Ketika Amerika Syarikat menyerang Iraq pada tahun 2003, tentera A.S menemui puluhan pesawat tempur yang tertanam di dalam pasir berhampiran lapangan terbang yang masih elok.
Di Pangkalan Udara al-Taqqadum, tentera Amerika menarik keluar sejumlah jet pejuang MiG-25 Foxbat dan jet penyerang Su-25 Frogfoot dari timbunan pasir.
Pesawat-pesawat itu walaupun tanpa sayap berada dalam keadaan yang agak baik.
Persoalannya, mengapa Saddam sengaja menanam aset tenteranya sendiri?
Jawapannya berakar pada kesedaran Saddam tentang ketidakmampuan Tentera Udara Iraq (IAF) menentang teknologi Amerika.
Walaupun IAF mampu bersaing dengan Iran semasa Perang Iran-Iraq, Saddam sedar bahawa pesawat-pesawatnya akan 'diperkotak katikkan' oleh jet-jet canggih A.S. seperti F-22 Raptor.
Beliau juga mempunyai pengalaman pahit semasa Perang Teluk pertama, di mana juruterbang Iraq terbang melarikan diri ke Iran untuk mengelakkan kemusnahan, dan pesawat-pesawat itu tidak pernah dikembalikan.
Kerana mahu menyelamatkan aset udaranya dan mencegah mereka daripada musnah atau melarikan diri, Saddam mengeluarkan arahan untuk melucutkan dan menanam jet-jet pejuang paling canggihnya di dalam pasir berhampiran pangkalan udara seperti al-Taqqadum dan al-Asad.
Saddam berharap dengan menanam pesawat-pesawat itu, beliau dapat menghalang kemusnahan jet-jet tersebut.
Beliau percaya bahawa selepas serangan A.S. berakhir dan beliau kekal berkuasa, pesawat-pesawat itu boleh digali semula dan digunakan untuk menggentarkan musuh serta jiran-jiran serantaunya.
Ironinya taktik "menanam untuk menyelamatkan" ini adalah keputusan yang baik untuk pesawat-pesawat itu sendiri, tetapi bencana bagi Saddam.
Apa sahaja pesawat yang tidak tertanam segera dimusnahkan oleh Tentera Udara A.S. semasa pencerobohan, manakala Saddam Hussein sendiri akhirnya terpaksa "bersembunyi di bawah tanah" sebelum ditangkap.

No comments:
Post a Comment