Polis rampas bangkai harimau belang, kumbang, 10 gading gajah bernilai RM500,000

 

Shafien Mamat (tiga dari kiri) bersama Timbalan Pengarah Perhilitan Kelantan, Adnan Ismail (kanan) menunjukkan gading gajah, bangkai harimau belang dan kumbang bernilai RM500,000 yang dirampas dalam Ops Khazanah. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Polis Kelantan menerusi Ops Khazanah merampas bangkai seekor harimau belang serta harimau kumbang, dan 10 gading gajah dianggarkan bernilai RM500,000 yang dipercayai cuba dijual di pasaran gelap.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, Ops Khazanah yang membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Che Dol, dekat Tanah Merah kira-kira 7.40 pagi itu turut menyaksikan polis menahan seorang suspek lelaki berumur 25 tahun.

Dia disyaki terlibat dalam sindiket pemburuan haram yang aktif lebih setahun lalu.

Shafien berkata, bangkai haiwan tanpa organ dalaman itu ditemui dalam peti sejuk beku di premis berkenaan yang dipercayai dijadikan stor menyimpan hasil pemburuan haram.

“Bangkai itu dipercayai disimpan sejak April lepas dan kami juga menganggarkan usia kedua-dua haiwan ini sudah dewasa, mungkin lebih 10 tahun.

“Semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Beliau berkata, harga seekor harimau belang dan kumbang di pasaran gelap masing-masing mencecah RM300,000 serta RM100,000, manakala sebatang gading gajah pula dianggarkan bernilai lebih RM10,000, bergantung kepada saiz dan beratnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 68 (1)(b) serta Seksyen 68 (2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, yang masing-masing memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, serta denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM500,000 serta penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Shafien mengesahkan polis menerima satu laporan daripada Pemuda UMNO Bachok di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok berhubung penjualan daging tidak halal di Kelantan.

“Kita tidak menafikan kemungkinan ada daging yang dilaporkan itu dijual di negeri ini. Buat masa ini, polis Kelantan turut mengumpulkan maklumat berkaitan isu berkenaan.”