pencatur barisan kabinet jika ditakdirkan BN mampu membentuk kerajaan.
Dalam keadaan itu nanti, semua orang memahami, kehendak Zahid Hamidi dan Najib ialah mahu menjadikan Ismail Sabri sebagai “tawanannya” semata-mata.
Bagaimanapun, sebelum semua perancangan Zahid Hamidi dan Najib itu boleh direalisasikan menjadi kenyataan, perkara buruk yang paling hampir di depan mata berikutan tindak-tanduknya ketika ini ialah UMNO sedang menuju perpecahan yang serius.
Semua perpecahan itu akan menjadi tatapan kita semua apabila senarai calon diumumkan dan di ketika terbukti ramai pemimpin yang berada dalam kerajaan, tetapi tidak sehati sejiwa dengan Zahid Hamidi, digugurkan satu persatu.
Ia tidak saja akan mencetuskan rasa tidak puas hati dan mungkin pemberontakan, lebih buruk jika pemimpin UMNO yang digugurkan itu diambil pula oleh parti lain, misalnya Bersatu atau Pas, sebagai calon mereka.
Bagaimana pula jika sebagai tanda protes atas pengguguran ramai nama besar itu sebagai calon, beberapa pemimpin UMNO lain yang selama ini berdiam diri turut bertindak memihak kepada penama-penama yang digugurkan itu?
Dalam keadaan itu, masih ada lagikah peluang untuk UMNO dan BN memenangi PRU15?
Akhirnya, jika UMNO kalah sekali lagi, bukankah Zahid Hamidi yang menjadi punca parti berpecah seharusnya diletakkan semua beban kesalahan dan kekalahan? – ShahbudinHusin 26/06/2022.