Bekas MB Johor sangsi politik stabil, bimbang pemimpin dibelenggu korupsi selepas PRU15
PETALING JAYA: Politik negara dibimbangi kekal tidak stabil, selain korupsi terus membelenggu pemimpin walaupun selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata bekas menteri besar Johor, Abdul Ghani Othman.
Beliau yang menjadi menteri besar selama 18 tahun bermula 1995 hingga 2013, berkata keupayaan kepimpinan mengurus negara juga turut menjadi kebimbangannya.
“Ada tiga kebimbangan saya, yang pertama adakah akan berterusan keadaan politik yang tidak stabil? Besar kemungkinan politik negara kita akan terus tidak stabil walaupun selepas PRU15.
“Yang kedua, korupsi dalam kalangan pemimpin dan ketiga keupayaan kepimpinan memimpin serta mengurus tadbir negara kita,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Johor, di Bangunan Umno Johor, di Johor Bahru.
Ghani turut berharap kestabilan politik dapat dicapai oleh parti politik bertanding, pada PRU15.
“Menjadi harapan kita juga supaya pemimpin yang dipilih tidak korup dan ada keupayaan daripada segi intelektual untuk memimpin dan mengurus tadbir negeri dan negara,” katanya yang menjadi memimpin Johor dari 1995 hingga 2013.
Beliau turut berharap pemimpin muda diberi tanggungjawab mengemudi negeri dan negara dapat menjalankan tugas dengan baik serta mengemukakan idea baharu yang lebih segar.
“Alhamdulillah, contohnya sudah wujud di Johor ini (menteri besar muda). Semoga mereka dapat membawa negeri dan negara kita dengan lebih baik,” katanya.